3 Keistimewaan Surah al-Waqiah

Seluruh umat Islam tentu meyakini bahawa al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Pun begitu, tidak ramai yang menyedari bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai panduan hidup dan penyelesai masalah kepada masyarakat. Penyelesaian masalah itu boleh ditemui dalam ayat al-Quran yang ada dalam setiap surahnya. Justeru, setiap surah dalam al-Quran pastinya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Antara surah yang memiliki keistimewaan untuk membantu menyelesaikan masalah dalam kehidupan adalah surat al-Waqiah. Masyarakat mengenali surah ini dengan nama ayat seribu dinar. Surah ini selalu dikaitkan sebagai ayat yang membantu membuka pintu rezeki bagi yang membacanya.

Kandungan Surah al-Waqiah Secara Umum

Secara umum, surah al-Waqiah terdiri daripada 97 ayat. Menurut al-Hasan al-Bashry, surat al-Waqiah digolongkan sebagai surah makkiyah tanpa pengecualian. Berbeza dengan itu, Ikrimah, Jabir, Atha dan Ibn Abbas menyatakan bahawa al-Waqiah sebahagian daripada surah makkiyah kecuali ayat ke-28. Adapun al-Kilaby berpendapat bahawa empat ayat terakhir daripada surah al-Waqiah digolongkan sebagai madaniyyah.

Kandungan surah al-Waqiah ialah mengenai hari kiamat selaras dengan maksud perkataan al-Waqiah itu sendiri yang bermaksud hari kiamat. Jika diperincikan, perbahasan dalam surah ini antaranya ialah:

  1. Saranan mempersiapkan diri untuk hari pembalasan.
  2. Menghayati keimanan.
  3. Usaha mendapatkan reda Allah dengan amalan soleh.
  4. Penjelasan mengenai kekuasaan Allah sebagai bukti kepada manusia atas keesaan-Nya.
  5. Penjelasan mengenai tiga golongan manusia yang dihadapkan  kepada Allah, balasan kepada golongan tersebut dan sebab mengapa mereka mendapat balasan itu.
  6. Terdapat gambaran mengenai proses seseorang manusia meninggal dunia. Proses kematian itu digambarkan bertujuan agar manusia mengambil pengajaran bahawa tiada kuasa yang membolehkan mereka lari daripada kematian.

Beberapa Keistimewaan Surah al-Waqiah

Dalam kitab Mausu’ah Fadha’il Suar wa Ayatil Quran diterangkan beberapa keistimewaan al-Quran. Di antaranya:

1.Surah al-Waqiah adalah surah yang menarik perhatian rasulullah.

Diriwayatkan daripada Abu Ahwas, bahawa Abu Bakar as-Shiddiq pernah bertanya kepada Rasulullah, “Surah apa yang membuat engkau menjadi tua?” Rasulullah menjawab, “Surat Hud, al-Waqiah, al-Mursalat dan amma yatasa’alun (an-Naba’) serta idza as-syamsu kuwwirot (at-Takwir)”

Pertanyaan “membuat engkau menjadi tua” jika dilihat secara luaran seolah-olah mengandungi maksud negatif. Namun tentu bukan itu yang dimaksudkan oleh Abu Bakar as-Shiddiq.

Dalam kitab Faidh al-Qadir, al-Munawy menjelaskan bahawa maksud menjadi tua adalah kiasan rasulullah yang menunjukkan perhatian besar beliau terhadap surat al-Waqiah yang memang membicarakan mengenai keadaan yang sangat penting iaitu keadaan manusia pada Hari Akhir nanti.

Ini menunjukkan betapa rasulullah mendekati masa kiamat tersebut. Berdasarkan hal ini, maka menjadi sebahagian daripada sunah nabi untuk menghayati kandungan surah al-Waqiah, sebagaimana Rasulullah s.a.w.

2. Surah al-Waqiah adalah surah yang sering dibaca rasulullah pada waktu solat malam.

Dalam sebuah riwayat dari Ibnu Mas’ud bahawa rasulullah sering menggabungkan dua surah dalam satu rakaat solat. Penggabungan dua surah ini disebut surah an-Nazhair. Di antara surah tersebut adalah surah al-Waqiah. Lebih terperinci lagi, Iqlimah meriwayatkan bahawa rasulullah biasanya membaca surat al-Waqiah dan nun (al-Qalam) dalam satu rakaat.

3. Membaca surat al-Waqiah akan menghindarkan seseorang daripada menjadi fakir

Diriwayatkan oleh az-Zaila’iy, dalam kitab Tarikh al-Kasysyaf, daripada Abdullah bin Mas’ud (3/412):

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَدًا فَكَانَ ابْنُ مَسْعُودٍ يَأْمُرُ بَنَاتَهُ بِقِرَاءَتِهَا كُلَّ لَيْلَةٍ

Barang siapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka tidak akan tertimpa padanya kemiskinan. Berdasarkan hadis ini, Ibnu mas’ud menyuruh puterinya untuk membaca surat al-Waqiah pada setiap malam.

BACA JUGA: Surah al Kahfi; Keluarga Sakinah dan Keselamatan dari Dajjal

Hadis ini juga terdapat dalam Bagiyyah al-Bahits ‘an Zawa’id Musnad al-Harits. Secara jelas, hadis ini menerangkan bahawa salah satu keistimewaan yang Allah letakkan pada al-Waqiah adalah sebagai penghalang kemiskinan bagi siapa saja yang rajin membacanya tiap malam. “Kemiskinan” di sini memiliki pengertian umum. Bukan hanya berkaitan dengan harta secara material tetapi juga secara spritual seperti kemiskinan hati atau akhlak budi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*