Ajaibnya sifat maaf

Kau buat salah ngan aku, aku takkan maafkan engkau sampai aku mati.” Pernah dengarkan ayat itu atau kita sendiri yang menuturkannya. “Jangan bersikap macam tu, Nabi Muhammad SAW pun ampunkan umatnya, inikan pula kita yang selalu melakukan dosa.”Negara akan menjadi aman dengan adanya sifat pemaaf, kerana perasaan amarah dan sifat-sifat mazmumah dapat dinyahkan dalam kehidupan masyarakat sehingga melahirkan negara yang bersifat baldatun tayyibatun warabbun ghafur.

Sisipan Fikry minggu ini mengupas tajuk Aku Seorang Pemaaf. Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi pandangan mengenai tajuk ini. Memaafkan lebih baik daripada bersengketa

Dalam melayari bahtera kehidupan sebagai manusia yang bersifat ijtimaie (bersosial) sudah pasti sedikit sebanyak akan membawa pelbagai permasalahan dan khilaf sama ada lontaran pendapat, kesilapan tindakan, tersalah cakap dan juga prasangka yang kurang baik. Ini kerana dengan adanya unsur nafsu dan sifat amarah serta godaan syaitan amat mudah terjerumus ke arah itu.

Sebelum dibincangkan ajaibnya sifat maaf, suka dinyatakan sebuah kisah yang boleh dijadikan teladan hasil nukilan oleh Abu Al-Laith Al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih Al-Ghafilin. Antara lain menyebut: Suatu hari datang iblis bertemu Nabi Musa AS dan memohon agar diberi keampunan ALLAH SWT atas tindakannya. Justeru, Nabi Musa AS mengadu dan bermunajat kepada ALLAH, lantas ALLAH memperkenankannya dengan syarat syaitan sujud pada kubur Adam AS.

 

Dengan segera iblis menunjukkan marahnya seraya berhujah: “Adakah patut aku sujud padanya sedangkan beliau telah meninggal dunia padahal masa hidupnya pun aku tidak sujud padanya.” Kemudian iblis berkata: “Wahai Musa, oleh kerana kamu menolongku, aku ingin berpesan kepadamu supaya ingat kepadaku dalam tiga keadaan:-`

Pertama: Ingat kepadaku ketika bersama dengan wanita ajnabi kerana aku yang ketiganya dengan menggoda untuk melakukan maksiat.

Kedua: Ingat kepadaku ketika berada di medan jihad kerana aku akan berkata kepadanya nanti anak kamu menjadi yatim dan isteri kamu menjadi janda.

Ketiga: Ingat kepadaku ketika dalam keadaan marah kerana aku boleh bermain dengannya sebagaimana kanak-kanak bermain dengan guli.”

Kisah ini dengan jelas menunjukkan antaranya: Sifat pemarah membawa kepada tidak betul pertimbangan dan mudah diperkotak-katikkan oleh syaitan sebaliknya dengan sebab sifat pemaaf sudah pasti membawa keharmonian dan mengelakkan situasi yang lebih buruk.
Kelebihan memaafkan

Kisah di atas membuktikan betapa sifat pemaaf cukup hebat kerana banyaknya kelebihannya. Antara kelebihan memaafkan itu adalah:-

Sifat ini ternyata boleh menjinakkan musuh kepada Islam. Hal ini terbukti apabila Rasulullah SAW membuka kota Makkah pada tahun 8Hijrah di mana Rasulullah SAW menyampaikan ucapan kepada penduduk Makkah:

“Apakah sangkaan kamu yang aku lakukan kepada kamu?” Mereka menjawab: “Saudara yang mulia daripada keturunan yang mulia.” Lantas jawab Baginda SAW: “Pergilah kamu. Sebenarnya kamu merdeka dan bebas.” Akhirnya dengan kenyataan tersebut berapa ramai dalam kalangan mereka terpaut dan memeluk Islam.

Boleh menyebabkan masuk syurga ALLAH. Hal ini terbukti apabila ALLAH memberi kedudukan yang istimewa seseorang yang menahan sifat marah dengan menyifatkan mereka seperti al-Kazimina al-Ghais. Justeru, sudah pasti ia membawa banyak kelebihan.

Kerukunan rumah tangga sudah pasti menjadi ampuh dan kukuh. Ini kerana arahan ALLAH supaya bermuasyarah antara suami isteri dengan yang baik berdasarkan pemeliharaan hak-hak suami isteri. Bukan sekadar itu sahaja bahkan ia akan menatijahkan keluarga yang bahagia dan anak-anak secara langsungnya dapat mempelajari sikap ibu bapa yang pemaaf.

Negara akan menjadi aman dan damai dengan adanya sifat pemaaf. Ini kerana perasaan amarah dan sifat-sifat mazmumah dapat dinyahkan dalam kamus kehidupan masyarakat. Seterusnya menatijahkan negara yang bersifat baldatun tayyibatun warabbun ghafur.

Langkah mudah

Antara cara untuk memaafkan seseorang dengan berasakan yang kurniaan ALLAH dan pahalanya cukup besar kepada golongan pemaaf di samping sifat-sifat kesilapan sentiasa berlaku pada manusia. Antara kelebihan yang ketara juga ialah hilangnya penyakit stres dan tekanan. Hal ini sudah pasti mengharmonikan kerukunan rumah tangga dan kehidupan seseorang yang bersifat pemaaf. Begitu juga untuk menjadikan sifat pemaaf sentiasa bertapak dalam jiwa kita ialah dengan melihat tokoh-tokoh yang bersifat pemaaf. Contohilah Rasulullah SAW sebagai qudwah dan uswah yang utama kerana ia diperintahkan oleh ALLAH dan bagaimana berkesannya sifat tersebut yang telah disebatikan dengan akhlaknya menyebabkan ramai yang memeluk Islam kerana lisan hal dan akhlak Baginda SAW yang begitu unggul tanpa tandingannya. Begitu juga dengan menekuni sejarah salaf al-soleh dan berfikiran positif sudah pasti membawa kepada kukuhnya sifat pemaaf dalam jiwa. Ini kerana beriman dengan qadak dan qadar dan reda serta penuh rasa kehambaan kepada ALLAH boleh membawa kepada sifat pemaaf.

Akhir kata, ingatlah bahawa dunia ini bersifat fana dan tidak kekal. Justeru, alangkah indahnya sifat pemaaf disebatikan dalam jiwa agar sentiasa mendapat keredaan ALLAH. Benar! Tiada seorang manusia pun yang tidak pernah berbuat salah atau dosa. Ambillah yang positif, tinggalkan yang negatif, kelak bahagia hidup bermasyarakat kerana aku seorang pemaaf!

INFO

NABI SAW pernah menyarankan kepada mereka yang sedang marah supaya memohon perlindungan dengan ALLAH daripada syaitan yang direjam dan jangan terikut-ikut dengan perasaan tersebut.

Faedah Si Pemaaf:
1. Menunjukkan satu ciri akhlak yang mulia.
2. Dalil kepada kesempurnaan iman dan Islam yang baik.
3. Tanda kepada orang yang berlapang dada dan berbaik sangka.
4. Hasil daripada cintakan ALLAH kemudian cintakan sesama manusia.
5. Selamat daripada fitnah dan terpelihara daripada tergelincir.
6. Menunjukkan kepada kesempurnaan dan kemuliaan jiwa.
7. Sebagai satu persediaan sebuah masyarakat kepada suasana yang baik dan kehidupan yang lebih afdal.
8. Sebagai satu jalan cahaya dan hidayah kepada orang bukan Islam.
9. Mendapat kebaikan dunia dan akhirat, kerana manusia suka kepada orang yang tenang dan suka memberi kemaafan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*