Ketika solat Jumaat tidak dapat dinafikan adakalanya terasa mengantuk. Mendengar khutbah jumaat adalah dituntut. Sekalipun para fuqaha berbeza pendapat tentang hukumnya di antara wajib dan juga sunat, akan tetapi tetap menjadi tuntutan dan keutamaan bagi mereka yang hadir untuk mendengar khutbah dengan teliti.

Sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung, akan menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha.

Perbuatan Yang Membantu Fokus Untuk Mendengar Khutbah

Namun terdapat pengecualian ke atas perbuatan-perbuatan yang membantu menambahkan fokus untuk mendengar khutbah. Terutamanya perbuatan yang dapat menghilangkan perasaan mengantuk bagi seseorang itu semasa khutbahnya. Sandaran bagi hal ini adalah sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَتَحَوَّلْ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ إِلَى غَيْرِهِ

IKLAN

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu mengantuk semasa dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat) maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain.

Riwayat Abu Daud (1119)

Hadis ini menunjukkan, tidaklah semua pergerakan anggota badan itu dilarang semasa khutbah. Akan tetapi perbuatan seperti beralih kedudukan dari satu tempat ke tempat yang lain itu dibolehkan bahkan disunatkan, dengan tujuan untuk mengelakkan mengantuk serta dapat terus fokus mendengar khutbah.

IKLAN

Berikut adalah hikmah kepada perbuatan beralih kedudukan ini:

*Pergerakan dapat menghilangkan rasa mengantuk.
*Tempat duduknya yang menyebabkan dia tidur itu terdapat padanya syaitan.

IKLAN

Dua hikmah di atas ini disebutkan oleh al-Sayyid Muhammad Siddiq Hasan di dalam kitabnya Al-Diin al-Khaalis (4/145-146).

Maka perbuatan dan pergerakan seperti ini tidak dilarang dan dianggap sebagai lagha. Bahkan ia suatu yang dituntut lagi disunatkan.

Seseorang yang berasa mengantuk semasa khutbah, disunatkan kepadanya untuk beralih kedudukan tempat duduknya ke tempat yang lain di dalam masjid. Walaupun begitu, memandangkan suasana setempat kita pada hari ini yang mana saf telahpun penuh semasa khutbah maka tidaklah perlu untuk seseorang yang mengantuk itu beralih ke tempat lain sehingga menyebabkan gangguan kepada jemaah lain. Akan tetapi boleh untuknya melakukan perbuatan lain yang dapat menghilangkan perasaan mengantuk seperti memicit lehernya atau badannya dan selainnya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI