Carilah Reda Suami Wahai Wanita

Perkahwinan itu suatu perkara yang serius dan tidak boleh diambil mudah tidak seperti masa bercinta dan bukan masanya untuk bersuai kenal. Ia melibatkan soal masa depan, teman hidup, dan juga bapa kepada anak-anak yang bakal dilahirkan. Maka sudah semestinya seseorang itu perlu memilih dan mencari calon suami yang memenuhi kriteria penting sebagai ‘imam’ dalam rumah tangga.

Walau bagaimanapun rumah tangga yang dibina tidak selalunya aman, di pertengahan jalan mungkin akan ada gelora dan badai yang datang melanda. Jangan cepat berputus asa dan kecewa, hakikatnya dugaan yang datang itu adalah ujian dari Allah SWT untuk menguji sekuat mana iman seseorang itu.

Ingatlah setiap kejadian itu bersebab. Jangan cepat menyalahkan pasangan sebaliknya cubalah untuk membetulkan keadaan. Andai suami berkecil hati dan tertekan dengan sikap anda, pujuk dan raihlah cintanya kembali. Belajarlah untuk memahami keagungan hak-hak suami yang menjadi kewajipan terhadap isteri.

Berikut adalah hak-hak suami yang menjadi kewajiban isteri:

1. Seorang isteri juga perlu menjaga kehormatan, memelihara kemuliaannya serta bijak menguruskan harta, anak-anak dan segala hal yang berhubungan dengan tanggung jawab sebagai isteri di rumah, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sebab itu, maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).”[An-Nisaa’: 34]

2. Buat para suri rumah, janganlah keluar rumah meskipun untuk ke masjid kecuali dengan izin suamimu. Seperti mana firman Allah dalam surah al Ahzaab ayat 33, yang bermaksud,

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu.”

Walau bagaimanapun bagi wanita yang berkerjaya, ajukanlah soalan ini kepada suamimu… ‘Apakah abang reda dan rela saya keluar bekerja?’. Jika jawapannya TIDAK, dapatkanlah keredaannya kerana dengan redanya itu akan memberikan keberkatan kepada gaji yang anda peroleh.

3. Berkhidmat kepada suami dan anak-anaknya. Semestinya seorang isteri itu peneman dan pembantu yang setia bagi seorang suami. Hal ini telah diperlihatkan oleh isteri-isteri solehah daripada kalangan shahabiyah seperti yang dilakukan oleh Asma` bintu Abi Bakar Ash-Shiddiq ra yang berkhidmat kepada suaminya, Az-Zubair ibnul ‘Awwam ra. Ia menguruskan haiwan tunggangan suaminya, memberi makan dan minum kudanya, menjahit dan mengadun tepung untuk membuat makanan. Dia juga turut memikul biji-bijian dari tanah milik suaminya sementara jarak tempat tinggalnya dengan tanah tersebut sekitar 2/3 farsakh.” (Riwayat Bukhari no. 5224 dan Muslim no. 2182)

Demikian juga kisah Fatimah binti Rasulullah s.a.w di rumah suaminya, Ali bin Abi Thalib ra. Sehingga kedua tangannya melecet kerana menggiling gandum. (Riwayat Bukhari no. 5361 dan Muslim no. 2182)

4. Jangan mengungkit pemberian yang diinfakkan kepada suami dan anak-anak.

Allah SWT telah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)” (al Baqarah: 264).

5. Reda dengan yang sedikit, memiliki sifat qona’ah (merasa cukup) dan tidak membebani suami lebih daripada kemampuannya. Allah SWT berfirman,

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.” (. Ath Tholaq: 7)

6. Tidak menyakiti hati suami dan tidak membuatnya marah. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia melainkan isterinya dari kalangan bidadari akan berkata, “Janganlah engkau menyakitinya. Semoga Allah memusuhimu. Dia (sang suami) hanyalah tamu di sisimu; hampir saja ia akan meninggalkanmu menuju kepada kami”. (Riwayat Tirmidzi no. 1174 dan Ahmad 5: 242. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)

7. Terus ingin hidup bersama suami dan tidak meminta untuk diceraikan kecuali jika ada alasan yang kukuh. Nabi s.a.w bersabda,“Setiap wanita yang meminta talak kepada suaminya tanpa ada alasan (yang dibenarkan oleh syar’i), maka haram baginya mencium wangi syurga.” (HR. Tirmidzi no. 1199, Abu Daud no. 2209, Ibnu Majah no. 2055. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini shahih.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*