Fantasi pelampau agama

 

Di surau sebuah kampung, jemaah yang hadir untuk solat berjemaah sering rasa terganggu dan hilang kekhusyukan apabila imam yang mengimami sering membaca surah yang terlalu panjang setiap kali solat. Malah usai solat, doa yang dibaca juga terlalu panjang, mendayu, dan merintih dengan suara yang kuat, hingga mengganggu jemaah lain yang sedang solat sunat dan membaca al-Quran. Sedangkan, Islam itu sendiri cukup mudah, sempurna dan tidak menyulitkan.

Agama yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW ini bersandarkan kepada dua sumber utama iaitu al-Quran dan hadis. dan di bawahnya pula terdapat pelbagai cabang-cabang seperti ijmak ulama, maqasid syariah, kias dan pelbagai lagi.

Dunia hari ini, dek kerana kesempurnaan agama, sesetengah dalam kalangan kita menjadi ghuluw. Apa itu ghuluw? Ghuluw adalah individu yang terlampau dalam agama atau pelampau agama. Jelas sekali pemikiran mereka ini menyimpang daripada landasan sebenarnya. Bukan hanya al-Quran yang memberi amaran terhadap bahayanya penyelewengan ini, Nabi SAW turut memberi ingatan perihal golongan ini kerana mereka mampu memperdaya manusia dengan sifat warak dan keilmuan dalam agama.

Menurut pendakwah, Datuk Dr Abdul Basit Abd Rahman, Islam adalah agama yang sempurna dan sederhana, tidak melampaui batas akal pemikiran dan tabiat semula jadi manusia, tidak juga terlalu bermudah-mudah dan longgar sehingga tiada disiplin dan lari daripada kehidupan normal manusia yang sepatutnya. Islam telah menentang semua perkara yang mengarah kepada sikap melampau (ghuluw) dan cuai.

Beliau yang bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) mengulas tajuk Fantasi Pelampau Agama dalam Sisipan Fikry minggu ini. Katanya, Rasulullah SAW sendiri telah berpesan dan mengingatkan umatnya supaya berjaga-jaga dan menjauhi sifat melampau dalam agama dengan bersabda: “Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama.” (Riwayat Ahmad, Nasai & Ibn Majah)

Jangan salah menilai ghuluw

BELIAU yang popular dikenali sebagai Abu Anas Madani mengatakan, golongan pelampau agama adalah mereka yang melanggar batas kesederhanaan dalam amalan agama sama ada daripada sudut pemikiran dan juga amalan.

“Ini adalah iktikad yang salah dan satu tindakan yang terkeluar dari jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami Islam. Ghuluw dalam agama adalah sikap dan perbuatan berlebih-lebihan, melampaui apa yang dikehendaki oleh syariah.

“Sikap ghuluw dalam agama (melampaui batas atau berlebih-berlebihan) adalah sikap yang tercela dan dilarang oleh syariah. Sikap ini tidak akan mendatangkan kebaikan bagi pelakunya; juga tidak akan memberikan hasil yang baik dalam segala urusan. Lebih-lebih lagi dalam urusan agama,” jelas anak kelahiran Kelantan ini lagi.

Menurutnya, terdapat dalil-dalil al-Quran dan Sunnah yang memperingatkan dan mengharamkan ghuluw yakni sikap melampaui batas ini.

Sepertimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Katakanlah: Wahai ahli kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulu (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.”  (Surah Al-Maidah: 77)

Istilah lain

Terdapat beberapa istilah lain yang digunakan oleh syariah untuk sikap berlebih-lebihan dalam agama selain ghuluw ini, di antaranya:

1. Tanattu’ (sikap ekstrem)

Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah orang-orang yang ekstrem!” Baginda SAW mengucapkannya tiga kali.  (Riwayat Muslim no 26703)

2. Tasyaddud (keras atau memberatkan diri)

Anas bin Malik RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu memberat-beratkan dirimu sendiri, sehingga ALLAH akan memberatkan dirimu. Sesungguhnya suatu kaum telah memberatkan diri mereka, lalu ALLAH memberatkan mereka. Kesan-kesan mereka masih dapat kamu saksikan dalam biara-biara dan rumah-rumah ibadat, mereka mengada-adakan rahbaniyyah (ketuhanan/kerahiban) pada hal Kami tidak mewajibkannya atas mereka.” (Riwayat Abu Daud, Sahih, Lihat: As-Sahihah (3124))

Dalam hadis lain pula Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya agama ini mudah. Dan tiada seseorang yang mencuba memberatkan diri dalam agama ini melainkan ia pasti kalah (gagal).” (Riwayat Al-Bukhari)

3. I’tida’ (Melampaui ketentuan syariah)

ALLAH berfirman: “Dan perangilah di jalan ALLAH orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-Baqarah: 190)

Dalam ayat lain juga ALLAH telah berfirman: “Itulah batasan-batasan hukum ALLAH, maka janganlah kalian melampauinya.” (Surah Al-Baqarah: 187)

4. Takalluf (Memaksa diri)

ALLAH berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikit pun daripadamu atas dakwahku dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan.” (Surah Sad: 86)

Bentuk-bentuk ghuluw

Secara umumnya, ghuluw boleh berlaku dalam tiga keadaan, iaitu melalui keyakinan, perkataan dan amal perbuatan.

Pertama, Ghuluw dalam bentuk keyakinan.

Contohnya sikap berlebih-lebihan terhadap malaikat, nabi dan orang-orang soleh dengan meyakini mereka sebagai golongan yang mengetahui perkara ghaib atau mempunyai kuasa ajaib yang menandingi kuasa Tuhan. Atau meyakini  wali dan orang-orang soleh sebagai orang-orang yang maksum (bersih daripada dosa). Contohnya adalah keyakinan orang-orang syiah Rafidhah terhadap ahli bait dan keyakinan orang-orang sufi terhadap orang-orang yang mereka anggap wali.

Kedua, ghuluw dalam bentuk ucapan. Contohnya, puji-pujian yang berlebih-lebihan terhadap seseorang, sehingga mengangkat darjat mereka ke tahap darjat ketuhanan, mengetahui perkara ghaib atau boleh memberi bantuan walaupun telah mati. Begitu juga cara berzikir yang direka dengan cara yang pelik, menari, melompat dan seumpamanya yang tidak diamalkan oleh Nabi SAW dan sahabat.

Ketiga, ghuluw dalam bentuk amal perbuatan. Contohnya terlalu mengikuti waswas dalam bersuci atau ketika hendak bertakbiratul-ihram. Sehinggakan seseorang itu berulang-ulang berwuduk kerana menuruti waswas. Begitu juga seseorang yang berulang-ulang bertakbiratul-ihram kerana berasa belum sesuai dengan niatnya. Demikian juga sangat keras dalam tindakan terhadap orang yang tidak mengikut mereka.

Sebenarnya, ada satu lagi jenis ghuluw yang perlu diawasi, iaitu ghuluw dalam semangat. Jenis ini biasanya mempengaruhi  pemuda yang memiliki semangat keagamaan yang berlebih-lebihan, tetapi cetek dan sedikit pemahaman agamanya. Sehinggakan mereka jatuh dalam sikap gopoh dan melulu dalam menjatuhkan hukum kafir, fasiq dan bidaah terhadap semua orang yang menyalahi pandangannya walaupun mereka itu berpegang dengan dalil yang soheh dan soreh (jelas dalilnya).

Ciri-ciri pelampau

Sikap dan gerakan ekstrem melampau ini bukanlah sesuatu yang baharu, telah muncul gerakan ini di peringkat awal yang dikenali dengan golongan khawarij dan kumpulan yang berfahaman seperti mereka, bahkan kita dapat kita melihat ia semakin bertambah dengan berselindung di sebalik nama agama dan perjuangan. Mereka menyeru dan menyebarkan kepada orang ramai pandangan dan sikap ektremism ini, keras terhadap sesama orang Islam yang berbeza pandangan.

Ciri-ciri ini wujud di sepanjang zaman hingga sampai ke zaman kita hari ini.

Ada dalam kalangan mereka yang menghabiskan masa dan tenaga untuk menjatuhkan hukuman ke atas orang lain, tanpa perbicaraan atau merujuk kepada dalil dan sandaran golongan yang mereka tentang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*