Gelombang al-Quran di Perth

Tanggal 19 Jun lalu melakar sejarah tanah air apabila Malaysia #QuranHour menyatukan umat Islam di dalam dan luar negara untuk sejam bersama al-Quran. Gelombang al-Quran tersebut turut disambut baik oleh warga Muslim di Perth, Australia untuk mengimarahkan al-Quran pada 24 Ramadan 1438H.

Penggeraknya, Azizi Khalid, 36, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TwentyEight Labs berkata, seramai 30 peserta kalangan penduduk setempat dan pelajar mengikuti aktiviti membaca, bertadabbur dan bertazakkur al-Quran di padang Winthrop Hall, University of West Australia (UWA).

Azizi menjadi penggerak Malaysia dan World #QuranHour di Perth.

“Program Malaysia #QuranHour adalah julung kali diadakan dalam komuniti di Perth anjuran TwentyEight Labs, Radio Melayu Perth dan Malaysian Postgraduate Students’ Association – Western Australia.

“Pada hari tersebut, saya mengadakan sesi taddabur dan tazakkur Surah Al-Qadr. Ini bersesuaian dengan mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh barakah untuk dimanfaatkan oleh umat Islam,” ujar beliau yang juga imam dan penasihat agama masjid di Perth.

Dalam perkongsian ilmu tersebut, Azizi menyentuh kepentingan al-Quran yang diturunkan oleh ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibrail pada bulan Ramadan.

 Aziz bersama keluarga tercinta.

 

“Untuk membaca al-Quran perlu bertajwid dan memperelok suara dengan sebutan makhraj yang betul. Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Jika tidak faham, ia perlu diusahakan dengan membaca terjemahan, tafsir dan menghadiri pengajian al-Quran.

“Jangan malu atau takut untuk mula belajar al-Quran.  Apabila kita yakin dengan janji ALLAH, insya-Allah dipermudahkan usaha kita dalam memahami al-Quran.

Apabila kita dapat memahami isi kandungan al-Quran, ia boleh dijadikan panduan kehidupan. Untuk faham al-Quran, bacalah sirah Baginda SAW. Cara kehidupan Baginda SAW menterjemahkan apa yang disampaikan dalam al-Quran,” katanya.

Madrasah menjadi platform belajar al-Quran kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Buka madrasah

Azizi bercadang untuk bekerjasama dengan pihak masjid dan komuniti Muslim di sekitar bandar tersebut untuk mengadakan World #QuranHour pada 31 Ogos ini. Beliau menjangkakan mendapat sambutan peserta Muslim daripada pelbagai latar belakang.

Beliau yang kini bermastautin di Australia sejak tujuh tahun lalu menjadi pengasas madrasah di UWA. Tempat tersebut memberi ruang untuk golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa mempelajari agama khususnya al-Quran.

“Saya mengajar golongan remaja dan dewasa di madrasah, manakala isteri saya, Safiyyah Abdul Aziz, 34 adalah seorang pakar psikologi pula mengajar golongan kanak-kanak.

Azizi bertadabbur dan bertazakkur Surah Al-Qadr ketika Malaysia #QuranHour di Perth.

“Pada awalnya, saya menghadapi kesukaran untuk memasukkan anak ke sekolah berasaskan agama di Perth disebabkan tempat terhad. Dengan membuka madrasah tersebut, ia memberi peluang kepada lebih 40 anak Muslim setempat yang berusia daripada 5 hingga 17 tahun untuk mempelajari agama.

“Saya juga memperkenalkan masjid mesra kanak-kanak untuk menggalakkan golongan tersebut mendekati rumah ALLAH. Sebelum ini, terdapat larangan kanak-kanak masuk ke masjid untuk mengelakkan daripada mengganggu orang beribadah,” katanya.

Cenderung agama

Azizi yang berkelulusan bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapati kebanyakan orang boleh membaca al-Quran, tetapi tidak faham maksudnya.

Oleh itu beliau membina satu aplikasi www.baqarah.co bagi memudahkan pengguna untuk baca dan faham ayat al-Quran daripada Surah Al-Baqarah.

Melalui aplikasi tersebut pengguna boleh memahami bahasa Arab melalui terjemahan dalam bahasa Inggeris dengan lebih mudah. Ini kerana Surah Al-Baqarah mempunyai 70 peratus daripada penguasaan ayat al-Quran.

Ditanya kecenderungan Azizi terhadap pendidikan agama, beliau menyatakan ia adalah hasil didikan kedua ibu bapanya yang mementingkan al-Quran dalam kehidupan.

“Alhamdulillah, saya dibesarkan dalam keluarga yang menitik beratkan pendidikan agama. Dari kecil memang menghafal al-Quran dan disemak oleh ibu saya.

“Semasa cuti di sekolah rendah, memang ada program hafalan tetap dengan ibu. Makanan tengah hari hanya dihidangkan selepas hafalan pagi selesai. Saya hanya dibenarkan bermain dengan kawan-kawan pula setelah hafalan petang selesai.

“Setiap kali cuti sekolah menengah dan universiti, saya mengikut ayah yang bertugas sebagai pengurus syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) di Mesir. Saya akan mengambil peluang bertalaqqi dengan masyaikh Al-Azhar di rumah mereka ataupun di masjid,” ujar bapa kepada dua anak ini.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*