Hafal Al-Quran Cara Sharifah Khasif

Mendengar lemak merdu suara empunya diri mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran membuatkan jiwa seakan terusik. Lengkap dengan tajwid dan taranumnya, ramai terpesona dengan bacaan beliau seakan-akan terleka dibuai kemerduan suaranya.

Mesra dengan panggilan ustazah, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman bukan calang-calang wanita yang mampu menyampaikan bacaan Al-Quran dengan baik. Wanita berdarah Melayu-Yaman ini nyata memiliki aura tersendiri yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Sharifah Khasif menyifatkan zaman kanak-kanak yang dilaluinya tidak seindah insan lain kerana terpaksa menghafal Al-Quran setiap hari. Sikap bapanya yang agak garang membuatkan mereka adik-beradik takut untuk membantah dan hanya menurut perintah. Bagaimanapun, dia amat bersyukur kerana berkat didikan tersebut dia mampu menikmati kesenangan pada hari ini, selain dapat berbakti kepada masyarakat.

“Waktu malam kalau tak hafal kena tidur di luar. Memang 24 jam telinga mendengar bacaan Al-Quran dan boleh dikatakan sepenuh masa saya dengan kitab ini saja. Sekarang, saya banyak berlatih dalam kelas. Mengajar dalam kelas bukan kerana saya hendak duit atau sebagainya tapi sebab saya takut tak ada masa hendak berlatih lagi,” jelasnya yang mengadakan kelas membaca Al-Quran pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat yang mana ia terbuka untuk kelas umum dan secara tertutup untuk golongan VIP.

Dicungkil tentang rahsia beliau mudah mengingat ayat-ayat Al-Quran yang ingin dihafal, Sharifah Khasif tidak lokek berkongsi tip.

“Tinggalkan segala masalah dan kekusutan fikiran. Kosongkan fikiran dan serah pada ALLAH bulat-bulat untuk mengizinkan kita menghafal ayat-ayat Al-Quran. Jangan merasakan diri kita ini sudah cukup ilmu. Sentiasa merendah diri dan teruskan belajar.

“Al-Quran ialah mukjizat jadi kita kena minta pada ALLAH supaya mudahkan hafalan kita. Sentiasa jadi orang yang sibuk dengan membaca Al-Quran. Jika selalu santai sahaja maka kita tidak akan berjaya menghafal dan mengimarah Al-Quran. Tiada jalan singkat dalam soal menghafal ayat-ayat Al-Quran.

“Makan minum memang saya jaga. Saya amalkan makan kurma kerana tahu akan khasiatnya untuk tenaga manakala air suam untuk penjagaan suara. Walau bagaimanapun untuk menghafal, perlu sentiasa ‘berdamping’ dengan Al-Quran.

“Pendek kata, 24 jam sehari. Memang perlu lebih kurang 12 jam sehari untuk menghafal dan ulang betul-betul ayat yang dibaca. Jika mahu menghafal Al-Quran, letakkan tempoh sasaran. Paling lama tiga tahun. Selepas itu belajar pula untuk menghafal ilmu tafsir,” tegas Sharifah Khasif.

Kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Untuk mencapai kejayaan, perlulah ada usaha dan pengorbanan.

Sumber: Sisipan Wanita Oh Wanita, Sinar Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*