Seorang Muslim yang hebat amalan sedekahnya bukan saja mendapat sanjungan di atas muka bumi ini, malah turut mendapat doa malaikat. Apa yang pasti setiap amalan sedekah yang dilaburkan akan ada gantinya daripada Allah SWT.
Setiap sedekah akan digantikan dengan ganjaran pahala, limpahan rezeki berganda, menyihatkan tubuh badan dan mendapat keberkatan hidup. Sedekah yang paling besar pahalanya dilaksanakan ketika seseorang sedang sihat dan berasa sayang terhadap harta itu. Oleh itu jangan ditunda untuk bersedekah sebelum ajal datang menjemput.
Kisah nama manusia di bumi disanjung makhluk langit pernah diceritakan Rasulullah SAW dalam sabdanya:
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi SAW pernah bersabda: “(Pada suatu hari) ketika seorang lelaki berada di sebuah tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan, “Siramlah air (hujan) kepada kebun si fulan itu!” Awan itu pun bergerak lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah yang berbatu hitam.
Saluran air pada tanah tersebut kemudiannya menampung semua curahan air hujan (dan mengalirkannya ke suatu arah). Lelaki itu pun mengikuti air itu dan menemui seorang petani yang berdiri di kebunnya sedang mengubah aliran air dengan cangkulnya. Lelaki itu bertanya, “Wahai hamba Allah, siapa namamu?” Petani itu menjawab, “Nama saya fulan” iaitu nama yang baru didengarnya dari angkasa. Si petani bertanya kepadanya, “Wahai hamba Allah, mengapa anda tanyakan nama saya?”
Kata lelaki itu, “Sebenarnya, sekejap tadi saya dengar satu suara dari awan yang baru menurunkan air ini. Suara itu berkata, “Siramilah air pada kebun si fulan!” menyebut nama anda. Apa yang anda buat dengan kebun ini?” Petani itu berkata, “Baiklah, kalau anda katakan begitu. Sebenarnya, saya selalu perhatikan apa yang keluar dari kebun ini, lalu saya sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya saya makan bersama keluarga saya, dan 1/3 lagi saya kembalikan (untuk modal cucuk tanam),” – Sahih Muslim.
AMALAN YANG DISUKAI MALAIKAT
Ads
Berdasarkan hadis itu, amalan yang disukai malaikat di langit adalah sedekah! Pemilik kebun itu dikenali para malaikat kerana sedekahnya.
Dalam hadis lain, orang yang kuat sedekah turut mendapat doa para malaikat.
Sabda Rasulullah SAW:
Abu Hurairah r.a. menyebut bahawa Nabi SAW bersabda: “Tiada suatu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa “Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa “Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan,” – Sahih Bukhari dan Muslim.
Ads
“Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril mengulang kaji al-Quran dengan Nabi pada Ramadan. Baginda benar-benar pemurah (pada bulan Ramadan) seperti angin yang bertiup kencang,” – Sahih Bukhari.
MENYESAL KALAU TAK BUAT
Selain dicintai para malaikat, faedah sedekah tak terkira banyaknya. Dalam satu ayat Allah menyebut ia menjadi sesalan sesetengah orang setelah mereka mati kelak sehingga ada yang mahu ditangguhkan mati agar diberi peluang kedua untuk lebih banyak bersedekah:
Ads
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku jadi daripada orang yang soleh,” (al-Munafiqun)
Allah SWT berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”
GANJARAN YANG SANGAT LUAS
Benar sekali firman Allah ini, sedekah pasti berganti dan gantiannya pula sangat luas. Ada pahala, ada syurga, ada limpahan rezeki, ada kesihatan, ada keberkatan hidup, ada nama yang harum pada manusia dan ada pula rasa cinta para malaikat kepada kita. Apabila kita dicintai para malaikat, hidup kita semakin indah dan berkat kerana doa mereka.
Oleh itu, marilah kita sama-sama menyemarakkan budaya sedekah agar kita sentiasa mendapat rahmat Allah dan dikenali oleh para malaikat. Sedekah pasti berganti dan gantiannya pula sangat luas.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) : “Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Banyak perkara dalam kehidupan kita yang kita tahu boleh dapat pahala lebih tapi tidak kita amalkan. Seakan sukar untuk diamalkan dalam kehidupan harian, kita lebih selesa meneruskan aktiviti gaya hidup yang sedia ada tanpa cuba untuk mengubah gaya hidup ke arah yang lebih baik.
BERIKUT 12 PERKARA YANG KITA TAHU ADA FADHILATNYA TAPI KITA PANDANG SEBELAH MATA:
1. Kita mengetahui solat secara berjemaah itu adalah sunnah, mendapat lebih 27 darjat lebih berbanding solat bersendirian. Tetapi ruginya kita masih tidak mampu untuk berjemaah di masjid atau surau.
2. Kita mengetahui bahawa ucapan “Subhaanallaahi wa bihamdihi” sebanyak 100 kali dalam sehari akan menghapuskan dosa-dosa kita, walaupun dosa kita sebanyak buih di lautan. Akan tetapi sayang, Berapa banyak hari kita yang berlalu tanpa kita mengucapkannya sedikitpun.
3. Kita mengetahui bahawa pahala dua rakaat Dhuha setara dengan pahala 360 sedekah, akan tetapi sayang, hari berganti hari tanpa kita melakukan solat Dhuha.
4. Kita mengetahui bahawa orang yang berpuasa sunnah kerana Allah satu hari saja, akan dijauhkan wajahnya dari api neraka sejauh 70 musim atau 70 tahun perjalanan. Tetapi sayang, kita tidak mahu menahan lapar.
5. Kita mengetahui bahawa siapa yang menjenguk orang sakit akan diikuti oleh 70 ribu malaikat yang memintakan ampun untuknya. Tetapi sayang, kita belum juga menjenguk satu orang sakit pun minggu ini.
6. Kita mengetahui bahawa siapa yang membantu membangun masjid kerana Allah walaupun hanya sebesar sarang burung, akan dibangunkan sebuah rumah di syurga. Tetapi sayang, kita tidak tergerak untuk membantu pembangunan masjid walaupun hanya dengan beberapa ringgit.
7. Kita mengetahui bahawa siapa yang membantu ibu tunggal dan anak yatimnya, pahalanya seperti berjihad di jalan Allah, atau seperti orang yang berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka, atau orang yang solat sepanjang malam tanpa tidur. Tetapi sayang, sampai saat ini kita tidak berniat membantu seorang pun anak yatim.
8. Kita mengetahui, bahawa orang yang membaca satu huruf dari Al-Qur’an, baginya sepuluh kebaikan dan satu kebaikan akan di lipatgandakan sepuluh kali. Tetapi sayang, kita tidak pernah meluangkan waktu membaca Al-Qur’an dalam jadual harian kita.
9. Kita mengetahui bahawa haji yang mabrur, tidak ada pahala baginya kecuali syurga, dan akan diampuni dosa-dosanya sehingga kembali suci seperti saat dilahirkan oleh ibunya. Tetapi sayang, kita tidak bersemangat untuk melaksanakannya, padahal kita mampu melaksanakannya.
10. Kita mengetahui bahawa orang mukmin yang paling mulia adalah yang yang paling banyak solat malam, dan bahawasanya Rasulullah SAW dan para sahabatnya tidak pernah meremehkan solat malam ditengah segala kesibukan dan jihad mereka. Tetapi sayang kita terlalu meremehkan solat malam.
11. Kita mengetahui bahawa hari kiamat pasti terjadi, tanpa ada keraguan, dan pada hari itu Allah akan membangkitkan semua yang ada di dalam kubur. Tetapi sayang, kita tidak pernah mempersiapkan diri untuk hari itu.
12. Kita sering menyaksikan orang-orang yang meninggal mendahului kita. Tetapi sayang, kita selalu hanyut dengan senda gurau dan permainan dunia seakan kita mendapat jaminan hidup selamanya.
Sumber: Imam Muda Azlan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Nabi SAW pernah melalui dua kubur lalu bersabda maksudnya: “Ingatlah sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa. Seorang daripadanya diseksa kerana dahulu dia suka membuat fitnah dan seorang lagi diseksa kerana tidak menghindari diri daripada percikan air kencing.”
Kemudian Baginda SAW mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu dibelahnya menjadi dua. Setelah itu, Baginda menanam salah satunya pada kubur pertama dan yang satu lagi pada kubur kedua sambil bersabda: “Semoga pelepah ini boleh meringankan seksanya selagi ia belum kering.” (Riwayat Bukhari: no.1378 dan Muslim: no.292)
Adakah ia memberi syafaat?
Peristiwa ini telah mengundang beberapa persoalan tentang manfaat meletakkan pelepah kurma ataupun tumbuhan lain di atas kuburan. Namun apa yang jelas hadis ini merupakan dalil pelepah kurma segar boleh meringankan azab kepada mayat.
Persoalannya adakah munasabah kedua-dua pelepah ini dapat meringankan seksa mayat tersebut? Ulama mempunyai dua pandangan utama mengenai masalah ini.
a) Sebahagian ulama berpendapat ia dapat meringankan azab kerana kedua-dua pelepah itu sentiasa bertasbih sehingga ia kering. Tasbih boleh meringankan azab ke atas orang yang sudah mati. Berdasarkan illat (sebab) ini, mereka menyatakan sunat datang ke kubur dan membaca tasbih dengan harapan mayat itu diringankan seksanya.
b) Manakala sebahagian lain mengatakan bahawa illat ini lemah kerana kedua-dua pelepah kurma tersebut tetap bertasbih, sama ada dalam keadaan segar mahupun kering. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucapkan tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya. Tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka…” (Surah al-Isra’:44)
Dalam peristiwa ini terjadinya keringanan azab kerana Rasulullah SAW berdoa kepada Allah SWT agar azab kedua-dua mayat itu diringankan selagi pelepah kurma tersebut masih segar. Ini bermakna keringanan azab tidak berlaku selama-lamanya.
Perbuatan Nabi SAW itu hanya bertujuan memberikan amaran kepada umatnya tidak melakukan perbuatan yang dilakukan oleh mayat-mayat tersebut iaitu membuat fitnah dan tidak membersihkan kencingnya.
Inilah maksud yang lebih tepat dengan hadis. Ianya merupakan syafaat yang bersifat sementara dan memberi amaran bukannya kerana Rasulullah SAW tidak mahu memberikan syafaat abadi kepada mereka.
Bolehkah tumbuhan diletakkan?
Berkenaan hukum terhadap perkara ini sebahagian ulama berpendapat, sunat meletakkan pelepah kurma segar, pokok dan lain-lain di atas kubur untuk meringankan azab mayat di dalamnya. Tetapi menjadi satu kesalahan untuk mengaitkan hukum perbuatan ini dengan apa yang dilakukan Nabi SAW atas beberapa alasan:
i. Kita tidak tahu sama ada mayat sedang diseksa atau tidak. Sedangkan Rasulullah SAW diperlihatkan oleh Allah SWT akan keadaan mayat tersebut melalui wahyu.
ii. Jika kita meletakkan tumbuhan di atas kubur atas tujuan itu, ia seakan-akan kita bersangka buruk pada mayat bahawa dia sedang diseksa. Sedangkan kita tidak tahu nasib yang dialami oleh mayat tersebut.
iii. Istinbat hukum perbuatan ini bercanggah dengan amalan ulama salaf. Sedangkan merekalah orang yang paling faham terhadap syariat Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW
iv. Allah SWT telah mengajar kita amalan yang lebih baik dalam memberikan keringanan kepada mayat iaitu mendoakan kebaikan untuk si mati.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...