Hitam Abu Dinobat Penerima Anugerah Ibu Mithali

Hitam Abu, 83, atau lebih mesra disapa Mak Itam bersyukur kerana terpilih sebagai penerima Anugerah Ibu Mithali. Pelbagai suka duka kehidupan telah diharungi oleh ibu asal Johor ini. Cabaran hidup yang dihadapinya bukan sedikit, dan bukan calang wanita mampu melakukan secekal ibu ini.

Membesarkan anak seramai 11 orang bukan mudah buat suri rumah yang bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai nelayan. Ketiadaan suami keluar mencari rezeki, Mak Itam sabar memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Berkat kesabaran dan kegigihan beliau, kesemua anaknya sudah berjaya dalam kehidupan dan bidang masing-masing. Antara kejayaan paling manis, apabila anak keempatnya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran menjadi peneroka dan penternak berjaya.

“Antara anak menantu, saya tidak pernah membezakan kasih sayang dan perhatian, semuanya sama. Duit sumbangan anak-anak saya simpan dan bantu pula anak dan cucu-cucu yang memerlukan,”katanya.

Kemanisan ini turut dikongsi anak ke tujuh, Prof Datuk Dr Mizan Hitam.

“Perasaan syukur yang sangat tinggi, ini merupakan penghormatan buat emak dan keluarga kami. Emak melahir dan mendidik kami dalam keluarga yang asalnya serba kekurangan. Arwah ayah seorang nelayan, mak pula membantu dengan kerja-kerja di rumah. Mak juga mengajar mengaji, selama hampir 60 tahun tanpa bayaran.

“Saya berharap ia menjadi contoh yang baik. Terus memotivasikan bukan hanya kepada kami sekeluarga, tetapi seluruh masyarakat. Yang penting, didikan agama, akhlak, solat, akal dan budi. Ini yang diterapkan kepada semua ahli keluarga,” katanya

Sumber: Sinar Islam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*