Jiwa tawakal janjikan kemenangan

ALLAH SWT berfirman: “(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa ALLAH membantu kamu dengan 3,000 tentera daripada malaikat diturunkan?”

“Bahkan (mencukupi dan dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, pasti ALLAH membantu kamu dengan 50,000 malaikat yang memakai tanda.” (Surah Ali-Imran: 124 & 125)

Asbab Nuzul Alquran

Turunnya ayat ke-14 ini diceritakan dalam satu riwayat sewaktu perang Badar berlaku, kaum Muslimin mendengar khabar yang mana Karz bin Jabir Al-Muharibi ingin memberikan bantuan bala tentera untuk membantu kaum Musyrikin menentang pasukan Muslimin. Pemberian bantuan ini menimbulkan kebimbangan dan kekhuatiran dalam kalangan pasukan Muslimin. Tetapi kemudian ALLAH menurunkan ayat tersebut sebagai penjelasan dan pengubat kerisauan mereka untuk menghadapi musuh. (Abdurrazaq, Kitab Al-Musannaf, hlmn 124) Dipetik daripada Al-Quran Amazing terbitan Karya Bestari, halaman 130.

Intisari Penting

Dalam ayat di atas, antara lain ALLAH ingin menceritakan perkara yang berlaku dalam peperangan Badar. Perang Badar adalah perang pertama yang dihadapi oleh umat Islam di Madinah. Ia memberi gambaran kepada kita betapa mulianya umat Islam yang berpegang teguh kepada agama ALLAH. Sejarahnya bermula apabila Nabi Muhammad SAW bersama 313 tenteranya telah keluar dari Madinah untuk menyekat rombongan kaum Quraisy yang pulang berdagang dari Syria (Syam) dalam usaha untuk melemahkan persiapan tentera Quraisy Makkah untuk menyerang Madinah. Abu Sufyan yang mengetuai rombongan tersebut telah menyedari tindakan Rasulullah SAW itu lalu beliau telah menghantar utusannya yang bernama Dham Dham bin Amr Al-Ghifari meminta bantuan dari Makkah.

Sebelum berlaku peperangan di Badar, Nabi SAW telah mengutuskan Talhah Bin Ubaidullah dan Said bin Zaid untuk mengumpul maklumat perihal kabilah Abu Sufyan. Mereka mengumpulkan maklumat dan kembali ke Madinah untuk menyampaikan kepada Baginda SAW. Lalu Baginda SAW bergerak bersama-sama pengikutnya menuju ke Badar.

Di akhir peperangan, kejayaan berpihak kepada pasukan Islam yang berjaya mengalahkan pasukan musyrikin dengan bantuan dan pertolongan ALLAH.

Foto(Syamsul Bahri Muhammad/Getty Images)

Nasihat & pengalaman

Kemenangan dalam sesuatu peperangan bukan hanya ditentukan oleh kekuatan sesebuah pasukan mahupun kelengkapan senjata yang dimiliki. Namun yang paling penting adalah kekuatan dalaman atau rohani yang berjiwa besar sebagaimana yang ditunjukkan Baginda SAW dan sahabat yang lain pada saat melawan musuh di medan peperangan. Pergantungan mereka kepada ALLAH benar-benar kuat dan yakin sehingga ALLAH memudahkan kesulitan yang dihadapi.

Antara kekuatan tersebut ialah kemantapan akidah, keimanan yang kukuh kepada ALLAH dan cinta kepada syahid. Apabila kekuatan ini dibina dengan baik pastinya bebas daripada perpecahan, kesesatan dan kerosakan. Jauh sekali perbezaannya dengan perilaku yang ditunjukkan oleh kaum Musyrikin yang mementingkan syahwat dan dunia semata-mata serta berpegang pada ajaran nenek moyang yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam.

Oleh itu, sebagai umat Islam dan umat Nabi SAW, sepatutnya kita juga mengambil semangat sahabat Baginda SAW dengan menjadikan diri kita kuat dalam menghadapi ujian dan cabaran hidup. Janganlah sesekali mudah goyah pergantungan kita kepada ALLAH dalam apa jua keadaan sekalipun agar kita terus menjadi Muslim berjiwa besar yang akan menyumbangkan khidmat kepada agama yang diredai-Nya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*