Andai dosa itu berbau, tiada manusia yang ingin melakukan dosa. Hakikatnya dosa yang dilakukan bukan sahaja tidak ‘berbau’ malah tidak kelihatan pada zahirnya hingga ramai terleka walau acap kali melakukan dosa.
Berkata Muhammad Ibn Wasi’ al Azdi : “Sekiranya bagi setiap perbuatan dosa itu mempunyai bau busuk yang dapat dicium, nescaya tidak ada seseorang pun yang mampu untuk mendekati diriku disebabkan kerana bau (dosaku) yg menyakiti mereka”
Ads
Jika bau badan kerana peluh atau keringat pun sudah cukup untuk menyakiti orang yang mendekati di sekeliling kita, bahkan kita tidak mahu orang mendekati kita saat kita berbau badan kerana peluh, atau membuang angin, atau terbau najis setelah membuang air, atau saat terjaga dari tidur akan bau mulut, maka apatah lagi BAU DOSA yang mungkin lebih busuk daripada itu. Nescaya tiada manusia yang akan ingin melakukan dosa pada TuhanNya. Akibat menanggung MALU pada manusia.
Ads
Ads
Sumber: FB: Imam muda Hafiz
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Tidak dinafikan dalam kehidupan berumahtangga ada pasang surutnya. Jika disebabkan masalah rumahtangga tidak ada masalah, tetapi bimbang masalah lain yang mengganggu gugat kerukunan rumahtangga setiap pasangan.
Namun sebagai orang Islam kita perlu percaya dengan kekuasan Allah dan hanya memohon pertolongan daripadaNya.
Jadi bagi mengelak perkara tidak diingini atau gangguan sihir amalkan bacaan Ayat Kursi untuk menghindari sihir yang boleh meruntuhkan kebahagiaan sesebuah rumahtangga.
Sihir pemisah ataupun turut dikenali sebagai sihir pelalau penghalang jodoh, turut berupaya untuk mencetuskan pergaduhan di antara ahli keluarga.
Sihir seperti ini biasanya dihantar oleh seseorang yang mempunyai niat yang buruk atau jahat dan juga mempunyai tujuan tersendiri yang tidak elok.
Jika sihir pemisah ini dihantar pada pasangan suami isteri maka di antara mereka akan menunjukkan perubahan sikap terhadap pasangan masing-masing.
Fasa berlakunya perubahan jika dihantar sihir pemisah adalah seperti berikut:
Fasa 1: Mula timbul rasa benci
Fasa 2: Sering berlaku perselisihan faham
Fasa 3: Mempunyai perasaan tidak percaya akan pasangan
Fasa 4: Perasaan cemburu buta makin menjadi-jadi
Fasa 5: Sudah tidak mempunyai perasaan untuk bersama
Fasa 6: Semakin berubah rupa dengan sikap yang teruk
Fasa Terakhir: Akan meminta berpisah atau bercerai dengan pasangan
Cara yang paling baik untuk menghindari sihit adalah dengan mengamalkan ayat Kursi selepas solat, setiap pagi, petang dan juga sebelum tidur.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Jika kamu hendak tidur, bacalah ayat Kursi sampai selesai satu ayat. Maka akan ada penjaga dari Allah untukmu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sampai pagi.”
Perbezaan yang ketara antara puasa umat Islam dengan umat-umat yang terdahulu ialah dapat dilihat pada amalan bersahur.
Daripada Amru bin al-Ash bahawa bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan Ahli Kitab ialah makan sahur. (Riwayat Muslim).
Umat-umat terdahulu berpuasa tanpa bersahur. Sedangkan umat Islam disunatkan bersahur. sebagaimana yang ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. bahawa mereka yang bersahur akan mendapat pahala dan dijanjikan dengan keberkatan.
Soalan:
Saya tinggal serumah dengan beberapa orang kawan. Ada kalangan kami yang berpuasa tetapi selalu tidak bangun sahur. Katanya ‘dia tahan’ walaupun tak bersahur. Ada yang sahur terlalu awal, seawal jam 2 pagi. Ada yang sahur ‘siap-siap’ sebelum tidur kerana malas hendak bangun. Ada yang jika bangun hampir waktu subuh, dia kata dah tamat waktu sahur, sekalipun belum azan lagi, dia tetap tak mahu sahur. Saya cuba berikan nasihat kepada kawan-kawan sekadar yang saya faham. Bolehkah berikan panduan apa yang terbaik kepada kami?
Jawapan:
Selamat menyambut Ramadan semoga kita semua dirahmati Allah. Alhamdulillah, saudara dan sahabat-sahabat saudara berpuasa. Ini menandakan tanggungjawab sebagai muslim masih lagi kuat dalam jiwa saudara-saudara sekelian. Puasa adalah ibadah yang melambangkan keikhlasan.
Jika seseorang itu benar-benar berpuasa, tanda adanya keikhlasan yang besar dalam penghayatan Islamnya. Saudara pula merupakan sahabat yang baik, yang mempunyai kesedaran bagi diri sendiri dan juga rakan-rakan untuk mengamalkan amalan yang menepati sunnah Nabi s.a.w.
Semoga Allah membanyakkan pemuda seperti saudara dan diberikan pahala yang besar.
Ada pun persoalan saudara tentang sahur itu, maka saya jawab berdasarkan beberapa perkara berikut;
1. Sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur muslim dan sahur Yahudi.
Sabda Nabi s.a.w: فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ “Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).
Maka kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.
2. Allah jadikan keberkatan dalam bersahur.
Sabda Nabi s.a.w :
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.
3. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal.
Sabda Nabi s.a.w: تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجَرْعَةٍ من ماء “Bersahurlah walaupun seteguk air” (Riwayat Ibn Hibban, hadis hasan)
4. Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar.
Nabi s.a.w bersabda: نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ “Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).
Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan. Pada tamar ada kelebihan yang memberikan kekuatan untuk seseorang berpuasa.
5. Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam.
Ini seperti firman Allah: وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (maksudnya) “Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).
Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.
Kata Zaid bin Thabit: تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ»، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ ” قَالَ: «قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.
6. Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid.
Buktinya, Aisyah r.a menyebut: أَنَّ بِلاَلًا كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الفَجْرُ “Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.
7. Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
(Maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).
Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh.
Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda: لَا يَغُرَّنَّكُمْ مِنْ سَحُورِكُمْ أَذَانُ بِلَالٍ، وَلَا بَيَاضُ الْأُفُقِ الْمُسْتَطِيلُ هَكَذَا، حَتَّى يَسْتَطِيرَ هَكَذَا “Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
8. Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.
9. Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa., ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar.
Dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda:
ينْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ “Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah pada waktu tersebut.
10. Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.
Sumber: Dr.Maza.com
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Tidak dapat dinafikan memang sakit apabila diri dikhianati apatahlagi apabila melibatkan orang yang tersayang. Dalam sebuah rumah tangga, apabila dicurangi, sakitnya memang tidak dapat digambarkan bagaimana. Mungkin sakitnya lebih perit berkali ganda berbanding seperti isi disiat daripada kulit. Begitulah perumpamaan betapa ‘tercederanya’ jiwa pihak yang dicurangi dan dikhianati.
Berikut perkongsian yang dikutip daripada catatan Ila Fadzilah di laman Facebooknya.
BILA LELAKI CURANG
Dah lama saya dapat mesej ni, dari time raya. Tapi masih belum berbalas sebab bab-bab perangai manusia ni agak kompleks dan rumit. Kalau nak membalas dengan baik, lebih tepat kiranya saya betul-betul memahami situasi dan permasalahan empunya diri.
Tapi dek kerana penangan drama #janganbencicintaku dan banyaknya ledakan emosi wanita, maka saya kongsikan sedikit berdasarkan pengalaman sendiri, orang lain dan pembelajaran. Apa yang saya kongsi mungkin tidak sesuai untuk semua keadaan, mungkin juga tidak cocok dengan semua orang.
Anda cuma berhak ke atas suami, bukan pihak sana. Tak perlu merayu supaya pihak sana tinggalkan suami. It takes two to tango. Usah rendahkan diri pada mereka sebab martabat anda lebih tinggi dari kekasih gelap suami. Selesaikan isu dengan suami. Usah buang masa memikirkan pihak ke 3 yang biasanya akan sentiasa rasa mereka lebih bagus dan ‘menang’ kerana mampu buat seorang lelaki berkahwin jatuh cinta kali kedua dengan godaan dan pujukan.
TAK PERLU SERANG PIHAK KETIGA
Bendung emosi marah, geram dan sakit hati. Tak perlu serang pihak sana kerana akhirnya anda akan ‘kalah’ bila suami senantiasa jadi hero untuk heroinnya yang tidak sah. Dan akhirnya anda yang nampak ‘jahat’ di mata suami. Isteri hebat akan sentiasa tenang dan steady tanpa merendahkan diri pada suami dayus mahupun betina rakus. Jadilah wanita bijak, kental dan rasional.
Kuatnya wanita kerana kelembutannya. Layanlah suami macam biasa, andai suami tu sudah nusyuz (lupa tanggungjawab pada keluarga, tidak beri nafkah), anda tidak berdosa jika tidak lagi mengabdikan diri pada suami. Terbukti beliau tidak layak mengemudi rumahtangga. Apatah lagi bila senang saja beliau jatuh ke riba seorang perempuan yang tiada ikatan di sisi Allah.
Jangan menyiksa diri dan emosi memikirkan orang yang tidak peduli hati dan perasaan anda sebagai isteri yang sah. Tumpukan perhatian pada anak-anak, belai emosi mereka yang lebih dambakan perhatian bila ibubapa semakin renggang. Andai berkemampuan, bawalah anak-anak pergi bercuti atau bersiar-siar. Cipta bahagia untuk diri sendiri.
Pilihlah untuk bercerita dengan orang yang kita percayai. Ataupun rujuk pada pihak yang mampu berikan pandangan yang adil dan rasional. Sibukkan diri dengan aktiviti yang boleh menjana pendapatan dan bermanfaat. Soal hati kalau terlalu diikutkan, boleh merosakkan badan dan fikiran.
Saya dulu, setiap hari menzahirkan rasa sedih dan duka di dalam 3 buah diari sekadar melepaskan duka di hati. Saya lega selepas menangis di atas kertas. Usah bercerita terlalu banyak hal kecurangan suami di media sosial. Banyak buruk dari baik. Anda akan nampak lebih buruk di mata suami, walau sekadar mahu melepaskan rasa marah dan sakit hati. Diam bukan bererti mengalah tetapi berfikir untuk masa depan dan create a sense of direction.
Hati sesiapapun milik Allah. Andai rasa sayang masih menebal, berdoalah semoga suami kembali ke pangkal jalan. Berbincang dengan suami tentang jalan penyelesaian samada suami serius dengan hubungan terlarang (berkahwin atau suka-suka).
Masalah perlu diselesaikan dengan cara yang praktikal dan pragmatik, bukan emosi. Lelaki yang baik akan tahu halal haram dan jelas dengan matlamat hidup. Andai suami sudah tetapkan pilihan, anda harus tetapkan matlamat dan pilihan anda. Bersedia atau tidak, apa saja kemungkinan persiapkanlah mental untuk reda dan terima keadaan yang mugkin berbeza dari sebelumnya.
BUKAN MALAIKAT
Wahai isteri! Kita bukan Malaikat yang mampu menarik tangan suami untuk meninggalkan maksiat. Kita juga bukan malaikat. Tak perlu salahkan diri atau terlalu peduli dengan tanggapan serta kata-kata orang luar. Tapi kita sendiri perlu belajar untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Andai suami tidak juga berubah ke arah lebih baik, anggap saja objektif kehidupan kita tidak sama dan mungkin bercanggah antara satu sama lain. Bila keadaan sudah terlalu runcing, buatlah kronologi peristiwa penting serta berapa banyak tempoh masa suami di rumah serta nafkah yang diberikan suami. Kumpulkan bukti kecurangan suami. Semua ini penting sekiranya konflik berakhir di mahkamah. Sepanjang pemerhatian saya, sebahagian besar kes kecurangan akan berakhir dengan perceraian. Samada isteri memohon cerai atau suami yang menceraikan.
Yakinlah walau perceraian berlaku akhirnya, Allah mahu selamatkan seorang isteri yang baik dan solehah dari seorang suami yang durjana.
Bukan cinta suami yang akan bawa kita ke syurga, tapi seorang khalifah keluarga yang baik, tidak akan curang sama sekali walau di atas kelemahan pasangan atau apa alasan.
Curang bukan pilihan, walaupun kononnya atas alasan mahu menambah isteri atau mencari kesempurnaan seorang wanita. Tapi siapalah kita untuk menghalang cinta di hati orang lain sebab hati mereka bukan milik kita melainkan dengan doa dan kekuatan iman.
Biar puas kita berbuat baik walau dibalas racun, kerana akhirnya pasti kebaikan itu akan dikenang sang suami walau ketika nyawa di hujung hayatnya, walau mungkin jodoh kita dengannya di dunia sudah terputus ketika itu.
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...