Saya tidak berniat bunyikan hon di hadapan surau

JOHOR BAHRU – “Saya tidak berniat jahat atau ingin menyinggung perasaan dengan membunyikan hon kereta pada masa itu,” kata pemandu kenderaan yang tular dipukul kerana membunyikan hon di hadapan Surau Austin Perdana, 5 Mei lalu.

Selepas hampir seminggu kes berkenaan yang tular di laman sosial, pemandu, Toh Chai Eun, 28, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Islam terutama mereka yang terlibat dalam kes berkenaan yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari, Jumaat lalu.

Chai Eun yang bekerja sendiri ditemani abangnya Toh Chai Chung, 30, hadir dalam satu perjumpaan di Pejabat Agama Islam Johor yang disertai ahli jawatankuasa surau terlibat, Pengerusi Agama, Mutalip Abdul Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut.

Permohonan maaf terbuka itu dibacakan wakil Chai Eun, Mahadzir Abu Said menyatakan harapan agar kes tersebut dapat diselesaikan dan tidak menyinggung semua pihak dan Bangsa Johor.

 

Perjumpaan pemandu lelaki dan ahli jawatankuasa surau Austin Perdana diharap menyelesaikan kes kekecohan yang tular.

“Apa yang berlaku pada waktu itu kerana saya telah terperangkap dalam kesesakan jalan di situ dan dalam urusan penting.

“Ini menyebabkan kereta saya diserang dan dirosakkan dan saya juga mengalami kecederaan,” katanya yang cedera di leher, kaki dan badan sehingga membataskan pergerakan dan percakapannya.

Beliau turut menyatakan harapan agar kes tersebut tidak dipanjangkan atau disebarkan sehingga mencetuskan ketidaksenangan kaum.

“Saya juga berharap semua pihak tidak lagi memanjangkan isu ini menjadi lebih besar dan maksud yang sampaikan iaitu keamanan dan keharmonian antara semua kaum di Malaysia.

“Diharap selepas kenyataan saya ini tiada lagi ulasan dan cerita mengenai kejadian tersebut di media untuk tujuan menghasut rakyat dan menjejaskan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi surau, Mohd Khaiidzir Ismail berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dengan keseluruhannya.

“Kami mengucapkan terima kasih atas pertemuan ini yang sememangnya tidak dijangka meskipun perkara ini berlaku di luar surau, kami sebagai ahli jawatankuasa telah mengambil langkah-langkah yang perlu,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*