Dalam keadaan tidak sedar sewaktu solat, saya sering menekan jari-jari tangan sehingga berbunyi. Kemudian ada rakan yang menegur dan mengatakan bahawa perbuatan itu adalah makruh. Adakah benar seperti yang diperkatakan?

Pertanyaan di atas mungkin boleh dibahaskan melalui sebuah hadis Nabi SAW ketika mana Baginda melihat seorang lelaki melakukan perbuatan tersebut.

Lalu Baginda menarik jari lelaki itu lalu bersabda:
“Janganlah engkau menekan jari-jemari tangan ketika menunaikan solat.”

Hadis ini dicatatkan oleh al-Zaila’ei di dalam kitab Nasbu al-Rayah: 2/87. Turut diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad yang dhaif. Namun secara umumnya diamalkan oleh para ulama.

Selain itu, Syeikh Abu Bakar al-Jazairi di dalam kitabnya Minhajul Muslim, menyatakan beberapa perkara yang makruh dilakukan ketika solat. Antara lain ialah :

IKLAN

1) Memalingkan kepala atau menjeling. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ia adalah suatu bentuk kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang hamba. (Hadis Riwayat al-Bukhari : 1/191, 4/152)

2) Memandang ke arah langit. Baginda bersabda :
“Apakah urusan kaum-kaum yang memandang ke langit ketika solat? Kemudian Baginda menyambung lagi. Sama ada mereka berhenti daripada berbuat demikian atau disambar pandangan-pandangan mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari : 1/191)

IKLAN

3) Mencekak pinggang. Abu Hurairah r.a berkata:
“Nabi s.a.w melarang seseorang bersolat mencekak pinggang.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi : 383 dan al-Nasa’ie : 2/127)

4) Mengurai-uraikan rambut, menyingsing lengan baju atau pakaian. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Aku diperintahkan untuk bersujud dengan tujuh anggota badan dan aku tidak menyingsing pakaian dan mengurai-urai rambut (yang terurai).” (Hadis Riwayat Muslim : 128, 231, Kitab Solat.

IKLAN

5) Menyapu batu kerikil atau pasir pada tempat sujud lebih daripada sekali. Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu mengerjakan solat, maka janganlah dia menyapu kerikil (pasir). Hal ini kerana rahmat diarahkan kepadanya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah : 1027 dan al-Darimi : 1/322) Namun Rasulullah s.a.w bersabda : “Jika kamu melakukan juga maka cukuplah sekali sahaja.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

6) Bermain-main dalam solat dan melakukan perbuatan yang melalaikan dan menghilangkan khusyuk seperti memegang atau menggentel janggut, pakaian atau melihat corak hiasan tikar, dinding atau sebagainya. Rasulullah s.a.w bersabda : “Tetaplah (bertenang) kamu dalam mengerjakan solat.” (Hadis Riwayat Muslim : 119, Kitab Solat)

7) Membaca al-Quran dalam rukuk atau sujud. Baginda s.a.w bersabda : “Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk atau sujud.” (Dalam musnad Syafi’e : 41)

8) Solat ketika makanan telah dihidangkan. Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak boleh melakukan solat ketika makanan telah dihidangkan dan dalam keadaan menahan dua kotoran (buang air besar dan kecil).” (Hadis Riwayat Muslim : 67, Kitab Solat)

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI