Peniaga Yang Terhalang Dari Syurga

 

ABD RAZAK MUTHALIB
Penulis ialah Jurulatih Kanan & Motivator di Akademi magnet Sukses.
Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM

 

Siapa yang berniaga mahukan rugi? Tidak ada rasanya. Semua yang terlibat dalam perniagaan, sama ada kecil atau pun besar, mahu mendapat untung. Demi mendapat untunglah, usahawan akan fokus kepada strategi pemasaran, pengiklanan, ikuti pelbagai seminar dan bina networking. Tidak kisah untuk melaburkan wang modal yang banyak untuk pemasaran dan pengiklanan kerana yakin pulangan yang bakal diperoleh berlipat kali ganda.

Namun, ada lagi satu soalan yang perlu ditanya. Siapa berniaga yang mahukan keberkatan? Ini juga persoalan yang penting selepas mengira keuntungan. Untung sedikit yang berkat adalah lebih baik daripada untung banyak tapi dipenuhi dengan unsur menyalahi syariat.

Mementingkan nilai keberkatan inilah sepatutnya menjadikan peniaga Muslim lebih beretika, amanah dan jujur. Apabila berniaga dengan memikirkan nilai berkat, peniaga Muslim tidak berani untuk mencampuradukkan urusan perniagaannya dengan unsur yang menyeleweng dan tidak patuh syariat.

 

 

Tipu Dalam Perniagaan

Jika peniaga mahukan keberkatan, antara prinsip yang perlu dijaga ialah jujur dan tidak menipu pelanggan. Jika menjual produk, semua maklumat yang ditulis, diiklan dan diuar-uarkan produknya mestilah benar. Tiada yang diselindungkan. Mata orang ramai tidak dikaburi dengan istilah-istilah pelik yang sengaja digunakan demi menyembunyikan kekurangan yang ada.

Jika didakwa barang yang dijual adalah asli, pastikan ia asli. Bukan barang tiruan atau dicampur aduk. Tawarkan kepada pelanggan kelebihan dan keistimewaan yang benar-benar wujud sahaja. Bukan yang direka-reka ataupun dimanipulasikan.

Kadangkala manipulasi terjadi dengan dihiasi ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi. Dalil-dalil tersebut digunakan bagi meyakinkan pelanggan untuk membeli. Sedangkan cara pendalilannya tidak betul, bahkan tidak kurang juga yang berdalilkan dengan hadis-hadis palsu.

Sekiranya pelanggan membeli produk disebabkan percaya dengan kelebihan yang dimanipulasikan, maka itu dikira pembohongan. Produk jualannya mungkin boleh laku dan untung banyak. Tetapi, bagaimana dengan keberkatan? Berkatkah pendapatan jika terhasil daripada penipuan?

Oleh sebab itu, perniagaan boleh membawa seseorang ke syurga dan boleh juga menghumbannya ke neraka. Sabda Nabi Muhammad s.a.w: “Peniaga yang benar dan amanah bersama dengan nabi, siddiqin dan golongan mati syahid.” (Riwayat Tirmizi, bertaraf hasan)

Tidak sedikit pengorbanan yang perlu dilaburkan demi menjaga prinsip kejujuran dalam berniaga. Apatah lagi pada era yang penuh dengan cabaran keimanan. Rasuah dan sogokan tidak lagi segan silu dibicarakan secara terang-terang. Kadangkala, ketika berkeras menolak rasuah, peluangnya untuk mendapat untung berjuta-juta terlepas begitu sahaja. Di sinilah iman seorang usahawan teruji. Namun, sikap jujur dan amanah seorang Muslim tidak pernah menjadikannya seorang yang rugi. Dia dijanjikan dengan syurga yang tinggi.

Peniaga yang jujur dan amanah pasti tidak tergamak untuk menipu pelanggan, memutar belit perkataan, menjual barangan yang palsu atau sudah rosak dan memungkiri perjanjian. Di atas prinsip ini, maka layaklah peniaga sebegini bergembira dengan janji syurga bersama nabi, siddiqin dan syuhada’.

Sebaliknya, peniaga yang mementingkan keuntungan wang ringgit semata, dia tidak kisah untuk lakukan itu semua. Barang lama dikata baharu, yang rosak dikata elok, yang tiruan dikata asli. Menipu tanpa rasa bersalah. Tanpa sedar, dia telah jauh dari pengikut Rasulullah SAW.

Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan untuk dijual. Lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam bekas itu. Jari-jari baginda terkena makanan yang basah. Baginda pun bersabda: “Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?” Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!” Baginda bersabda, “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada pengikutku.” (Riwayat Muslim)

 

Dapat projek dengan ‘hadiah’

Dalam dunia perniagaan, persaingan adalah suatu lumrah. Persaingan sepatutnya boleh menjadikan seseorang peniaga lebih baik dengan dia berusaha untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatannya. Tanpa hasad dengki dan khianat mengkhianati.

Apabila masing-masing fokus untuk tawarkan produk dan khidmat yang berkualiti, pelanggan mempunyai banyak pilihan yang bermutu. Tetapi, jika tujuan untuk memenangi persaingan digunakan cara yang tidak sihat bahkan menyalahi syariat,  inilah penutup pintu berkat.

Misalnya, digunakan bomoh untuk menjahanamkan perniagaan orang lain. Sanggup melakukan unsur syirik, asalkan perniagaan orang lain hancur. Sebahagianya pula, demi mendapat tender projek, ditawarkan hadiah lumayan dengan hasrat syarikatnya dipilih. Mereka namakannya hadiah, tetapi itulah rasuah. Jika mendapat tender projek hasil daripada rasuah, adakah masih mahu bertanya di mana nilai berkatnya?

Perhatikan peringatan Rasulullah SAW ini: “Sesungguhnya golongan peniaga dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertakwa, berbuat kebaikan dan benar.” (Riwayat Al-Tirmizi, Al-Hakim dalam al-Mustadrak dan lain-lain. Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh Al-Zahabi)

 

Peniaga Makanan

Ada lagi satu aspek yang perlu dititik berat oleh peniaga khususnya makanan iaitu kebersihan. Bukan hanya melihat aspek halal, tetapi mesti juga bersih. Bersih ini termasuk dalam nilai halalan toyyiban (halal lagi baik). Keadaan kedai, cara memasak, peralatan dan sebagainya dipastikan dalam keadaan bersih. Inilah pintu keberkatan buat peniaga makanan.

Janganlah demi untung dan jimat masa, bahan-bahan masakan tidak dibasuh sebaiknya. Keadaan kedai dibiarkan kotor sehingga  tikus pun datang menziarahi sambil menari-nari. Jika ditakdirkan akibat kelalaian anda menjaga kebersihan, pelanggan mendapat keracunan makanan, maka ia adalah satu dosa dan kesalahan. Maka, usah ditanya lagi nilai keberkatan.

 

Teruskan Berniaga

Apa jua bidang perniagaan yang anda ceburi, teruskanlah. Rasulullah s.a.w dan sebahagian sahabat baginda juga terlibat dalam perniagaan. Titik peluh dan perit jerih yang anda curahkan demi memajukan perniagaan tidak akan jatuh sia-sia begitu sahaja. Ada nilainya di sisi ALLAH dengan syarat niat dan tujuannya baik. Niat yang baik tersebut diiringi pula dengan prinsip dan nilai yang baik. Masyarakat memerlukan peniaga yang jujur, amanah, bertakwa dan cekap.

Berniaga dan buatlah keuntungan sebanyak mungkin. Semakin banyak anda untung, semakin banyak juga zakat yang anda boleh sumbangkan. Keuntungan adalah nombor satu dalam perniagaan, tetapi keberkatan bukanlah nombor dua. Alang-alang berniaga, biarlah boleh masuk syurga.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*