Sinar Harian Tawar Sinergi Gerakan Selamat Rohingya

SHAH ALAM – Akhbar Sinar Harian terbitan Kumpulan Media Karangkraf bersedia membantu dengan menghimpun pandangan dan gerak kerja bersama dalam kempen ‘SINAR4ROHINGYA – Solidarity for Humanity’.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, kempen ini merangkumi pengumpulan dana sumbangan orang ramai dengan mewujudkan Tabung Kemanusiaan yang akan disalurkan kepada masyarakat Islam Rohingya.

Menurutnya, dalam beberapa hari ini banyak sekali berita kekejaman menimpa umat Islam Rohingya di Myanmar, menyebabkan ramai yang terkorban secara kejam.

“Melihat keadaan ini, saya berasakan sampai masanya tokoh-tokoh NGO di Malaysia bersatu dalam kempen ‘SINAR4ROHINGYA – Solidarity for Humanity’ untuk bertindak segera menjadi kumpulan pendesak dan memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar melalui pelbagai saluran yang sesuai agar kekejaman ini dihentikan

“Maka dengan rendah hati saya menyampaikan hasrat untuk membuat perjumpaan dengan tokoh-tokoh pemimpin NGO pada Jumaat ini, jam 2.30 petang bertempat di Dewan Kumpulan Karangkraf, Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, syarikatnya bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, disokong oleh semua media cetak dan elektronik di Malaysia, telah menggerakkan kempen berinteraksi satu jam bersama al-Quran melalui kempen World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang membawa tema Bangsa Berbudi dan Penyayang.

“Insya-ALLAH beliau berusaha meneruskan ‘total action’ untuk merealisasikan ajaran al-Quran menjadi bangsa berbudi dan penyayang dengan membantu saudara Islam Rohingya yang dalam penderitaan.

“Semoga pertemuan ini menjadi landasan tokoh-tokoh NGO Islam Malaysia bersatu membantu saudara Islam kita di Rohingya.

“Besar harapan saya untuk dapat sokongan dan maklum balas segera dari pihak NGO. Jika berhalangan kerana hal yang tidak boleh dielakkan, saya harap ada wakil yang sesuai untuk pertemuan pertama ini,” katanya.

 

SUMBER: www.sinarharian.com.my

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*