Suara Wanita, Adakah Ianya Aurat

Mungkin ramai yang tertanya-tanya sama ada suara perempuan itu aurat ketika solat atau sebaliknya. Bagaimana pula jika mengaminkan bacaan al-Fatihah dengan mengeluarkan suara sepert kaum lelaki lakukan? Entri ini mungkin boleh membantu kemusykilan anda selama ini.

Pada solat jemaah jahriyah (subuh, magrib dan isyak) harus bagi wanita untuk menjaharkan (melantangkan) suara ketika solat bersama mahram mereka. Namun ketika mana mereka solat bersama bukan mahram maka ia hendakhlah dilakukan secara sirr (diam).

Ibnu Qudamah menjelaskan “Seorang wanita melantangkan suaranya ketika solat jahriah. Jika ada lelaki-lelaki asing (bukan mahramnya ) maka dia tidak boleh melantangkan suaranya. Adapun jika yang mendengar adalah lelaki daripada kalangan mahramnya maka dia boleh melantangkan suaranya.” (al-Mughni: 2/202)

Dalam kitab al-Mufassal Fi Ahkam Al-Mar’ah pada bab bacaan jahar dan sir dalam solat wanita telah dinukilkan bahawa Imam Nawawi berkata :

“Ada pun wanita maka berkata kebanyakan ulama Shafieyah – apabila dia solat bersendirian tanpa ada orang lain atau bersamanya kaum wanita atau lelaki mahramnya, hendaklah dia melantangkan suara (jahar), sama ada bersendirian atau berjemaah sesama kaum wanita. Ada pun jika solat bersama lelaki ajnabi (bukan mahramnya) maka hendaklah mendiamkan bacaan (sirr)”. (al-Mufassal Fi Ahkam Al-Mar’ah: 1/255, Dr Abd. Karim Zaidan)

Maka dapat difahami bahawa wanita tidak boleh melantangkan bacaan ketika solat bersama bukan mahram samada ketika dia menjadi imam, makmum atau bersendirian.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*