Sunnah dalam bersahabat

Manusia adalah sebaik-baik ciptaan ALLAH SWT. Manusia juga adalah khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir bumi ini berpandukan apa yang telah termaktub dalam al-Quran. Setelah wafatnya junjungan Nabi Muhammad SAW, maka kitalah yang menjadi penyambung kepada perjuangan Baginda SAW.

Sebagai manusia, kita tidak mampu untuk hidup seorang diri. Bahkan kita saling memerlukan antara satu sama lain untuk meneruskan kehidupan. Di sinilah timbulnya bagaimana cara untuk kita mencari rakan, teman ataupun sahabat yang boleh membawa kita menuju keredaan ALLAH.

Firman ALLAH: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang Yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)
Fahami ayat

Salah satu saranan dalam ayat di atas adalah supaya manusia saling kenal mengenali antara satu sama lain walaupun berlainan bangsa, suku kaum bahkan agama sekalipun. Dalam proses mengenali ini akan ada sebahagian kecil manusia terlalu memilih dalam mencari sahabat.

Lalu mereka dianggap seorang yang cerewet dan sukar didekati. Mereka yang bersikap sedemikian biasanya tidak mempunyai ramai sahabat.

Sikap sebeginilah yang sepatutnya dielakkan dan tidak wajar dijadikan amalan. Ia juga boleh menimbulkan rasa ketidaksenangan orang lain. Namun hakikatnya, masih ramai yang tidak mengetahui Islam sebenarnya telah menggariskan panduan untuk memilih dalam menjalinkan persahabatan.

Imam Ghazali ada menyatakan dalam Kitab Hidayatul Salikin: “Jika seseorang itu ingin memilih seseorang yang lain untuk dijadikan sahabatnya maka pilihlah dengan lima syarat, iaitu:

1. Orang yang berakal: Apabila kita berkawan dengan orang yang jahil ia akan sentiasa menimbulkan persengketaan, perselisihan dan kurang senang di antara kedua-dua pihak.

2. Cantik peribadi dan akhlaknya: Kita hendaklah menghindarkan diri daripada bersahabat dengan orang yang tidak elok peribadi dan akhlaknya kerana ia akan mempengaruhi kita ke arah perilaku yang tidak baik.

3. Orang yang soleh: Janganlah sesekali kita berkawan dengan orang yang fasik (fajir) kerana mereka sentiasa melazimi dan mengekalkan dosa yang besar dan kecil.

4. Jangan berkawan dengan orang yang terlalu cinta kepada dunia: Iaitu melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan suruhan ALLAH sehingga meletakkan cinta kepada dunia lebih tinggi daripada cinta ALLAH.

5. Orang yang benar perkataannya: Jauhilah diri kita daripada berkawan dengan orang yang gemar berdusta. Ini kerana orang yang sentiasa berdusta itu tidak lain hanyalah menipu dirinya sendiri sedangkan dia tidak menyedarinya.”

Memang agak sukar untuk mencari sahabat seperti yang dijelaskan oleh Imam Ghazali. Bahkan ia bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh dengan fitnah dan maksiat di sana-sini. Salah satu di antara cara untuk kita mudah mengenali orang yang soleh ialah dengan mencantikkan akhlak serta sifat yang ada pada diri sendiri terlebih dahulu. Apabila nilai-nilai murni dan baik ada dalam diri kita maka secara tidak langsung kita akan menghindari segala anasir yang tidak sihat. Daripada sinilah ALLAH akan membuka jalan dan mempertemukan kita dengan orang yang memiliki keinginan serta perlakuan yang baik seperti kita.

Dalam hal ini, Al-Qamah juga pernah berpesan kepada anaknya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:-

1. Melindungi kita daripada sebarang bahaya dan musibah. Iaitu berasai kesusahan pada saat kita sedang mengalaminya.

2. Mudah memberikan bantuan dan menghulurkan pertolongan tanpa sebarang balasan serta bayaran.

3. Menjaga dan memelihara segala kekurangan yang ada pada diri kita dengan tidak membukanya di khalayak atau kepada orang lain.

4. Sentiasa memberi teguran dan nasihat kepada kita. Di samping itu dia juga sering mengingatkan kita mengenai tanggungjawab kepada Tuhan.

5. Tidak membela terhadap kesalahan yang kita lakukan sebaliknya menyarankan kita untuk berubah dan memperbaiki kesalahan tersebut.”

Oleh demikian, sekiranya kita ingin memilih dalam bersahabat maka buatlah pilihan yang sepatutnya. Tidak salah untuk memilih, akan tetapi janganlah terlalu cerewet sehingga menyusahkan diri kita sendiri.

Kesimpulan

Ingatlah wahai manusia, hidup kita di dunia saling tumpang-menumpang. Iaitu saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak kira di masa senang atau susah, lebih-lebih lagi pada saat kita amat memerlukan seorang insan bernama sahabat. Maka jadilah Muslim yang baik, yang sentiasa memberi manfaat untuk diri sendiri dan orang lain agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia. Dalam satu hadis, daripada Abu Musa Al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Diumpamakan sahabat yang soleh dan sahabat yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan kamu, sama ada kamu membeli minyak wangi tersebut atau hanya mencium bau harumannya sahaja. Manakala tukang besi pula boleh menyebabkan rumah kamu atau baju kamu terbakar, atau kamu mendapat bau busuk darinya.” (Riwayat Bukhari)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*