Syariat dalam berfesyen

“Apa pandangan kak long?” Saya bertanya seraya mengarahkan matanya ke foto di skrin komputer. Terpapar gambar gadis dengan fesyen tudung terkini. Sengaja bertanyakan pandangannya. Mana tahu, sedikit sebanyak dapat juga saya menyelami naluri berfesyen anak dara sulung ini.

“Hmmm…too stylish.” Ringkas jawapannya. Saya menganggukkan kepala, tersenyum dan kembali menatap foto gadis yang mengenakan turtle neck inner di sebelah dalam dengan lilitan tudung daripada satin pada bahagian luarnya sebagai pelengkap.

Biarpun tudung yang disarungkan sudah menutupi bahagian dada, namun keseluruhan penampilan dan gaya yang ditunjukkan masih ada yang tidak kena. “Lengan bajunya pada ummi agak ketat…” Saya menambah. Dia mengiakan dengan kerutan di dahinya. Wajahnya tegang. “Kak long tak suka lengan baju ketat… susah nak ambil wuduk,” luahnya, sekali gus menjawab persoalan saya perihal wajah seriusnya tadi.

Buat kesekian kalinya saya membalas kata-katanya dengan anggukan bertali. Membenarkan setiap patah yang dibicarakan. Bersyukur ke hadrat-Nya, kerana dalam menjejak usia 12 tahun, dia dapat membezakan pakaian yang selayaknya dikenakan seorang wanita.

Biarpun, ada segelintir Muslimah moden hari ini berasakan isu aurat dan yang berkait dengannya isu kecil, tetapi pada saya, selagi mana sesuatu perkara itu mengetengahkan hukum ALLAH SWT dan masalah yang berada di sekitarnya, selama itulah isu tersebut perlu diambil perhatian walau berapa kali ia diperjelaskan.

Ia juga sebagai satu usaha nasihat menasihati disarankan Ar-Rahman. Jiwa seorang ibu sentiasa bimbang dan gusar melihat perkembangan fesyen hari ini, termasuklah pakaian yang berlabel busana Muslimah. Aspek pemilihan material dan penentuan reka gaya, adalah dua perkara penting yang perlu dititikberatkan.

Bukan sedikit busana Muslimah yang atas nama jubah di kedai atau butik, diperbuat daripada kain strechable dan plain pula, menampakkan susuk tubuh. Usahkan ditiup angin, tanpa bayu yang berhembus pun sudah boleh menyerlahkan lekuk di badan.

Tidak kurang juga busana Muslimah yang dipakai betul-betul mengikut saiz badan menjadikan pakaian tersebut sekadar membalut, bukan menutup kerana menonjolkan bentuk tubuh yang menggiurkan.

Perjuangan & trend

Jujurnya, saya melihat perkembangan dunia fesyen busana Muslimah hari ini semakin tersasar daripada landasan yang benar. Andai di era permulaan perintah hijab, ketika Rasulullah SAW masih bersama, sahabiyat mengenakan pakaian menutup aurat sebagai manifestasi ketaatan mereka atas akujanji: Sami’na wa atho’na.

Keadaan ini terserlah daripada tindakan mereka menarik apa sahaja yang tercapai tangan sebaik mendengar ayat hijab dibacakan saudara lelaki mereka (suami, abang atau ayah). Suasana ini terakam indah dalam hadis Rasulullah SAW:

“Ketika kami bersama ‘Aisha RA, kami menyebut mengenai kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi ALLAH sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab ALLAH. Apabila ALLAH turunkan ayat: “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…” serta-merta suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang ALLAH turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang diturunkan ALLAH, maka jadilah mereka wanita yang bertudung bersama Rasulullah SAW, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.” (Riwayat Abu Daud )

Sekitar era 70-an dan 80-an di Malaysia, pakaian menutup aurat seakan menemui nafas baru dengan Muslimat yang berkesedaran memperjuangkannya walau ada antara mereka berhadapan sindiran, ejekan dan perlecehan hingga dipanggil sebagai hantu pun ada. Namun itu semua tidak melunturkan semangat untuk menutup aurat sempurna.

Di era milenium ini, kala fesyen busana Muslimah semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita biasa, selebriti dan ternama, rata-rata yang mengenakan tudung dan busana tersebut, kelihatan belum benar-benar memahami tuntutan sebenar kehendak Ilahi. Ia lebih mengikut ‘trend’ berbanding kesedaran melangsaikan kewajiban.

Kerana itu, masih ramai yang bertudung tetapi memakai baju ketat dengan seluar sendat.

“Bukan mudah untuk wanita menghadapi cabaran arus berfesyen hari ini, bang…” suatu ketika saya berkongsi bersama suami. Sekadar meluahkan apa yang terbuku di dada.Terkenang emel dikirimkan Muslimah, bertanyakan perihal kecantikan pakaian yang banyak dijual di pasaran. Tidakkah boleh mereka memakainya di luar? Sementelah mereka juga wanita berkerjaya. Penampilan antara subjek penting untuk menambah keyakinan di alam pekerjaan.

Saya cuba menghayati ‘naluri’ wanita yang semestinya sentiasa menginginkan kecantikan membaluti diri. Melihat gaya semasa, dia mahu mencuba. Bila muncul ‘trend’ terkini, dia juga tidak mahu ketinggalan sama.

Up-to-date!

Masakan tidak. Melangkah sahaja keluar dari rumah, sama ada berada di jalan raya, di dalam bas, lif sehingga tiba di pejabat, mata akan menangkap pelbagai fesyen dan gaya anggun mewarnai suasana.

Sedikit sebanyak, rasa cemburu dengan penampilan serba indah orang lain menggugah jiwa. Sukarnya untuk bertahan dan kekal dengan penampilan yang sudah tidak lagi menjadi pilihan ramai, sedangkan jika dibuat perbandingan, pakaiannya itu sudah menepati kehendak agama. Memang tidak mudah melawan arus. Tersilap berpegang dan berpaut, diri akan hanyut…

“Mungkin ini salah satu yang dinyatakan sebagai sabar dalam mengerjakan ketaatan. Wanita yang benar-benar mahu mengenakan pakaian yang bertepatan kehendak syariat semata-mata demi memenuhi tuntutan agama, kerana Dia semata, perlu mempertingkatkan kesabarannya supaya tidak mudah ‘tergoda’ dengan arus semasa yang bagai melambai-lambainya untuk turut serta….” Saya menambah. Suami mengangguk-anggukkan kepala. Mungkin mengiakan, mungkin juga sebagai tindak balas untuk menenangkan.

Petunjuk furqan

Saya ingin mengajak Muslimah memugar semula kefahaman perihal busana patuh syariah. Selama mana kita masih mengikat hati dan tunduk dengan keinginan ‘dunia wanita’ dalam diri kita, selagi itu kita belum mampu membezakan hijab yang syar’ie dengan sebaliknya.

Ia menutup, melindungi dan sekali gus menjadikan mata-mata yang memandang, terdorong melakukan ketaatan, bukan sebaliknya; menaikkan nafsu, memuntahkan rasa cemburu dan hasad yang merosakkan jiwa. Biar pun mungkin ia tidak dizahirkan secara lisan, tetapi ia memakan jiwa dalam sehingga lahirnya Muslimah yang keliru dalam beragama.

Banyak rekaan menarik di pasaran, tapi sejauh mana keprihatinan kita untuk menghijrahkan design yang menarik itu sesuai kehendak Ilahi, melindungi tubuh sendiri dan bukan semata memenuhi keinginan peribadi atas nama agama yang suci ini.

Sebagai wanita, saya yakin, ramai teruja untuk ‘meniru’ gaya seseorang terutama selebriti dan tokoh ternama yang kelihatan cantik dan anggun dengan penampilan, pakaian dan tudungnya, tanpa lebih dulu bercermin dan ‘jujur’ melihat diri. Tidak semua gaya dan penampilan wanita lain yang cantik pada pandangan mata, akan turut cantik apabila dikenakan ke atas diri sendiri.

Anda bukan Hana Tajima, anda juga bukan Ana Althafunnisa. Anda bukan sesiapa melainkan anda adalah diri anda sendiri. Justeru, kenali tubuhmu, mesrai naluri iman dalam jiwamu dan daripada situ tentukan gayamu. Namun, jangan sesekali lupa, pastikan penampilan itu mendapat ‘restu’ Yang Esa.

Hindari ego diri, kerana yang mahu kita menangkan adalah reda Ilahi!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*