Tak Susah Hafal Al-Quran Asalkan Kena Dengan Tekniknya

Baru-baru ini telah diadakan seminar dua hari pengenalan al-Quran al-Hafiz (TOT & Public) yang diadakan di Dewan Sultan Muhammad V, Kumpulan Media Karangkraf. Seminar ini mendapat sambutan yang luar biasa. Peserta yang hadir dari seluruh negeri rata-ratanya amat berpuas hati dan merasai pengalaman baru dalam memahami kaedah hafalan al-Quran dengan cara yang sederhana serta cepat untuk semua golongan.

Tujuan preview ini dilakukan adalah bertujuan untuk memperkenalkan kepada umum tentang produk al-Quran terbaharu terbitan Karya Bestari yang diberi nama al-Quran al-Hafiz. Al-Quran ini sedikit berbeza dengan al-Quran yang sedia ada di pasaran kerana didatangkan dengan pembahagian tiga blok warna bagi setiap halaman.

Turut dimuatkan tema ayat bagi membantu memudahkan hafalan. Pada masa yang sama, ia juga dilengkapi dengan motivasi-motivasi yang pelbagai bagi membantu para penghafal al-Quran agar terus bersemangat untuk meneruskan hafalan.

Bagi memastikan penghafal al-Quran menghafal dengan penuh konsisten dan teratur, jadual semakan serta muraja’ah turut disediakan bagi mengulang bacaan yang telah dihafal. Setelah semua peserta melalui perkongsian ini, dan mencuba sendiri kaedah hafalan mengikut tiga blok warna yang telah disusun ternyata kaedah ini amat berkesan. Kaedah ini bukanlah satu-satunya kaedah cepat untuk mengafal al-Quran namun ia sesuai untuk semua golongan dan peringkat umur.

Seseorang yang ingin mendekatkan diri kepada kalamullah, perlu sentiasa positif dan yakin. Setiap kesukaran itu akan diberi kemudahan. Perkara yang sama turut dipersetuju oleh Ustaz Ambya Abu Fathin, Master Trainer Cordoba ketika Seminar Kaedah Menghafal Al-Quran Dengan Mudah Dan Cepat, anjuran Karya Bestari.

“Semangat al-Quran ini adalah untuk semua. Siapa pun akan mampu untuk berdamping dan menghafal al-Quran selagi ada kemampuan dan kesungguhan. Inilah spirit yang cuba kami bawa, setiap lapisan usia boleh membaca, menghafal, menghayatinya dengan baik.

“Kaedah menghafal dengan mudah dan cepat ini, membuatkan seseorang itu berasa seronok dengan al-Quran. Jika kanak-kanak, mereka lebih tertumpu untuk mengulang dan menghafal. Manakala dewasa, kaedah ini membantu mereka menghafal dengan kefahaman. Usia 14 tahun ke atas memorinya adalah memori logik. Jadi mereka hanya boleh ingat dan hafal dengan sesuatu yang mereka boleh faham,”ujar Ambya.

Jelasnya lagi, kaedah yang sama juga boleh dipraktikkan di rumah. Namun, perkara awal yang perlu diubah adalah faktor persekitaran. Roh al-Quran perlu dihidupkan, kerana ia dapat membantu seseorang itu lebih tertumpu kepada al-Quran.

Sumber: Sinar Islam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*