Terokai magis perubatan Islam yang universal

Skop perubatan Islam begitu luas sekali. Apa sahaja ubatan serta prosedur yang mengikut kaedah perubatan yang betul maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh syarak. Ini termasuk prosedur perubatan serta ubatan yang disebutkan Nabi di samping kaedah serta disiplin ilmu perubatan yang lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.

Perubatan yang digalakkan
Konsep perubatan moden kaedah perubatan dari China, India dan Arab atau kaedah perubatan tradisional bangsa Melayu serta yang lain-lainnya yang berasaskan kaedah yang benar lagi saintifik tanpa melibatkan perkara yang haram, khurafat atau syirik maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh Islam. Jika diyakini sesuatu kaedah boleh membantu ke arah kesembuhan seseorang pesakit, Islam menggalakkan kita untuk memanfaatkannya. Hal ini dapat disimpulkan dengan menganalisis hadis-hadis Nabi berkaitan cara pengubatan yang digalakkan. Baginda sebenarnya menyuruh umat Islam berubat secara umum tanpa mengehadkan atau menyempitkan kepada cara atau kaedah pengubatan tertentu sahaja.

Dalam sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah, Nabi bersabda, “Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua.”

Baginda juga bersabda, “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya maka sembuhlah ia dengan izin Allah.” Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim.

Hadis-hadis ini merangsang umat Islam untuk berubat ketika sakit tanpa mengehadkan kepada jenis rawatan atau ubatan tertentu sahaja. Dalam Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi berkata, “Hadis ini mengisyaratkan disunatkan berubat ketika sakit. Inilah mazhab kita (dari aliran mazhab Syafie), juga pegangan kebanyakan ulama salaf dan keseluruhan ulama khalaf. Berkata Qadi ‘Iyadh: Dalam hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu berkaitan agama dan dunia, antaranya ialah, benarnya ilmu perubatan dan diharuskan berubat secara keseluruhannya..”

Justeru merupakan satu kesilapan jika konsep perubatan Islam disempitkan dan dikaitkan dengan kaedah atau cara pengubatan tertentu sahaja seperti aktiviti menghalau jin, membuang saka, pengambilan makanan berpandukan al-Quran dan Sunnah serta menolak kaedah-kaedah pengubatan yang lain. Lebih malang lagi jika kaedah yang dikatakan perubatan Islam itu diamalkan berasaskan sumber riwayat yang tidak sahih serta palsu.

Makanan Sunnah

Sesuatu yang menggelikan hati saya ialah apabila bertemu dengan segelintir pejuang makanan Sunnah. Mereka mengakui sendiri bahawa setiap hari mereka tidak boleh berlekang daripada nasi serta minuman berkafein di samping mengambil makanan Sunnah. Mungkin mereka tidak menyedari bahawa Nabi tidak makan nasi dan minum minuman berkafein seperti mereka.

Walau bagaimanapun mengamalkan sesuatu berdasarkan hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang rawatan tertentu dengan menggunakan sebagai contoh habbatus sauda’ (jintan hitam), amalan berbekam, susu unta dan yang seumpamany adalah berasas lagi baik. Namun perlu disedari bahawa para ulama berbeza pendapat tentang sama ada saranan Nabi itu adalah berdasarkan pengalaman serta suasana persekitaran atau berasaskan wahyu. Sebahagian ulama berpendapat hadis-hadis ini adalah berasaskan wahyu. Sebahagian yang lain berpendapat ia adalah berasaskan pengalaman dan persekitaran.

Secara umumnya para ulama hadis cenderung kepada pendapat bahawa hadis-hadis perubatan yang sahih adalah berasaskan wahyu. Ibn al-Qayyim dalam al-Tibb al-Nabawi berpegang dengan pendapat ini.

Golongan kedua seperti Qadi ‘Iyadh dan Ibn Khaldun berpendapat bahawa hadis-hadis perubatan ini bukan berasaskan wahyu sebaliknya berdasarkan pengalaman dan persekitaran baginda ketika itu.

Antara hujah yang digunakan golongan yang berpendapat perubatan Nabi berasaskan pengalaman dan bukannya wahyu ialah hadis sahih berkaitan amalan para sahabat mengahwinkan pokok tamar. Maka Nabi mencadangkan, “Barangkali lebih baik jika kamu tidak melakukannya”. Maka mereka pun tidak melakukannya, lalu pokok tidak berbuah. Lantas para sahabat menceritakan hal tersebut kepada Nabi lalu baginda bersabda, “Aku ini manusia. Apabila aku menyuruh kamu berhubung perkara agama, maka ambillah (patuhlah). Jika aku menyuruh kamu sesuatu daripada pendapatku, maka aku hanyalah seorang manusia”. Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim.

Galakan untuk menyelidik dan mengkaji
Dalam aspek duniawi termasuk dalam aspek pemakanan, umat Islam digalakkan mengkaji dan menyelidik bagi memastikan khasiat yang terdapat dalam sesuatu makanan sebelum memakannya. Demikian juga dengan prosedur dan pendekatan dalam pengubatan, perlu ada kajian serta penyelidikan untuk memastikan keberkesanannya.

Sehubungan dengan ini Imam Muslim meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, “Kamu lebih tahu berhubung urusan duniamu.” Hadis ini apabila dikaitkan dengan bidang perubatan, mengizinkan para pengamal perubatan dan ahli sains Muslim mengkaji bagi memastikan prosedur dan ubat-ubatan yang lebih sesuai untuk digunakan. Dalam proses itu mereka boleh belajar dan manfaatkan kemahiran yang dimiliki oleh golongan bukan Islam terutamanya dalam usaha untuk menguasai teknologi terkini. Nabi Muhammad pernah mengizinkan golongan kafir daripada tawanan-tawanan Badar mengajar anak-anak orang Islam menulis dan membaca sebelum membebaskan mereka.

Walau bagaimanapun sesuatu penyelidikan hanya diiktiraf oleh Islam apabila ia tidak terbabas daripada dasar-dasar syariat. Sebagai contoh Islam tidak mengiktiraf sebarang kajian yang bertujuan menghalalkan arak dan zina. Sebenarnya umat Islam kaya dengan penyelidikan dan kajian. Sejarah menunjukkan tabib ar-Razi (854 – 925 M) semasa diminta menentukan tempat yang terbaik bagi pembinaan sebuah hospital di Baghdad, menggantung beberapa potong daging di tempat-tempat tertentu. Kawasan yang terpilih akhirnya ialah kawasan yang dagingnya tidak rosak dan reput.

Demikian juga dengan Muhammad ibn Zakariya ar-Razi (854 – 925 M). Beliau adalah orang pertama yang mengkaji dan menulis berhubung penyakit cacar atau smallpox dan campak atau measles. Tulisannya berhubung kedua-dua penyakit ini begitu terperinci sehingga tidak ada tokok tambah dan pembetulan yang perlu dilakukan hingga ke hari ini. Beliau juga merupakan orang pertama yang menggunakan alkohol sebagai bahan antiseptik dan benang sutera bagi menjahit luka.

Semua ini menunjukkan orang Islam terdahulu begitu ke depan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan sains perubatan secara khusus serta ilmu sains secara umumnya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*