Terus berpegang konsep wasatiyyah dalam kehidupan – Abang Johari

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg mahu umat Islam di Sarawak terus berpegang kepada kesederhanaan atau konsep wasatiyyah dalam aspek kehidupan dan pandangan mereka.

Beliau berkata konsep wasatiyyah adalah jalan ke arah masa hadapan yang lebih cerah untuk umat Islam di negeri ini dan juga untuk penganut agama lain.

Katanya Islam sentiasa menegakkan keadilan sebagai suatu prinsip, sama ada untuk umat Islam atau orang bukan Islam.

“Saya percaya kaum bukan Islam boleh menerima kepimpinan seorang pemimpin Islam kerana sebagai umat Islam kita sentiasa berusaha untuk memberi keadilan kepada semua, Islam dan bukan Islam.

“Islam menegah umatnya menidakkan hak kaum lain dalam semua bentuk, kecil atau besar,” katanya dalam perutusan Aidilfitri 2017.

Abang Johari berkata rakyat Sarawak merasa bertuah kerana negeri ini terus mampu mengekalkan keharmonian agama dan sosialnya yang telah terbina sejak sekian lama.

Menurutnya rakyat di Sarawak tidak bertelagah sesama sendiri mengenai agama dan hubungan sosial kerana semangat hormat-menghormati antara satu sama lain sudah menjadi budaya masyarakat di negeri ini.

“Tidak dinafikan bahawa sebagai sebuah masyarakat yang pelbagai dari segi agama, budaya dan keturunan kita mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan dalam banyak perkara dan isu.

“Alhamdulillah perbezaan kita selama ini dalam banyak aspek tidak menjadi benteng pemisah antara kita kerana kita mampu berbincang secara rasional dan mencari persamaan, mencari penyelesaian secara konsensus dan berpegang kepada sikap bertolak ansur,” katanya.

Abang Johari juga mahu seluruh anak Sarawak, tidak kira bangsa atau keturunan untuk sama-sama berusaha ke arah mengekalkan perpaduan dan keharmonian di negeri ini.

“Kita tidak akan membenarkan sesiapapun untuk meracuni pemikiran rakyat dan melahirkan perasaan hasad dan dengki antara satu sama lain. Perpecahan dan perbalahan antara rakyat tidak akan menguntungkan sesiapa,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*