Menguruskan Jenazah Diri Sendiri? Bagaimana?

“Sekitar jam 8 pagi tadi, saya menerima panggilan telefon daripada anak saudara kepada si mati, Dia meminta saya menguruskan jenazah pak ciknya yang meninggal dunia semalam akibat sakit tua. Jenazah berkenaan masih lagi berada di hospital.

“Anak saudara si mati mencari perkhidmatan pengurusan jenazah profesional melalui alam maya, lalu terjumpalah dengan Mykhairat Management Services Sdn Bhd. Pada asalnya, anak saudara jenazah meminta agar saya menyegerakan urusan pengebumiannya. Namun disebabkan terdapat beberapa urusan yang perlu diselesaikan menyebabkan jenazah berkenaan dikebumikan usai solat Jumaat keesokan harinya,” kongsi Pengarah Urusan Mykhairat Management Services Sdn Bhd, Mohd Yusni Ismail dalam pertemuannya bersama Rehal di pejabatnya di Kota Damansara.

Beliau yang mesra dikenali sebagai Ustaz Yusni berkata, mana-mana individu Muslim perlu menguruskan jenazah sendiri semasa masih hidup supaya tidak menjadi bebanan kepada isteri dan keluarganya saat mahu menguruskan kematiannya.

Saranan beliau lagi, daftarlah sebagai ahli khairat, tidak semestinya dengan Mykhairat. Daftarlah dengan surau atau masjid, daftarlah supaya apabila meninggal dunia si mati tidak membebankan ahli keluarganya.

Renungilah hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin lalu mengemis kepada manusia dengan menadah tangan mereka…” (Riwayat Bukhari)

“Sekarang ni nak mati pun kena menabung, kena simpan duit, kena ada RM1,000 baru boleh mati. Kalau tak siapa yang nak uruskan jenazah kita.”

“Ada pula, pihak yang nak ambil kesempatan, caj itu caj ini, semua duit.” Antara ungkapan yang sering kedengaran di telinga kita pada hari ini.

Realitinya begitulah. Mana ada perkara percuma di dunia ini dan menguruskan jenazah bukan sesuatu yang percuma. Semua membabitkan kos.

 

JALAN DAKWAH

Ustaz Yusni yang berpengalaman hampir lapan tahun dalam bidang pengurusan jenazah menceritakan dirinya pernah digelar gila dan disisihkan kawan-kawan sebaik sahaja beliau mengambil keputusan untuk terlibat secara serius dalam bidang ini. Ada temannya yang meminta beliau berfikir semasak-masaknya dengan keputusan yang diambil.

“Sekitar lapan tahun lepas, saya mendapat sebuah projek membina kawasan perkuburan Islam di Kota Damansara. Setiap hari saya mengebumikan jenazah. Sampai satu masa ALLAH SWT memberi ilham kepada saya untuk terbabit secara serius dalam arena dakwah.

“Bermula daripada situlah, tertubuhnya MyKhairat Management Services Sdn Bhd tiga tahun lepas. Ini adalah perjalanan dakwah saya. Bermacam kata-kata negatif kedengaran di telinga namun saya berpegang kepada cara dakwah Rasulullah SAW. Dakwah Baginda SAW sangat mencabar dan Baginda SAW tetap bersabar,” jelas anak jati Kuala Lumpur ini lagi.

 

PENGURUSAN JENAZAH LEBIH MUDAH

USTAZ Yusni berkata, Mykhairat adalah syarikat pengurusan jenazah profesional yang menguruskan jenazah walau di mana jenazah itu berada dan itulah perbezaannya dengan tabung khairat di masjid.

“Sebagai contoh, si A berasal dari Pahang, dia ke rumah anaknya di Johor. Atas takdir ALLAH, dia meninggal di Johor dan jika dia adalah ahli Mykhairat, syarikat ini akan menguruskan semuanya dengan kerjasama masjid atau surau tempat tinggalnya. Dan walaupun dia bukan ahli Mykhairat, jika warisnya menelefon talian  bebas tol 1300 80 8848, kami akan uruskan dengan caj antara RM1,000 hingga RM1,500 dengan mengambil kira jarak perjalanan (kos van jenazah).

“Waris hanya perlu menelefon Mykhairat dan semuanya akan kami uruskan. Hanya satu soalan yang akan kami tanya kepada waris iaitu “Si mati berwasiat untuk dikebumikan di mana?” Kami tidak mahu membebankan keluarga si mati, sementelah pula mereka dalam keadaan bersedih,” katanya.

Mykhairat turut menawarkan insurans perlindungan peribadi, badal haji, zikir tahlil, khatam al-Quran dan khidmat nasihat harta pusaka.

 

KERJASAMA DENGAN MASJID

Menurut Ustaz Yusni, ada sesetengah pihak mengatakan Mykhairat cuba mengaut keuntungan dan lebih menjurus kepada perniagaan. Beliau menafikan dakwaan itu dengan mengatakan, Mykhairat berperanan sebagai ‘orang tengah’ untuk mendekatkan pihak masjid dan surau dengan kariahnya. “Saya tekankan di sini, penglibatan Mykhairat dalam pengurusan jenazah bukan untuk mengambil alih tugas masjid, sebaliknya untuk memberi peluang kepada masjid menambahkan sumber pendapatan. Bayangkan jika satu jenazah yang diuruskan dicaj dengan RM500 ke RM800, semakin bertambahlah tabung khairat masjid berkenaan.

“Semua kos perbelanjaan bagi pengurusan jenazah ahli Mykhairat termasuklah van jenazah akan disalurkan kepada masjid berkenaan. Pihak Mykhairat tidak ambil duit berkenaan,” ujar beliau.

Katanya, Mykhairat mengalu-alukan mana-mana masjid atau surau yang mahu menjadi panel Mykhairat. Hubungi sahaja talian bebas tol yang dipaparkan.

 

DIDIK URUS JENAZAH

“Apabila menguruskan mana-mana jenazah, saya gemar memanggil anak kecil atau remaja untuk melihat dan menyertai kami. Kenapa saya berbuat demikian? Kerana, anak kecil perlu dididik dan diajar bagaimana untuk menguruskan jenazah, cara untuk mandikan jenazah, mengapankan jenazah dan saya juga memberi peluang malah menggalakkan ahli keluarga si mati untuk mengimamkan solat jenazah.

“Mereka perlu didedahkan, didik dan ajar mereka bukannya menyuruh mereka tinggalkan tempat urus jenazah. Kita sering bertanya, kenapa generasi sekarang tidak suka ke masjid, tidak pandai mandikan jenazah, jawapannya kerana kita tidak dedahkan mereka sedari kecil lagi dengan fardu kifayah ini,” tambahnya lagi.

Ustaz Yusni berkata, usah marah anak kecil yang terjenguk-jenguk kepala mahu melihat pengurus jenazah menguruskan jenazah. Sebaliknya panggil dan ajar mereka secara berhemah dengan memantau setiap apa yang dilakukan.

 

JADI AHLI MYKHAIRAT

Setakat ini, Mykhairat mempunyai hampir 30,000 ahli yang berdaftar dan Mykhairat juga bekerjasama dengan 1,000 masjid dan 400 koperasi  masjid di seluruh Malaysia sudah menjadi panel Mykhairat.

Dalam masa yang sama, Mykhairat turut melebarkan kerjasama dengan badan berkanun dan agensi kerajaan yang berminat dan baru-baru ini pada 28 September, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan kerjasama Mykhairat, MyAngkasa Amanah Berhad dan Rosegate Insurance Brokers Sdn Bhd melancarkan MyAngkasa Mukmin iaitu produk pengurusan jenazah pertama di negara ini.

Kerjasama strategik itu membolehkan Mykhairat melantik lebih 400 cawangan koperasi Angkasa seluruh negara sebagai panel Mykhairat. Produk ini adalah pertama di Malaysia yang merangkumi tiga elemen iaitu khidmat pengurusan jenazah profesional, perkhidmatan pengurusan harta pusaka dan perlindungan takaful.

Pencarum atau ahli skim ini akan berasa lega kerana urusan kematian dan harta pusaka akan berjalan lancar bahkan warisnya turut menerima wang insurans.

 

SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/mobile/fickry/urus-jenazah-sendiri-1.575853

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*