Wanita Amanah gesa hentikan penyiaran lagu Despacito

KUALA LUMPUR: Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) meminta kerjasama stesen radio agar berhenti memainkan lagu hit antarabangsa, Despacito.

Ini kerana lagu dendangan Luis Fonsi dan Daddy Yankee itu membawa maksud yang berunsurkan lucah.

Menerusi satu kenyataan media, Pengerusi Keseniaan dan Kebudayaannya, Atriza Umar berkata, ia secara tidak langsung menyebarkan budaya yang tidak sihat dalam kalangan anak muda yang menggilai lagu tersebut biarpun tidak memahaminya secara keseluruhan.

“Saya kesal kerana lagu-lagu yang bermasalah seperti ini yang tidak ditapis penyiarannya  oleh kementerian yang bertanggungjawab.

“Justeru saya menyeru supaya lagu berkenaan dan juga lagu-lagu lain yang mengandungi maksud yang lucah, ganas dan sebagainya yang tidak sesuai dengan budaya Timur dan Islam dihentikan segera,” katanya.

Atriza menyeru agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk bertegas dalam isu ini yang dianggap boleh mempengaruhi moral dan gaya berhibur masyarakat dalam negara ini.

Sementara itu, inisiatif sebilangan artis tempatan yang menyanyikan semula lagu berkenaan dengan lirik yang diubah menjadi lebih sopan, turut dipuji.

“Semoga penggiat seni tanah air boleh mengembleng tenaga untuk menyediakan hiburan yang lebih baik dan bermoral serta mempunyai nilai komersial yang tinggi.

“Kita menghormati hak berhibur tetapi garis panduan yang lebih jelas perlu wujud supaya hiburan itu tidak merosakkan tetapi menjadikan manusia menjadi lebih baik,” katanya.

Despacito baru sahaja diangkat sebagai lagu dengan penstriman paling banyak dalam sejarah, dengan 4.6 bilion penstriman hanya dalam masa enam bulan selepas diterbitkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*