20 Hari Keluar Darah, 20 Hari Tak Solat! Muslimah Kena Tahu Beza Haid, Istihadah & Nifas

Ramai wanita terlepas tanggungjawab solat hanya kerana keliru tentang darah haid. Sedangkan solat adalah tiang agama dan antara amalan yang akan disoal pertama kali di akhirat nanti.

Perkara ini disentuh oleh Ustazah Asmah Harun dalam satu perkongsian beliau.

“Bayangkan betapa ramai WANITA bermudah-mudah dengan solat, 20 hari keluar darah, 20 hari tinggalkan solat, alasannya tak dapat beza ia HAID atau ISTIHADAH, akhirnya suruhan wajib ditinggalkan, AllahuAkbar.

“Allah SWT berfirman “Mereka ditanya kenapa dimasukkan kedalam NERAKA SAQAR, maka dijawab kerana tinggalkan solat” (Al-Mudatthir 42-43)

Bagi mengelakkan kekeliruan beliau memberikan penjelasan tentang perbezaan haid, istihadah dan nifas untuk pemahaman Muslimah.

PERBEZAAN HAID, ISTIHADAH DAN NIFAS

Maksud Darah Haid

Imam al-Khatib al-Syirbini di dalam Mughni al-Muhtaj mendefinisikan haid seperti berikut:

دم جبلة أي تقتضيه الطباع السليمة يخرج من اقصى رحم المراة بعد بلوغها على سبيل الصحة من غير سبب في أوقات معلومة

Maksudnya: Darah semula jadi sebagai kejadian normal yang keluar daripada pangkal rahim seorang wanita yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa sebab-sebab tertentu dan pada waktu-waktu yang diketahui.

Ini bermakna, darah haid berlaku dalam tempoh tertentu berbeza dengan istihadah yang tidak mempunyai tempoh waktu tertentu.

Ads

Maksud Darah Istihadah

هي الدم الزائد على اكثر الحيض والنفاس او هي الدم الخارج من غير أيام الحيض والنفاس

Maksudnya: Darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas.

Diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha katanya, Fatimah binti Abu Hubaish menemui Rasulullah SAW dan bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang di datangi darah istihadhah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Baginda SAW: Tidak perlu, kerana darah itu ialah darah penyakit, bukannya darah haidh. Ketika kedatangan haidh tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.” (HR Bukhari Dan Muslim, hadis sahih)

Ads

Maksud Darah Nifas

Nifas ialah darah yang keluar setelah kosong kesemua rahim daripada kandungan sekalipun yang keluar itu dalam bentuk alaqah (segumpal darah) atau mudghah (segumpal daging), dan sebelum berlalu sekurang-sekurang suci (selepas kelahiran) iaitu selama 15 hari. Sekiranya seseorang melihat darah setelah kelahiran selepas selang masa 15 hari dan ke atas, maka hal yang demikian tidak dianggap sebagai nifas

Tempoh Haid

Dalam kitab al-Taqrirah al-Sadidah penulis menyebutkan tempoh haid adalah seperti berikut:

Sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam (24 jam), sebanyak-banyak tempoh haid ialah 15 hari 15 malam dan kebiasaan tempoh haid ialah 6 atau 7 hari. Justeru, ringkasan tempoh haid adalah seperti berikut:

Tempoh sekurang-kurang haid:

1) Sehari semalam (24 jam)

Ads

2) Tempoh kebiasaan haid : 6 atau 7 hari

3) Tempoh maksimum haid : 15 hari 15 malam

Imam al-Darimi dalam penulisannya menyebutkan bahawa:

Sekiranya seorang perempuan yang sudah mencapai umur haid (9 tahun dan ke atas) melihat darah yang keluar pada tempoh sekurang-kurang haid (sehari semalam) dan tidak melepasi sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam) maka kesemua darah itu adalah haid. Sama ada tempoh tersebut sama seperti adat kebiasaanya sebelum ini atau tidak. Sama ada darah yang keluar mempunyai warna yang sama atau berbeza. Hal ini demikian kerana, syarat-syarat haid telah terkumpul padanya.

Berdasarkan kenyataan ini dapat difahami bahawa, darah yang keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam, walaupun berbeza adat dengan bulan sebelum nya atau berbeza warna darah yang keluar, selagi mana ianya keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam dan tidak melepasi tempoh tersebut, maka kesemuanya dihukumkan darah haid.

Walau bagaimanapun, sekiranya darah yang keluar melepasi tempoh 15 hari 15 malam dan bersambung dengan hari seterusnya tanpa berhenti maka darah yang keluar dihukumkan sebagai darah istihadah manakala wanita yang mengalami keadaan ini dinamakan sebagai wanita mustahadah yang memiliki beberapa pembahagian kerana darah haid dan istihadahnya telah bercampur dalam tempoh tersebut.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download sekarang ya?

KLIK DI SEENI
Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
Ads