Mengadakan majlis perkahwinan memanglah seronok kerana kita dapat berkumpul bersama adik-beradik lain serta sanak saudara.

Bukan sahaja pada sebelah kita, tetapi orang baru rasmi menjadi ahli keluarga kita. Namun begitu, ada batas pergaulan yang perlu kita ambil tahu agar tidak akan berlaku perkara tidak diingini.

IKLAN

Walau serapat mana hubungan itu, batas pergaulah perlu dijaga kerana orang baru itu bukan mahram kita.

Jaga batas pergaulan bila masuk dalam keluarga baru.

Ayuh ikuti perkongsian lelaki ini Akhtar Syamir bab mahram agar boleh dijadikan panduan terutama ketika sesi fotografi bersama seisi keluarga.

Anda dan ipar anda bukan Mahram. Bila bukan Mahram, sentuh tak boleh, aurat pun kena jaga. Dalam Islam, tak kira “tahap kemesraan” atau “tahap rapat” tu. Yang dikira ialah hubungan antara satu sama lain.

Antara perkara yang selalu terjadi, ipar tidak begitu mengambil berat akan auratnya. Memakai baju lengan pendek dan tidak bertudung. Alasannya, “bukan orang lain”. Bila berjumpa atau berpisah, tak perlulah salam atau laga-laga pipi.

IKLAN

Yang kedua sering terjadi ialah pasangan kepada mak atau bapa saudara. Contohnya anda seorang perempuan, suami kepada mak saudara anda tu bukan mahram. Jadi, tak boleh la buka tudung depan dia atau salam dengan dia. Sama juga dengan jika anda seorang lelaki, isteri kepada bapa saudara anda tu bukan mahram, tak boleh salam.

Sama juga kesnya dengan anak saudara suami atau isteri anda. Bukan mahram dan tidak boleh buka aurat depan mereka dan bersalaman.

Ketiga, dengan sepupu berlainan jantina. Selalunya alasan “membesar bersama” dan lain-lain akan membuatkan orang ambil mudah. Kalau berjumpa bukan main lagi salam, cium pipi dan peluk. Maklumlah, dulu duduk serumah. “Bukannya orang lain”.

Kemudian, yang selalu orang terlepas ialah apabila bersama dengan orang tua. Orang tua walau setua mana pun jika dia bukan mahram kita, tak boleh bersentuhan juga. Jangan gunakan alasan “hormat orang tua”. Tak kena alasan tu.

Dulu saya kurang ambil berat bab ni, main salam saja sana sini. Tapi bila kita dah tahu, kita mula cakna bab ini. Tak susah pun nak tahu yang mana boleh salam atau tidak. Fokus kepada yang rapat-rapat dulu.

Bila dah tahu, macam mana nak elak dengan sopan untuk tidak berada dalam situasi yang janggal apabila bukan mahram menghulur tangan untuk disalam?

1. Letak tangan atas dada dan senyumlah semanis yang boleh sambil mengangguk atau tunduk sedikit. Ini gaya tubuh yang paling menghormati orang lain tanpa bersentuhan.

2. Memberi alasan yang anda ada wuduk sambil meminta maaf dan senyum.

3. Jarakkan kedudukan anda supaya kurang kebarangkalian orang itu akan menghulurkan tangan untuk bersalaman.

4. Kalau keadaan memaksa dan anda tidak sempat untuk buat 3 perkara di atas, carilah apa-apa untuk lapik tangan tu. Ini cara terakhir, pasti orang itu tidak akan cuba salam dengan anda di waktu yang lain.

Semua ini kita buat bukan untuk tidak menghormati kebaikan orang lain. Kita buat dan ambil tahu supaya kita tidak membuat dosa yang sia-sia dan dalam tidak sedar, kita “menghalalkan yang haram”.

Semoga kita lebih ambil berat perkara sebegini. Jangan ikut artis, artis tu manusia juga. Ada kelakuan yang betul, ada kelakuan yang tidak betul. Ikutlah yang betul sahaja, yang lain kita jadikan sempadan.