
Memiliki anak istimewa bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang pertama kali melalui pengalaman tersebut. Ada yang terpaksa berdepan dengan cabaran dari segi tingkah laku, emosi dan komunikasi yang berbeza berbanding anak-anak lain.
Namun di sebalik ujian dan cabaran itu, terselit satu amanah besar yang Allah SWT titipkan kepada hamba-Nya. Malah, dalam menjaga anak-anak istimewa ini, tersimpan juga ganjaran pahala yang besar buat ibu bapa yang sabar dan reda.
Anak-anak istimewa seperti autisme atau sindrom down memerlukan perhatian khas daripada ibu bapa, bukan sahaja dari sudut fizikal tetapi juga emosi dan sosial.
Justeru, ibu ayah perlu lebih peka dalam memahami keperluan mereka agar proses penjagaan dan didikan dapat dilakukan dengan lebih baik.
Memetik perkongsian daripada Sinar Bestari, guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan Seri Intan, Cikgu Muhammad Anas Murugan Abdullah, ada berkongsi beberapa tip yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa dalam menjaga anak istimewa.
Antara perkara paling penting ialah ibu bapa perlu memahami keperluan anak. Setiap anak istimewa mempunyai keperluan yang berbeza, justeru mereka tidak boleh dibandingkan dengan anak orang lain. Ibu bapa perlu bersabar untuk mengenali kekuatan dan kelemahan anak masing-masing supaya pendekatan yang digunakan lebih sesuai.
Selain itu, ibu bapa juga digalakkan menyediakan ruang dan rutin yang konsisten untuk anak-anak istimewa ini. Mereka biasanya lebih selesa apabila mempunyai jadual harian yang tetap dan persekitaran yang teratur. Keadaan ini bukan sahaja membantu anak lebih tenang, malah memudahkan ibu bapa memantau perkembangan mereka dengan lebih dekat serta mengurangkan risiko kecemasan atau kecederaan.
BACA JUGA: Bekerja Keras Tapi Gaji Masih Tak Cukup, Mungkin Ini Punca Rezeki Sempit
Dalam masa sama, kesabaran yang tinggi amat diperlukan dalam membesarkan anak istimewa. Justeru, ibu bapa perlu bijak mengawal emosi sendiri. Walau seberat mana cabaran yang dihadapi, janganlah melepaskan rasa marah kepada anak-anak ini. Sesungguhnya mereka adalah amanah Allah yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang dan ihsan.
Pelakon yang juga ibu kepada anak autisme, Catriona Ross turut berkongsi pandangannya kepada pihak Kashoorga. Menurut beliau, anak istimewa tidak pernah dianggap sebagai beban atau ujian yang menyusahkan.
“Kak Kek anggap anak istimewa ini adalah untuk menguji diri sendiri sejauh mana kesanggupan Kak Kek mendidik anak yang dihantar oleh Allah,” katanya.
Beliau juga menitipkan pesanan buat ibu bapa di luar sana agar tidak berasa ralat menerima kehadiran anak istimewa dalam keluarga.
“Bukan kita yang minta anak ini dilahirkan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, ibu bapa yang sabar akhirnya pasti akan berasa bangga apabila melihat kejayaan anak-anak istimewa ini.
“Allah tidak akan uji hamba-Nya jika mereka tidak kuat untuk menghadapinya,” katanya, sambil mengingatkan bahawa kita bukan sesiapa untuk menidakkan kehadiran anak-anak ini.
Hakikatnya, anak istimewa bukanlah beban, sebaliknya amanah besar yang hadir bersama hikmah tersendiri. Mungkin jalannya tidak mudah, namun dengan sabar, kasih sayang dan penerimaan yang baik, ibu bapa akan mampu membesarkan mereka dengan penuh makna. Dalam setiap penat lelah itu, pasti ada nilai pahala dan kasih sayang Allah yang mengiringi.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok