Asingkan Hukuman Pesalah Syariah

 

 

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

 


Hukuman pemenjaraan bukan hanya dijatuhkan mahkamah sivil di Malaysia. Ia juga oleh mahkamah syariah di setiap negeri di Malaysia.

Walaupun hukuman penjara oleh mahkamah syariah ini terhad kepada tempoh maksimum selama tiga tahun sahaja (berbanding mahkamah sivil yang boleh menjatuhkan hukuman pemenjaraan sehingga seumur hidup) namun hakikatnya memang mahkamah syariah mempunyai kuasa dan telah pun menjatuhkan hukuman penjara terhadap pesalah syariah yang diperuntukkan.

 

hands of a prisoner on prison bars

Pelbagai kesalahan jenayah syariah mempunyai peruntukan pemenjaraan sebagaimana yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan beberapa undang-undang lain lagi.

Pemenjaraan dalam Islam bertujuan antara lainnya memberi peluang kepada pesalah menjalani sesi pemulihan dan bertaubat. Ia tidak bertujuan untuk menyeksa pesalah dengan menarik balik hak kebeba-san mereka sahaja. Bagi tujuan ini adalah amat penting bagi kerajaan menggarap modul yang sesuai.

Buat masa ini semua pesalah sama ada pesalah jenayah ataupun jenayah syariah ditempatkan di dalam penjara yang sama. Tidak dapat penulis bayangkan seorang pesalah jenayah syariah seperti berpoligami tanpa kebenaran ataupun melanggar fatwa mufti diletakkan di penjara yang sama dengan pesalah dadah, rogol dan merompak.

Dikhuatiri juga pesalah-pesalah syariah ini akan terpengaruh dengan pesalah-pesalah lain dan apabila keluar kelak mereka bukannya insaf atas kesalahan dilakukan tetapi lebih teruk dari itu cuba melakukan kesalahan lain pula.

Walaupun terdapat modul pendidikan keagamaan di dalam penjara, namun suasana persekitaran penjara tidak menyentuh jiwa pesalah ini.

Dalam hal yang demikian sudah sampai masanya pihak kerajaan memikirkan untuk mengasingkan penjara pesalah syariah daripada pesalah jenayah lain dan modul khusus dibuat bagi memfokuskan dalam tempoh pemenjaraan itu, pemuli-han aqidah, akhlak dan adab dilakukan supaya mereka keluar dengan penuh keinsafan dan bertaubat tidak akan ulangi kesalahan sama.

Mungkin cetusan pandangan ini membawa implikasi besar dari segi kewangan kerajaan dan perbelanjaan serta perjawatan pegawai awam, namun ia dilihat sebagai amat perlu memandangkan kadar kesalahan jenayah syariah semakin hari berganda dan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan, apatah lagi melihat situasi di penjara sivil terlalu sesak yang tidak memungkinkan pesalah syariah mendapat program boleh menginsafkan mereka.

Keperluan penjara berasingan bagi pesalah syariah amat ketara buat masa ini kerana sistem penjara yang ada sekarang gagal mengekang pesalah mengulangi kesilapan mereka. Sering kali kita dengar pesalah mengulangi kesalahan semata-mata ingin kembali ke penjara kerana berasa lebih selesa berada di sana. Hal ini mengakibatkan kerajaan membelanjakan banyak wang awam bagi menanggung mereka di penjara.

Sifat punitif pemenjaraan itu telah dikesampingkan kerana tiada atau kurangnya nilai keagamaan disemai di dalam penjara. Bukanlah penulis mengatakan tiada langsung program keagamaan tetapi apabila dicampurkan antara pesalah-pesalah berat ini dengan pesalah syariah amat tidak sesuai bagi mereka ini dikumpulkan bersama.

Bagi tujuan pemulihan, terutamanya pesalah berkaitan kesalahan aqidah, kaunseling agama oleh mereka yang terlatih boleh dilaksanakan. Untuk ini jabatan-jaba-tan kerajaan lain boleh bersama-sama membantu seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Jabatan Kebajikan.

Di samping itu, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan juga boleh membantu pihak penjara syariah dalam program-program yang akan diadakan di sana. Begitu juga para penyelidik dan ahli akademik dari institusi pengajian tinggi juga boleh membantu menjayakan dasar ini.

Program-program penghayatan agama, peningkatan akhlak Islamiah, pemantapan aqidah dan nilai budaya Islam juga perlu dititikberatkan dalam modul dakwah di dalam penjara syariah ini. Dengan cara ini pesalah-pesalah syariah akan menginsafi kesalahan yang mereka lakukan itu dan peluang untuk mereka membuka lemba-ran baru dalam catatan kehidupan mereka adalah amat besar.

 

Oleh yang demikian, demi pemulihan adalah perlu kerajaan mengadakan penjara berasingan bagi pesalah syariah ini. Implementasi penjara berasingan ini akan membawa kesan amat besar kepada pesalah dan juga sistem keadilan syariah di negara ini.

Hal yang demikian adalah sejajar hasrat kerajaan mahu memperbaiki dan memartabatkan mahkamah syariah termasuklah semua agensi yang mempunyai kaitan dengan mahkamah syariah itu sendiri seperti penjara, penguat kuasa agama, pendakwaan syarie dan juga infrastruktur mahkamah.

Tinggalkan Komen