Kerohanian

Bahaya Mengumpat Di Media Sosial, Puasa Boleh Jadi Sia-Sia

Share

Umum mengetahui bahawa mengumpat adalah suatu perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT. 

Perbuatan ini bukan sahaja akan mencalarkan maruah seseorang, malah turut difirmankan oleh Allah SWT tentang perumpamaan orang-orang yang mengumpat ini:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

(al-Hujurat:12)

Melalui ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT sangat tidak suka akan golongan yang suka bercakap buruk tentang orang lain, bahkan mengumpamakan mereka yang mengumpat ini ibarat memakan daging saudaranya sendiri.

Bergosip, istilah yang selalu digunakan dalam masyarakat kita merupakan istilah yang telah menggantikan perkataan mengumpat itu sendiri. Walhal dua benda ini adalah perbuatan yang sama.

BACA JUGA: Rasa Sempit Hati Lihat Orang Lain Bahagia? Ini Nasihat Untuk Diri

Dalam era digital ini mengumpat bukan sahaja dilakukan secara zahir. Kita mempunyai akses yang luas terhadap media sosial seperti Thread, Instagram dan Whatsapp. 

Tokoh Qari Asean merangkap penceramah bebas, Ustaz Tirmizi Ali berkata, bercerita tentang keburukan orang lain adalah dilarang. 

Beliau tertarik dengan suatu pandangan yang dikeluarkan al-Azhar iaitu ‘Apakah Hukum Puasa Elektronik’, atau puasa media sosial dan kegunaannya..

Menggunakannya tiada masalah, ia adalah harus. Tetapi menjaga tangan dari menulis sesuatu yang buruk itu yang sukar dilakukan. 

“Apabila ia terkeluar melalui kata-kata. Lidah ini milik kita, dan selagi sesuatu itu belum diucapkan, kita masih mampu memilih untuk diam.

“Namun apabila kita mula berkata-kata, di situlah segalanya boleh berubah,” kongsinya.

Tambahnya lagi, menurut Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Melalui ayat ini, kita fahami bahawa Allah tidak mewajibkan kita berlapar, sebaliknya Dia mewajibkan kita berpuasa.

Jika menahan lapar, hanya setakat menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya berpuasa, kita juga perlu menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh mengurangkan pahala seterusnya menjauhkan diri kita daripada Allah.

“Apa gunanya jika kita berpuasa, tapi pahalanya berkurang kerana mengumpat orang. Sepatutnya kita pelihara diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah,” katanya di akhir temu bual.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah