
Work From Home atau bekerja dari rumah merupakan istilah yang semakin popular sejak tercetusnya wabak Covid-19.
Lebih-lebih lagi, pada 26 Mac yang lalu, pihak kerajaan telah membenarkan penjawat awam bekerja dari rumah secara berperingkat susulan konflik di Asia Barat.
Bekerja dari rumah mungkin kelihatan mudah kerana pengurusan masa lebih fleksibel dan suasana kerja juga lebih santai berbanding ketika berada di pejabat.
Namun, walau di mana kita bekerja, tetap ada cabaran yang perlu dihadapi. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan soal amanah dan keberkatan dalam pekerjaan, terutama apabila tiada pemantauan secara langsung daripada pihak atasan.
Hakikatnya, walaupun bekerja dari rumah, seseorang pekerja tetap perlu melaksanakan tugas mengikut susun atur dan disiplin sebagaimana ketika berada di pejabat.
Ini penting supaya hasil kerja yang diberikan sentiasa berkualiti dan mampu memberikan kepuasan kepada majikan.
BACA JUGA: Cancel Culture: Adakah Budaya Ini Selari Dengan Islam?
Bekerja dari rumah juga menunjukkan bahawa majikan telah memberikan kepercayaan yang besar kepada pekerja untuk menjalankan tanggungjawab walaupun tidak hadir secara fizikal di tempat kerja.
Oleh itu, sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kepercayaan ini ialah satu amanah yang bukan sahaja dinilai oleh manusia, tetapi juga diperhatikan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, ayat 58:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Setiap detik dalam waktu bekerja yang diabaikan tanpa amanah pasti akan dipersoalkan. Walaupun perkara itu mungkin tidak dilihat oleh majikan, namun di akhirat kelak semuanya tetap akan disoal oleh Allah SWT.
Perkara ini juga boleh dikaitkan dengan unsur syubhah, iaitu sesuatu yang tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram.
Pendapatan yang diterima seharusnya datang daripada usaha dan masa kerja yang benar-benar produktif. Justeru, ketika bekerja dari rumah, seseorang itu perlu lebih berdisiplin agar rezeki yang diperoleh sentiasa bersih dan diberkati.
Walaupun bekerja dari rumah atau dari mana-mana sahaja, soal keberkatan dalam pekerjaan mesti sentiasa dijaga.
Waktu bekerja seharusnya digunakan dengan sebaiknya untuk menyiapkan tugasan.
Jika anda berasa sukar untuk fokus kerana suasana rumah yang berbeza daripada pejabat, maka sediakan satu ruang kerja yang sesuai dan susun jadual harian dengan baik agar urusan kerja dapat dilakukan dengan lebih teratur.
Apabila mempunyai ruang kerja sendiri, seseorang akan berasa lebih selesa dan bersemangat untuk bekerja. Pengurusan masa yang baik juga membantu kita membezakan antara urusan kerja dan urusan peribadi di rumah.
Akhirnya, sebagai seorang Muslim, kita sendiri perlu sedar akan kepentingan menjaga amanah dan keberkatan ketika bekerja.
Mudah-mudahan dengan menjaga adab, tanggungjawab dan niat kerana Allah SWT, kehidupan kita akan menjadi lebih diberkati, hati semakin dekat kepada-Nya dan akhirnya kita beroleh ganjaran syurga.
Yang penting, bekerjalah dengan niat kerana Allah demi mendapatkan rezeki yang halal.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







