
Pernah tular di media sosial kenyataan bahawa barang yang tidak digunakan dalam tempoh 40 hari akan dihisab di akhirat.
Secara umum, hisab ialah perhitungan atau penilaian oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya pada hari akhirat. Setiap umat Islam akan dipersoalkan tentang segala amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia.
Namun begitu, penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus menerusi satu video di YouTube menjelaskan bahawa dakwaan tentang tempoh 40 hari itu adalah tidak benar dan tidak pernah disebut dalam mana-mana dalil.
“Status itu salah, guna tak guna semua akan dihisab,” katanya dalam video berkenaan.
Bukan sahaja amalan, malah segala harta yang kita miliki di dunia ini juga akan dihisab. Sama ada barang itu digunakan atau tidak, ia tetap akan dihitung.
BACA JUGA: Bahaya Mengumpat Di Media Sosial, Puasa Boleh Jadi Sia-Sia
Firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 49:
Maksudnya: “Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: ‘Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!’ Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”
Di akhirat kelak, manusia akan ditanya tentang bagaimana mereka mendapatkan barang yang dimiliki.
Adakah barang itu dibeli daripada sumber yang halal? Bagaimana pula cara seseorang itu memperoleh sumber tersebut?
Semua perkara ini akan dipersoalkan di akhirat nanti.
Sebab itu, kita perlu sentiasa berpada-pada dalam mengumpul harta atau membeli barang kerana semuanya akan dihisab kelak.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Israa’ ayat 26 dan 27:
Maksudnya:
“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Justeru, elakkan pembaziran kerana membazir adalah sifat yang tidak disukai Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok