Boleh Ke Jawab Panggilan Ibu Bapa Ketika Solat? Ini Hukum & Penjelasannya

Share

Ketika sedang solat, adakalanya kita terdengar panggilan ibu atau bapa yang sudah tua memanggil nama kita. Persoalannya, bolehkah kita menjawab panggilan ibu bapa ketika solat? Adakah perlu berhenti atau teruskan solat?

Jawapan Ulama Tentang Menjawab Panggilan Ibu Bapa Ketika Solat

Menurut penjelasan Ustazah Asma’ Harun, para ulama telah bersepakat bahawa jika seseorang sedang melaksanakan solat fardu, maka tidak dibenarkan membatalkan solat dengan sengaja walaupun untuk menjawab panggilan ibu bapa, kecuali dalam keadaan darurat seperti kemalangan, kecemasan, atau keadaan yang mengancam nyawa.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 33:

“وَلا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ”
Maksudnya: “Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu.”

Hukum Menjawab Panggilan Ibu Bapa Ketika Solat Sunat

Jika seseorang sedang menunaikan solat sunat, maka dibolehkan menjawab panggilan ibu bapa sekiranya terdapat keperluan, darurat, atau bimbang mereka berkecil hati. Namun, jika panggilan itu bukan perkara mustahak dan diyakini ibu bapa tidak marah, maka solat boleh diteruskan dan panggilan dijawab selepas solat selesai.

Syeikh Bajuri menyebut dalam kitabnya Hasyiah Al-Baijuri bahawa:

“Menjawab panggilan dua ibu bapa itu haram ketika sembahyang fardu kerana sengaja memutuskan sembahyang fardu itu haram, tetapi harus memutuskan sembahyang yang sunat.”

Begitu juga pandangan Syeikh Khatib Syarbini dalam kitab Mughni Al-Muhtaj:

“Tidak wajib menjawab panggilan ibu bapa di dalam sembahyang bahkan haram pada sembahyang fardu dan harus pada sembahyang sunat.”

Memberi Isyarat Semasa Solat

Bagi mereka yang ingin memberikan isyarat atau mengangkat suara bagi memaklumkan kepada ibu bapa bahawa dirinya sedang solat, hal ini dibolehkan jika ada keperluan

. Contohnya, dengan meninggikan suara pada bacaan takbir atau zikir seperti “Subhanallah” sebagai tanda sedang solat.

Namun, perlu diingat bahawa bacaan tersebut mesti diniatkan sebagai sebahagian daripada bacaan solat — seperti niat tilawah atau bacaan yang memang termasuk dalam ibadah solat. Jika seseorang hanya mengangkat suara semata-mata untuk menjawab panggilan dan tidak diniatkan dalam konteks solat, maka solatnya boleh terbatal.

Kesimpulan Hukum Menjawab Panggilan Ibu Bapa Ketika Solat

Secara ringkas, hukum menjawab panggilan ibu bapa ketika solat adalah seperti berikut:

  • Solat fardu: Tidak boleh membatalkan solat melainkan dalam keadaan darurat yang benar-benar mendesak.
  • Solat sunat: Harus berhenti sekiranya bimbang ibu bapa berkecil hati atau panggilan itu sangat mustahak.
  • Memberi isyarat:
    Dibenarkan dengan syarat niat masih dalam konteks bacaan solat, bukan untuk bercakap di luar solat.

Islam amat menitikberatkan ketaatan kepada ibu bapa, namun dalam masa yang sama menjaga kesempurnaan ibadah juga sangat penting. Oleh itu, fahamilah konteks keadaan dan hukum yang disebut para ulama supaya tindakan kita seimbang antara berbakti kepada ibu bapa dan memelihara sahnya solat.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Baca: Menangis Dalam Solat Tanda Khusyuk Tapi Boleh Juga Batalkan Solat

 

Related Post
Published by
Team Kashoorga