
Kita pasti pernah berasa terluka atau disakiti oleh seseorang, termasuk rakan-rakan dan ahli keluarga sendiri. Bukan mudah untuk memaafkan seseorang, lebih-lebih lagi jika kesalahan itu memberi kesan yang besar dalam hidup kita.
Memaafkan orang lain amat dituntut dalam Islam. Malah, Allah SWT telah menjanjikan syurga buat mereka yang memiliki sifat tersebut. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Surah Ali-Imran (133-134)
Menurut Imam al-Ghazali pula, kita hendaklah menjaga hati ketika memaafkan orang lain, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hubungan persaudaraan.
Malah, jika seseorang datang memohon maaf atas kesalahannya, memberikan kemaafan itu adalah sesuatu yang lebih utama.
BACA JUGA: Mengapa Doa Kita Belum Dimakbulkan?
Terdapat juga situasi apabila kita sudah memaafkan kesalahan seseorang terhadap diri kita, namun disebabkan dia pernah melukakan hati, kita merasakan lebih baik untuk menjauhkan diri daripadanya kerana bimbang akan disakiti sekali lagi.
Apakah pula pandangan Islam dalam hal ini? Memaafkan memang sesuatu yang baik, namun menjauhkan diri pula seolah-olah seperti memutuskan hubungan silaturahim.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan melalui portal rasminya, perbuatan menjauhkan diri daripada individu yang menyakiti kita, sama ada melalui kata-kata mahupun perbuatan, adalah sesuatu yang disyorkan dalam Islam.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Mu’adz bin Jabal RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satu daripadanya maka dia akan mendapat perlindungan daripada Allah, iaitu seseorang yang menziarahi orang sakit, atau keluar mengiringi jenazah (ke perkuburan), keluar berperang di medan jihad, pergi kepada seorang pemimpin dengan tujuan untuk menghormati dan memuliakannya, atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat daripada kejahatan lidah dan tangannya, dan dia juga selamat daripada kejahatan lidah dan tangan manusia.”
Riwayat al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir (55)
Jelas daripada hadis ini bahawa menyendiri atau menjauhkan diri bagi mengelakkan diri daripada terus disakiti adalah dibolehkan.
Kesimpulannya, memaafkan orang yang menyakiti kita adalah satu perkara yang amat dituntut dalam Islam. Dalam masa yang sama, menjauhkan diri daripada orang tersebut juga tidak bermaksud memutuskan silaturahim, sebaliknya ia boleh menjadi satu langkah untuk melindungi diri daripada terus disakiti.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok