
Dalam fasa seorang anak yang menginjak dewasa dan memiliki pendapatan sendiri, mereka pasti mengurus wang dengan bijak, sama ada untuk simpanan, keperluan harian atau perancangan masa depan.
Namun dalam mengumpul harta dan menikmati hasil titik peluh sendiri, ada juga yang terlupa bahawa ibu bapa masih perlu diberi perhatian.
Lebih menyedihkan apabila ada anak yang sibuk memewahkan diri sendiri, tetapi membiarkan ibu bapa berada dalam kesusahan. Maka timbul persoalan, apakah pandangan Islam terhadap keadaan ini?
Tidak salah untuk seorang anak menyimpan wang atau berbelanja bagi keperluan diri sendiri.
Islam sendiri mengajar umatnya supaya berjimat-cermat, merancang kewangan dengan baik dan tidak membazir. Malah, menyediakan simpanan untuk kecemasan, komitmen keluarga dan masa depan juga adalah satu langkah yang bijak.
Namun, keadaan menjadi berbeza apabila seseorang terlalu berkira dengan ibu bapa sedangkan mereka berada dalam keadaan memerlukan.
BACA JUGA: Jangan Jadi Hamba Nafsu, Dunia Hanya Persinggahan Menuju Akhirat
Di sinilah letaknya soal tanggungjawab, ihsan dan keberkatan rezeki yang perlu dihayati.
Berbuat baik kepada ibu bapa adalah antara tuntutan yang sangat besar dalam Islam.
Malah, perintah berbakti kepada mereka sering disebut selepas perintah taat kepada Allah SWT.
Ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan ibu bapa di sisi agama. Menjaga kebajikan mereka bukan sekadar amalan mulia, tetapi satu amanah yang wajib dipikul oleh anak-anak.
Membantu ibu bapa yang dalam kesusahan sangat dituntut dalam Islam, malah dalam keadaan tertentu ia boleh menjadi wajib.
Antaranya apabila ibu bapa benar-benar memerlukan, tidak mampu menanggung keperluan hidup sendiri dan anak pula mempunyai kemampuan untuk membantu.
Dalam hal ini, keperluan asas seperti makan minum, tempat tinggal, pakaian dan perubatan mereka perlu diutamakan.
Islam tidak pernah melarang anak-anak menyimpan wang. Tetapi jika simpanan semakin bertambah, sedangkan ibu bapa terus hidup dalam kesempitan, keadaan itu menunjukkan adanya kekurangan dari sudut ihsan dan keutamaan.
Rezeki yang baik bukan sekadar banyak pada angka, tetapi juga ada keberkatan padanya.
Perlu juga difahami bahawa ada bantuan yang diberi atas dasar kasih sayang dan ihsan, dan ada juga bantuan yang menjadi tanggungjawab nafkah yang tidak boleh dielakkan.
Sebab itu, alasan seperti “saya pun banyak komitmen”, “adik-beradik lain tak bantu pun” atau “mak ayah tak minta” tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk lepas tangan. Walaupun orang lain tidak membantu, tanggungjawab kita tetap tidak gugur jika kita mampu.
Apabila seorang anak culas membantu ibu bapa, kesannya bukan sahaja pada hubungan keluarga, tetapi juga pada jiwa dan keberkatan hidup.
Hati boleh menjadi keras, hubungan sesama keluarga menjadi renggang dan rezeki yang dicari terasa sempit walaupun pendapatan banyak.
Antara langkah yang boleh diamalkan ialah menetapkan elaun bulanan mengikut kemampuan, bertanya sendiri keperluan sebenar ibu bapa dan jangan tunggu sehingga mereka meminta baru mahu menghulurkan bantuan.
Kadangkala ibu bapa tidak sampai hati hendak menyusahkan anak, walaupun dalam diam mereka menanggung kesulitan.
Hakikatnya, duit simpanan mungkin memberi rasa selamat, tetapi membantu ibu bapa adalah antara jalan datangnya keberkatan hidup. Dalam Islam, kejayaan sebenar bukan hanya pada banyaknya harta yang dikumpul, tetapi sejauh mana rezeki itu membawa kita lebih dekat kepada reda Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok