Gaya Hidup

Cara Dekatkan Diri dengan Allah SWT yang Menyentuh Hati – Amalan Terbaik Mengikut Rasulullah

Share

Pernahkan anda rasa jauh dengan Allah SWT walaupun anda masih beribadah seperti biasa? Perasaan ini sebenarnya selalu dirasai oleh ramai orang apabila hati terasa kosong atau kurang ketenangan dalam beribadah.

Hakikatnya, banyak cara yang boleh dilakukan untuk kembali dekat kepada Allah SWT. Salah satu cara terbaik adalah dengan mencontohi amalan yang pernah dilakukan Rasulullah SAW dalam usaha baginda mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sebelum baginda menerima wahyu, Rasulullah SAW sering berkhalwah iaitu mengasingkan diri untuk beribadah dan bertafakur di Gua Hira’. Setiap kali tibanya bulan Ramadan, baginda akan menghabiskan masa di gua tersebut untuk mencari ketenangan jiwa serta membersihkan hati.

Sepanjang tempoh tersebut, baginda hanya pulang ke rumah sesekali untuk makan atau menziarahi ahli keluarga. Amalan Khalwah ini dilakukan bagi memberi ruang kepada diri untuk lebih fokus beribadah dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Peristiwa penting dalam sejarah Islam juga berlaku di Gua Hira’ pada 17 Ramadan tahun 610 Masihi. Rasulullah telah menerima wahyu pertama melalui malaikat Jibril. Surah pertama yang diturunkan adalah Surah al-Alaq ayat satu hingga lima yang menjadi permulaan bagi penyebaran agama Islam.

Ketika itu Rasulullah mengasingkan diri daripada masyarakat Quraisy yang tenggelam dengan amalan Jahiliyah seperti berjudi, berzina dan menyembah berhala. Baginda memilih untuk menjauhkan diri daripada suasana tersebut untuk menjaga kesucian hati dan mencari kebenaran.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perkataan khalwah atau khalwat berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud perbuatan mengasingkan atau memencilkan diri untuk bertafakur, menenangkan fikiran serta beribadah. Namun begitu, penggunaan istilah ini dalam masyarakat hari ini sering disalahertikan kerana dikaitkan dengan perbuatan negatif.

Walaupun kita tidak mampu mencontohi sepenuhnya cara Rasulullah berkhalwah di Gua Hira’, semangat amalan tersebut masih boleh diamalkan dalam kehidupan hari ini. Lebih-lebih lagi ketika berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

BACA JUGA:

Ramai Tak Sedar, Inilah Sedekah Paling Mudah Tapi Pahalanya Besar

Antara amalan yang boleh dilakukan ialah qiyamulail, iktikaf di masjid, memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran serta menunaikan solat-solat sunat.

Amalan beriktikaf ini juga disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha:

Maksudnya: “Nabi SAW sentiasa beriktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadan sehingga Allah ‘Azza wa Jalla mewafatkan Baginda. Selepas itu, isteri-isteri Baginda meneruskan amalan iktikaf selepas kewafatan Baginda.”

(Riwayat al-Bukhari (2026) dan Muslim (1172))

Dalam riwayat lain pula disebutkan:

Maksudnya: “Rasulullah SAW beriktikaf pada setiap Ramadan. Apabila Baginda selesai solat Subuh, Baginda akan pergi ke tempat yang digunakan untuk beriktikaf.”


(Riwayat al-Bukhari (2045))

Daripada kisah kehidupan Rasulullah SAW ini, kita dapat mengambil pengajaran bahawa setiap manusia memerlukan masa untuk bersendirian bagi bermuhasabah diri, menilai kembali kehidupan dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

Dalam bulan Ramadan khususnya, kita juga digalakkan untuk mengurangkan perkara yang melalaikan seperti terlalu banyak  melakukan perkara tidak bermanfaat. Sebaliknya, gunakan masa yang ada untuk memperbanyakkan ibadah, zikir serta membaca al-Quran agar hati menjadi lebih tenang dan dekat dengan Allah SWT.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok.

Related Post
Published by
Balqis Qadisah