
Kebanyakan pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga biasanya lebih sibuk membincangkan persiapan majlis, daripada tema pakaian sehinggalah senarai tetamu.
Namun hakikatnya, perkahwinan bukan sekadar penyatuan antara lelaki dan wanita semata-mata.
Ia adalah penyatuan dua hati yang datang daripada latar belakang, cara hidup, pemikiran dan didikan yang mungkin berbeza.
Sebab itulah, sebelum melangkah ke alam rumah tangga, bakal pasangan perlu benar-benar saling mengenali.
Salah satu cara terbaik ialah melalui sesi taaruf dan deep talk.
Menerusi perbualan yang jujur dan terbuka ini, pasangan dapat mengenal hati budi masing-masing sebelum melangkah ke fasa seterusnya.
Ia juga penting bagi mengelakkan kejutan budaya apabila sudah tinggal bersama selepas berkahwin nanti.
Antara perkara utama yang wajar dibincangkan ialah soal kewangan.
Pengurusan kewangan adalah aspek penting dalam rumah tangga. Bakal pasangan boleh berbincang sama ada mahu mengasingkan atau menyatukan akaun, bagaimana komitmen bulanan akan dibayar dan siapa yang akan mengurus perbelanjaan tertentu.
Jika salah seorang mempunyai hutang sedia ada, perkara itu juga sebaiknya dibincangkan dengan jujur agar pasangan dapat memahami dan sama-sama mencari jalan penyelesaian.
Selain itu, pembahagian tugas di rumah juga tidak boleh dipandang ringan.
Memang benar, isteri mempunyai tanggungjawab dalam mengurus rumah tangga. Namun, tidak salah untuk suami membantu meringankan urusan isteri. Sikap saling membantu inilah yang akan mewujudkan suasana rumah tangga yang lebih harmoni dan penuh kasih sayang.
BACA JUGA: Perkahwinan Dalam Islam Perlu Sederhana, Bukan Sampai Berhutang
Dalam pada masa yang sama, pasangan juga perlu memahami tentang nafkah, kerana ia merupakan kewajiban suami selepas berkahwin. Kewajiban ini telah dipersetujui oleh para ulama berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
(Surah al-Nisa’: 34)
Selain soal kewangan dan nafkah, campur tangan keluarga juga antara perkara yang perlu dibincangkan lebih awal.
Misalnya tentang giliran pulang ke kampung ketika hari raya, tempat tinggal selepas bernikah dan cara berdepan dengan ibu bapa mentua.
Perkara sebegini nampak kecil, tetapi jika tidak dibincangkan dari awal, ia boleh menjadi punca salah faham selepas berkahwin.
Tidak kurang pentingnya ialah soal perancangan zuriat. Pasangan perlu berbincang sama ada ingin terus memiliki anak selepas berkahwin atau mahu menangguhkannya untuk tempoh tertentu.
Perbincangan seperti ini penting supaya kedua-duanya mempunyai hala tuju yang sama dalam membina keluarga.
Dalam fasa deep talk juga, pasangan digalakkan mengenali bahasa cinta masing-masing.
Apabila suami dan isteri memahami cara pasangan mereka menzahirkan kasih sayang, hubungan akan menjadi lebih mudah difahami dan dihargai.
Apa yang penting, deep talk perlu dilakukan pada waktu yang sesuai, ketika kedua-dua pihak berada dalam keadaan tenang dan lapang. Elakkan berbincang ketika sedang marah, tertekan atau penat kerana ia boleh mengganggu emosi dan menjejaskan fokus perbualan.
Tujuan deep talk bukan untuk membuka ruang perdebatan atau mencari kelemahan pasangan.
Sebaliknya, ia bertujuan membina kesefahaman, kejujuran dan rasa hormat antara satu sama lain. Mungkin pada awalnya ia terasa janggal, namun hakikatnya, deep talk adalah antara asas penting bagi menjamin keharmonian rumah tangga.
Sesungguhnya, muafakat itu membawa berkat. Apabila pasangan saling memahami sebelum bernikah, insya-Allah perjalanan rumah tangga akan lebih tenang, matang dan diberkati.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok