Dengar bacaan al-Quran sahaja pun dapat rahmat, begitulah mulianya kedudukan al-Quran di sisi orang beriman sehingga hanya dengan mendengarnya secara khusyuk pun, Allah SWT janjikan rahmat kepada pendengarnya.
Firman Allah dalam Surah al-A’raf ayat 204:
“Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan bertadabur), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf: 204)
Ayat ini menunjukkan betapa mendengar bacaan al-Quran bukanlah sekadar perbuatan pasif bahkan ia adalah ibadah yang diiringi keutamaan besar. Dalam Tafsir al-Sa’di, al-Imam al-Sa’di menjelaskan bahawa mereka yang mendengar al-Quran dengan hati yang hadir dan tadabbur akan beroleh banyak kelebihan.
Ads
Kata beliau:
“Sesungguhnya dengan (mendengar dan bertadabur) seseorang itu akan mengalir padanya kebaikan yang banyak, ilmu yang lebat, iman yang berterusan, hidayah turut bertambah dan bimbingan dalam perkara agama. Atas dasar itu Allah meletakkan (mendengar al-Quran ini) sebagai sesuatu yang berupaya menyebabkan seseorang beroleh rahmat.”
Ads
Lebih luar biasa, kalau hanya dengan mendengar pun sudah beroleh rahmat, apatah lagi mereka yang membacanya, menghafalnya, dan beramal dengan isi kandungannya. Inilah bukti kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang menghampiri-Nya melalui kalam-Nya.
Tapi pahala pembaca al-Quran lebih besar
Dalam pada itu menurut perkongsian di laman web Jabatan Agama Isllam Malaysia dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa orang yang mendengar al‑Quran sama ada secara langsung atau melalui rakaman akan mendapat pahala jika disertakan dengan adab dan tadabbur.
Ads
Namun, pahala bagi pembaca adalah lebih besar daripada pendengar sahaja. Selain itu, terdapat beberapa kelebihan utama kepada mereka yang membaca al‑Quran:
Setiap huruf dibalas 10 pahala (HR al-Tirmidzi, Hasan Sahih)
Pembaca mahir digolongkan bersama para malaikat, manakala yang membaca terbata turut mendapat pahala gandaan
Al-Quran menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat (HR Muslim)
“Wahai jiwa-jiwa yang sentiasa tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau reda dan aku reda. Dan berkumpullah kalian dalam kalangan orang-orang yang berbahagia dan masuklah kalian ke dalam syurga”.
Jelas sekali bahawa satu-satunya matlamat hidup kita di dunia ialah untuk mendapat reda Allah. Peganglah peringatan dalam hati dan teruskanlah mencari pahala dengan ibadah mudah demi mendapat reda Allah. Banyakkan ibadah dan tingkatkan ketakwaan, maka reda Allah dalam tangan.
Kita ikuti perkongsian tip berguna bagaimana kita boleh memperoleh reda Allah dengan hanya melakukan ibadah harian mudah ini oleh Miqdad Ashaari.
Jangan tinggal solat sunat qobliah (sebelum) subuh, sekalipun kita bangun jam 6:40 pagi kerana Nabi SAW ada bersabda bahawa ganjaran solat ini adalah lebih baik dari dunia dan seisinya. Kecuali dah terlampau hampir waktu subuh habis, maka hendaklah segera kerjakan solat fardhu subuh.
Zikir Subhnanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar sebanyak 33 kali jangan ditinggalkan setiap kali lepas solat. Kerana ini lah zikir khas buat menantu Nabi SAW sebagai zikir istiqamah penguat semangat.
Berusahalah sedaya upaya untuk solat subuh berjemaah di rumah-rumah Allah atau paling kurang berjemaah dengan isteri dan anak di rumah, kerana ganjaran solat subuh berjemaah adalah sama seperti berqiamullail sepanjang malam.
Jangan dilepaskan peluang berdoa selepas azan sebelum iqomah setiap waktu solat kerana di sana di antara waktu-waktu mustajabnya doa.
Pelajari serta hayati setiap bait-bait bacaan dalam solat, bawa ia setiap kali solat, seolah-olah kita berbisik-bisik mengadu hal dengan Robbul Jalil setiap kali kita solat, agar dengan yang demikian hati kita sentiasa berada dlm solat, mudah-mudahan dengan asbab itu jugalah hati kita tidak lalai setiap kali solat (memang itu pun di antara tujuan 5 kali sehari kita bersolat) dan itu janji Allah bahawa solat yang sedemikianlah punyai roh untuk menjaga kita dari berbuat keji dan mungkar.
Jangan dilepaskan al-Quran setiap hari terutama selepas solat subuh, bacalah apa juga surah, selain jadikanlah amalan 3 surah ini setiap hari iaitu, 10 awal dan akhir surah al-Kahfi, surah al-Waqiah, juga surah al-Mulk. Asbab kepada sabda Nabi SAW : Bacalah Al Quran, sesungguhnya al-Quran itu akan memberi syafaat (pertolongan) pada sahabat-sahabatnya.
Jangan ditinggalkan solat-solat sunat qobliyyah ba’diyyah, witir, dhuha kerana solat sunat itu menambah asbab kepada redhanya Allah pada kita.
Sentiasalah istiqamah solat di awal waktu. Wanita; bersedia, ternanti-nanti masuknya waktu solat manakala lelaki berusaha istiqamah solat berjemaah di rumah-rumah Allah kerana ia adalah sunnah Nabi kita SAW yang utama.
Lazimi menjaga wudhu’ setiap masa kerana orang yang punyai wuduk akan di dampingi para malaikat-malaikat Allah.
Amalkan sentiasa bawa ke mana-mana kayu sugi untuk bersugi kerana ada 70 kelebihan orang-orang yang sentiasa bersugi; antaranya, zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran orang yang bersugi lebih 70 kali disukai Allah berbanding bacaan orang-orang yang tak bersugi.
Dua rakaat solat orang yang bersugi juga lebih disukai Allah vs 70 rakaat solat orang yang tak bersugi dan juga syaitan benci pada golongan-golongan mereka yang istiqamah bersugi.
Riwayat Aisyah r.a, bahawa aku tidak bisa mengira berapa kalikah dalam sehari Rasulullah SAW bersugi. Dikatakan juga perkara terakhir yang Rasulullah SAW lakukan sebelum ajalnya sampai adalah Baginda SAW sempat bersugi.
Sentiasalah melazimi lidah untuk berzikir seperti selawat atau kalimah-kalimah taubat atau kalimah-kalimah tauhid asbab kita bersugi dikatakan mulut kita ringan untuk tujuan itu.
Lazimi berpagi-pagi dengan kurma dan ambillah juga ia sebelum tidur kerana khasiat makanan sunnah ini sudah cukup sempurna bagi menjana hormone-hormon perangsang kesihatan dan kecergasan tubuh serta juga minda kita untuk menjurus kepada sentiasa berfikir yang positif setiap hari.
Kesimpulan : Berusahalah menyantuni akan setiap perkara-perkara sunnah dan ma’ruf setiap masa kerana itu semua akan mengundang reda Allah kepada kita.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Untuk perkara yang baik-baik, hendaklah mendahulukan bahagian anggota tubuh yang kanan. Berbeza ketika melepaskan sesuatu atau memulai sesuatu yang jelek, maka hendaknya dimulai dari yang kiri. Inilah di antara adab yang diajar dalam agama Islam.
Kanan menunjukkan makna yang baik. Rasulullah SAW mengutamakan dan menyukai memulakan yang kanan sebelum yang kiri, dalam ke semua urusan Baginda, baik dalam bersedekah, bersuci, berwuduk, memakai pakaian, menyikat rambut, termasuk ketika mengambil dan memberi sesuatu, serta sewaktu makan dan minum.
“Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam suka memulai dari sebelah kanan saat mengenakan sandal, menyisir rambut, bersuci, dan dalam seluruh aktiviti beliau.” (HR. Al-Bukhari no. 5926 & Muslim no. 268)
Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila salah seorang dari kalian memakai sandal, hendaknya memulai dengan yang kanan, dan apabila dia melepas hendaknya mulai dengan yang kiri. Hendaknya yang kanan pertama kali mengenakan sandal dan yang terakhir melepasnya.” (HR. Al-Bukhari no. 5856 & Muslim no. 2097)
Seperti perkongsian Syarif Ad-Deen mengapa perlu mengutamakan memulakan sesuatu perkara dengan anggota yang kanan berbanding kiri.
Jam tangan, pakai di sebelah tangan kanan, kata seorang ustazah kepada aku tanpa sebarang penjelasan bagi ketegasan tersebut. Jadi dengan rasa hormat aku kepada Guru, aku pun tukarlah jam tangan aku daripada tangan kiri ke tangan kanan. So, dari situ aku dah mula terfikir, malah tertanya-tanya pada diri, kenapa ustazah suruh aku pakai jam tangan disebelah kanan, dan salah ke pakai jam tangan di sebelah kiri?
Still tak dapat jawapan.
Pada keesokan harinya aku beranikan diri berjumpa dengan ustazah, kemudian, aku bertanyalah kepada ustazah.
“Ustazah, boleh saya bertanya, kelmarin bila ustazah berjumpa dengan saya, kenapa ustazah suruh saya memakai jam tangan disebelah kanan?”
Jawab ustazah…
“Macam ni Deen, Rasulullah S.A.W suka kita buat apa-apa perkara yang membawa kepada kebaikan dengan memulakan angota disebelah kanan terlebih dahulu, contohnya, memakai kasut didahului dengan kaki kanan, masuk ke masjid dengan kaki kanan, makan dan minum juga dilakukan dengan mengunakan tangan kanan, dan banyak lagi perkara yang sepatutnya dilakukan dengan didahului angota disebelah kanan. Begitu juga dengan memakai jam tangan.
Saya berikan contoh, kalau sekali kamu gunakan jam yang berada ditangan kanan untuk melihat dan mengetahui waktu solat, disitu pun akan dicatit 1 kebaikan keatas kamu. Cuba kamu bayangkan, kalau dalam sehari kamu melihat jam yang berada ditangan sebelah kanan untuk memastikan waktu solat fardhu kamu terjaga dengan baik, maka, sudah tentu akan lebih banyak kebaikan yang mungkin Allah akan berikan kepada kamu pada hari tersebut. Kerana apa? sebelum kamu melakukan ibadah, kamu mendahulinya dengan melihat waktu solat pada jam yang berada di tangan sebelah kanan kamu tu.
See, nampak simple, tapi ada kebaikan yang tersembunyi disitu, tak rugi dan tak pelik pun mengenakan jam tangan di sebelah kanan, malah ianya lebih menguntungkan” 🙂 innsyaAllah.
Terima kasih ustazah atas perkongsian.
Secara asasnya, memang benar bahawa Rasulullah S.A.W suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan-urusan baginda. Ini dapat kita lihat di dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.A beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W suka kepada mendahulukan bahagian kanan, dari sudut memakai selipar, menyikat rambut, semasa berwudhu’, dan juga dalam urusan baginda seluruhnya. Riwayat Al-Bukhari (168)
Ini bermakna baginda sentiasa mendahulukan anggota kanan dalam urusan seharian seperti memulakan pemakaian selipar dengan kaki kanan, menyikat rambut dengan tangan kanan, makan dan minum dengan tangan kanan, dan perbuatan-perbuatan selainnya.
Meskipun begitu, terdapat beberapa riwayat yang secara spesifiknya menunjukkan kepada perhiasan atau aksesori yang dipakai oleh Rasulullah S.A.W di tangan baginda iaitulah cincin. Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata:
كَانَ خَاتِمُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى
Maksudnya: Adalah cincin Nabi S.A.W di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya dari tangan kiri. Riwayat Muslim
Justeru hadis ini memberikan petunjuk kepada kita bahawa baginda S.A.W memakai cincin di tangan kiri baginda. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi S.A.W makan dan minum dengan tangan kanan, justeru dengan memakai cincin di tangan kanan pasti akan menjadikan proses tersebut sedikit sukar.
Imam Al-Buhuti Rahimahullah berkata:
‘’Memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap’’. Rujuk Kasyyaf Al-Qina’, Al-Buhuti.
Manakala para ulama Syafi’eyyah berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama.
Ini seperti pendapat Imam Al-Nawawi yang menyebut:
يجوز للرجل لبس خاتم الفضة في خنصر يمينه وإن شاء في خنصر يساره كلاهما صح فعله عن النبي صلى الله عليه وسلم لكن الصحيح المشهور أنه في اليمين أفضل ; لأنه زينة ، واليمين أشرف
Maksudnya: Adalah dibolehkan bagi seorang lelaki itu untuk memakai cincin perak di kelingking tangan kanannya. Dan sekiranya dia mahu (dia boleh memakainya) di jari kelingking tangan kirinya. Keduanya sahih dilakukan oleh Nabi S.A.W. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal ia dipakai di tangan kanan. Kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia. Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami berpandangan bahawa isu pemakaian jam tangan adalah lebih sesuai diqiyaskan kepada pemakaian cincin. Ini kerana, kedua-duanya dipakai di tangan. Oleh kerana itu, apabila kita menyatakan bahawa dibolehkan untuk memakai cincin di tangan kiri, maka demikian juga diharuskan untuk memakai jam tangan di tangan kiri.
Pemakaian jam di tangan kiri ini tidaklah ia termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) perbuatan orang-orang kafir. Ini kerana, ia langsung tidak dianggap sebagai perbuatan yang terkhusus dengan budaya dan adat mereka. Bahkan menjadi suatu kebiasaan yang meluas di seluruh dunia bahawa orang-orang Islam juga memakai jam di tangan kiri.
Hukum memakai jam di tangan kiri adalah harus. Ini berdasarkan qiyas kepada pemakaian cincin. Adapun begitu, sekiranya seseorang itu memakai jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi S.A.W yang suka mendahulukan anggota kanan, ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insha Allah. Tambahan pula sekiranya pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran untuk makan dengan tangan kanan seperti dengan menanggalkan jam semasa makan, maka ia lebih utama.
Kita boleh mengubah sesuatu yang menjadi kebiasaan menjadi lebih baik kerana ia membantu menambah saham pahala di akhirat nanti. Bila kita buat, kita dapat.
Sumber kredit: FB: Syarif Ad-Deen dan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Setiap hari kita ada 24 jam dan dari 24 jam itu biasanya sekurang-kurangnya 6 jam akan dihabiskan untuk tidur. Setelah penat bekerja seharian, mesti badan pun perlukan rehat.
Tapi tahukah anda bahawa anda boleh dapat pahala ketika tidur?
Caranya mudah saja, iaitu dengan berwuduk!
Tanpa wuduk, anda hanya akan baring dan tidur mengikut rutin harian anda. Walau bagaimanapun apabila anda berwuduk sebelum baring untuk tidur, in shaa Allah anda akan mendapat pahala dengan sangat mudah.
Rasulullah SAW bersabda;
“Bersihkanlah badan-badan ini, dan Allah akan menyucikan kamu. Tak ada seorang hamba yang menghabiskan malamnya dalam keadaan suci kecuali malaikat menghabiskan malam itu bersamanya. Dan apabila hamba itu berpusing di waktu malam, malaikat itu berkata: “Ya Allah, ampunkan hambaMu, kerana dia tidur dalam keadaan bersuci.” (HR Tabarani, al-Mu`jam al-Kabir)
Hadis ini merupakan satu peringatan yang mudah tapi berkuasa. Ia menunjukkan bagaimana Allah SWT memberikan kita pelbagai peluang dan cara untuk mendapat pahala dan keampunan.
Ramai di antara kita yang minta orang lain doakan kita di saat kesusahan, tapi sayangnya kita tidak ambil peluang untuk malaikat mendoakan kita setiap malam ketika kita tidur.
Marilah kita hidupkan semula Sunnah yang semakin dilupakan ini. Jadikan ia sebahagian daripada rutin harian kita dan jadikan masa rehat kita sebagai masa malaikat mendoakan kita dengan izinNya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?