Hukum Makan Ikan Yang Tak Dibuang Isi Perut

Share

Hukum makan ikan yang tak dibuang isi perut. Kebiasaan sebelum memasak ikan bahagian isi perut ikan dan darahnya akan kita buang dan bersihkan sebaiknya.

Tapi boleh jadi juga perkara ini tidak dilakukan terutama jika makan di luar.  Malah ada juga produk makan berasaskan ikan seperti ikan masin dan ikan pekasam yang tidak mengasingkan isi perut terlebih dahulu dalam penyediaan makanan ini.

Dalam hal ini, adakah ikan sebegini halal untuk kita makan? Ikuti penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang hukum memakan ikan yang diproses tanpa dibuang isi perut.

Hukum makan ikan tak dibuang isi perut

Setiap haiwan yang terdapat di dalam lautan halal dimakan berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut (air), dan makanannya.”
Surah Al-Maidah (96)

Seterusnya, makanan halal mestilah suci berdasarkan kalimah tayyiban dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik” Surah al-Baqarah (168)

Sementara itu, fuqaha mazhab Syafi’i membahaskan hukum memakan ikan masin yang tidak dibersihkan bahagian isi perutya berdasarkan nukilan dalam Al-Jawahir :

قَالَ فِي الْجَوَاهِرِ كُلُّ سَمَكٍ مُمَلَّحٍ وَلَمْ يُنْزَعْ مَا فِي جَوْفِهِ فَهُوَ نَجِسٌ.

Maksudnya: “Semua ikan masin yang tidak dikeluarkan segala isi perutnya, maka ia dianggap najis”.

Dianggap najis

Oleh itu, ikan yang belum dibersihkan daripada isi-isi perutnya dianggap bernajis dan tidak halal dimakan.

Menurut zahir pendapat ini, sama sahaja ikan besar mahupun ikan kecil. Namun al-Rafi’i dan al-Nawawi mengatakan ikan kecil yang masih terdapat isi perut halal dimakan atas sebab kesukaran untuk membersihkannya.

Oleh yang demikian, ikan bersaiz besar yang tidak dibuang isi perutnya tidak halal dimakan kerana bercampur dengan najis dalam perutnya.

Sementara telur ikan adalah suci kerana terdapat penghalang antara najis dan telur yang tidak mungkin bercampur dengan telur ikan.

Sementara ikan kecil yang tidak dibuang isi perut adalah dimaafkan. Begitu juga, ia tidak menajiskan minyak apabila menggoreng ikan kecil tersebut .

Kesimpulannya, ikan yang tidak dibuang dan dibersihkan tahi, darah serta segala isi perutnya adalah tidak halal dimakan disebabkan najis kecuali telur ikan. Namun ikan kecil yang sukar dibuang segala isi perutnya adalah dimaafkan dan halal dimakan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Related Post
Published by
Team Kashoorga