Gaya Hidup

Elak Zina Hati, Jangan Sampai Memudaratkan Rumah Tangga

Share

Aktiviti melayari media sosial sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian kita. Dari awal pagi selepas bangun tidur sehinggalah sebelum melelapkan mata pada waktu malam, pasti ada sahaja masa yang digunakan untuk membuka media sosial.

Namun tanpa sedar, di sebalik kebiasaan ini, ada ujian besar yang boleh mengganggu ketenangan rumah tangga. 

Ketika sedang melayari media sosial, tiba-tiba muncul di paparan, wajah seorang lelaki atau wanita yang kelihatan lebih menarik, lebih penyayang, lebih berjaya atau lebih memahami berbanding pasangan sendiri.

Lalu dalam diam, hati mula berbisik, “Kalaulah pasangan aku secantik ini…” atau “Kalaulah pasangan aku sebaik ini…”

Nampak seperti detik kecil sahaja, tetapi sebenarnya ia boleh menjadi benih awal yang merosakkan hati.

Lebih membimbangkan, jika perasaan itu dibiarkan, ia boleh membawa kepada zina hati yang akhirnya menghakis rasa cinta, syukur dan hormat terhadap pasangan sendiri.

BACA JUGA: Love Language Suami Isteri Bukan Sekadar Romantik, Bahkan Boleh Jadi Ibadah

Dalam Islam, zina hati bukan hanya berlaku apabila seseorang membayangkan perkara yang kotor. Ia juga boleh terjadi apabila hati mula mendambakan perhatian, kasih sayang atau kelebihan orang lain, sedangkan diri sudah mempunyai pasangan hidup yang halal.

Perasaan lebih kagum kepada orang luar berbanding pasangan sendiri, membiarkan hati bermain dengan bayangan orang lain serta mula menyesali takdir perkahwinan sendiri adalah tanda hati sedang diuji. 

Pada mulanya mungkin hanya terlintas tetapi jika tidak dikawal, ia boleh menjadi penyakit yang merosakkan hubungan suami isteri.

Hakikatnya, banyak perkara yang dilihat di media sosial hanyalah ilusi. Tidak semua yang dipaparkan menggambarkan kehidupan sebenar seseorang. 

Mungkin yang ditunjukkan hanya satu peratus daripada realiti, namun kita pula membandingkan bahagian kecil itu dengan seluruh kelemahan pasangan sendiri.

Kita melihat senyuman pasangan lain, tetapi tidak tahu ujian yang mereka lalui. 

Kita melihat suami orang lain kelihatan romantik, tetapi tidak tahu konflik yang disembunyikan. 

Kita melihat isteri orang lain nampak sempurna, tetapi tidak tahu pengorbanan dan kekurangan yang tidak dipaparkan kepada orang awam. 

Masalah menjadi lebih besar apabila komunikasi antara suami isteri semakin berkurang. Masing-masing sibuk bekerja, pulang ke rumah dalam keadaan penat, lalu hubungan menjadi hambar. 

Apabila hati tidak lagi diraikan di rumah, seseorang mungkin mula mencari ketenangan palsu dengan mengagumi kebahagiaan orang lain di media sosial.

Apabila iman semakin lemah, mata dan hati juga semakin sukar dijaga. Mata yang tidak ditundukkan boleh membuatkan hati mula membanding-bandingkan. 

Dari situlah timbul rasa tidak puas hati terhadap pasangan sendiri.

Lama-kelamaan, sikap membandingkan ini menjadi seperti anai-anai dalam rumah tangga. Ia merosakkan hubungan secara perlahan-lahan. 

Pasangan yang dahulu kelihatan baik, kini mula nampak serba kurang. Pasangan yang banyak berjasa, akhirnya hanya dipandang pada kelemahannya sahaja.

Akhirnya, seseorang mula hilang rasa syukur. Emosi menjadi tidak stabil, mudah marah dan sentiasa tidak puas hati kerana pasangan tidak memenuhi imaginasi yang dicipta daripada paparan media sosial. 

Sedangkan apa yang dilihat itu belum tentu benar-benar bahagia seperti yang disangka.

Lebih menyedihkan, keberkatan rumah tangga juga boleh terganggu. Hubungan menjadi hambar kerana hati mula berkongsi rasa dengan bayangan orang lain. 

Fizikal mungkin masih berada di rumah, tetapi jiwa sudah jauh kerana terlalu membandingkan realiti dengan kebahagiaan orang lain di media sosial.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu segera mengambil langkah untuk menjaga hati. Hentikan perbandingan terhadap pasangan sendiri. 

Jika ada kandungan yang membuatkan hati mula cenderung, cemburu atau membandingkan pasangan, segera jauhkan diri. Tekan butang block, hide atau not interested supaya perkara yang sama tidak terus muncul di paparan.

Fokus semula kepada pasangan sendiri. Ingat kembali kebaikan yang pernah membuatkan kita memilih mereka sebagai teman hidup. 

Ingat pengorbanan mereka, kesabaran mereka dan saat-saat susah senang yang telah dilalui bersama.

Doa juga adalah kekuatan bagi orang beriman. Mohonlah kepada Allah SWT agar dilembutkan hati, dikurniakan rasa cukup, dijauhkan daripada fitnah pandangan dan diberi kekuatan untuk mensyukuri pasangan yang telah Allah tetapkan.

Selain itu, komunikasi perlu diperbaiki. Jika ada kekurangan pada pasangan, bincangkan dengan baik. 

Jangan hanya memendam rasa, kemudian mencari kesempurnaan dalam imaginasi di media sosial. 

Rumah tangga tidak akan pulih dengan perbandingan, tetapi dengan kejujuran, kesabaran dan usaha bersama.

Ingatlah, pasangan adalah amanah. Kelebihan dan kekurangan mereka adalah ruang untuk kita sama-sama belajar, memperbaiki diri dan membina rumah tangga yang lebih matang.

Rumput tetangga mungkin nampak lebih hijau, tetapi rumput di laman sendiri itulah yang perlu kita siram, baja dan jaga agar terus subur.

Menjaga hati dalam rumah tangga bukan perkara kecil. Ia adalah perjuangan. Perjuangan untuk setia, untuk bersyukur dan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dalam hubungan yang halal.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah