Kerohanian

Fidyah Tanpa Qada Puasa: Siapa Yang Layak?

Share

Fidyah ialah denda yang dikenakan kepada seseorang umat Islam yang telah baligh atas sebab meninggalkan haji fardu yang tidak disempurnakan, puasa dan hal-hal berkaitan. Hukumnya adalah wajib.

Dalam konteks Fidyah bagi meninggalkan puasa di bulan Ramadan, ia wajib dibayar oleh individu yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa gantinya itu.

Dalam firman Allah SWT:

“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

                                                                                                                Surah Al-Baqarah (2): 184

Menurut Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan melalui portal rasminya, golongan-golongan yang wajib membayar fidyah adalah:

  1. Uzur menunaikan puasa wajib

Mereka yang termasuk dalam golongan ini adalah orang yang berpenyakit dan tiada harapan untuk sembuh serta orang tua yang tidak mampu berpuasa. Mereka wajib membayar Fidyah setelah masuk bulan Ramadan tahun semasa.

2. Wanita mengandung/sedang menyusukan anak dan risau keselamatan kandungan atau anaknya dan diri sendiri

Golongan ini wajib membayar Fidyah selepas habis bulan Ramadan tahun semasa dan ganti puasa sebelum bulan Ramadan tahun berikutnya.

3. Orang meninggal dunia

Waris si mati wajib membayar Fidyah mengikut bilangan hari (yang diketahui) si mati meninggalkan puasa sebelum berlakunya pembahagian pusaka. 

4. Sengaja meninggalkan puasa

Golongan ini wajib membayar Fidyah jika tidak dapat menggantikan puasa sebelum tahun berikutnya. 

BACA JUGA: Di Sebalik Label ‘Mesra-Wuduk’, Apa Yang Pengguna Perlu Tahu?

Tetapi, tahukah anda, terdapat dua golongan yang tidak perlu mengganti (qada’) puasa iaitu:

  1. Orang tua yang terlalu uzur

Orang tua yang uzur sehingga tidak larat berpuasa tidak perlu mengganti puasanya.

2. Orang yang sakit berlarutan (kronik) sehingga tiada harapan untuk sembuh

Contohnya, penghidap penyakit kerosakan buah pinggang dibolehkan untuk tidak berpuasa apabila mendapatkan rawatan dialisis. Mereka juga tidak perlu mengganti puasa tersebut kerana penyakit berkenaan hanya bergantung pada rawatan.

Atau, kedua-duanya sekali (orang tua yang menghidap penyakit kronik) juga tidak perlu mengganti puasanya di bulan Ramadan. 

Kadar bayaran Fidyah berbeza mengikut negeri. Apabila seseorang individu tidak dapat mengganti puasa sebelum bulan Ramadan tahun berikutnya, maka kadar bayaran Fidyah itu akan berganda mengikut jumlah tahun. 

Oleh itu, jika seseorang itu masih sihat tubuh badan, tiada alasan untuk dia menggantikan puasa yang telah ditinggalkan dalam bulan Ramadan. Jika dia tidak mengganti puasa sebelum bulan Ramadan tahun berikutnya, maka dia wajib membayar Fidyah mengikut kadar yang ditetapkan.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok.

Related Post
Published by
Balqis Qadisah