
Kecemerlangan luar biasa dalam bidang hafazan, akademik serta kepimpinan membolehkan Ainin Saheela Binti Anuar dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Kategori Pelajar Perempuan) sempena Majlis Khatam Hafazan al-Quran Program Diploma Tahfiz al-Quran & al-Qiraat Darul Quran JAKIM tahun 2026 yang berlangsung pada 7 Februari lalu.
Pelajar Syukbah Qiraat itu mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya tujuh bulan dengan jumlah 10 kali khatam.
Keupayaan tersebut bukan sahaja mencerminkan kekuatan daya ingatan yang tinggi, malah membuktikan disiplin serta istiqamah apabila beliau konsisten melakukan murajaah sekurang-kurangnya lapan juzuk sehari bagi memastikan hafazan sentiasa kukuh dan terpelihara.
Dalam bidang akademik, Ainin Saheela turut menyerlah apabila mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.99, manakala GPA Hafazan Syafawi dan Tahriri kekal pada tahap 4.00 secara konsisten dari semester satu hingga semester lima.
Beliau merupakan lepasan Sekolah Agama Menengah Hulu Langat dalam aliran Dini Tulen dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 8A 2B. Latar belakang pendidikan agama yang kukuh menjadi asas penting dalam membentuk kesungguhan beliau sepanjang pengajian di Darul Quran.
Selain kecemerlangan dalam hafazan dan akademik, beliau turut aktif dalam kokurikulum dengan menyertai pelbagai pertandingan hafazan termasuk Musabaqah Hafazan Mega DIDIK dan Saringan Hafazan Wilayah Persekutuan 2024.
Pada tahun tersebut, beliau berjaya meraih johan peringkat negeri sebelum mara ke peringkat kebangsaan. Momentum cemerlang itu diteruskan pada 2025 apabila sekali lagi dinobatkan johan peringkat Wilayah Persekutuan secara berturut-turut.
Beliau juga mewakili Darul Quran dalam pertandingan kebangsaan serta menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Institusi Pengajian Tinggi (MTHQIPT) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Ithbat Selangor bagi tahun 2024 dan 2025.
Dari sudut kepimpinan, Ainin Saheela memegang jawatan Timbalan Bendahari Kelab Maktabah serta Bendahari Sahabat OKUMP, selain aktif dalam unit akademik, media dan takhassus al-Quran.
Menurut perkongsian menerusi Facebook Darul Quran JAKIM, ketika ditemui, beliau melahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan yang diterima.
Menurutnya, beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk menerima anugerah tersebut, namun menganggapnya sebagai penghargaan terhadap segala usaha dan pengorbanan sepanjang tempoh pengajian.
Dalam memastikan hafazan kekal mantap, beliau mengamalkan murajaah secara konsisten tanpa pernah meninggalkan ulang kaji walaupun sehari. Kaedah yang diamalkan ialah bermula dengan kuantiti kecil sebelum ditingkatkan secara berperingkat serta membiasakan diri bertasmik bagi menyemak dan memperbaiki bacaan.
BACA JUGA: Rapper Popular UK, Central Cee Umum Peluk Islam
Bagi strategi akademik pula, beliau memberi fokus sepenuhnya ketika sesi kuliah, menyediakan nota lebih awal serta mengelakkan amalan belajar saat akhir. Bahasa Inggeris diakui sebagai antara subjek paling mencabar, namun kelemahan tersebut diatasi melalui latihan penulisan dan tatabahasa secara berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Guru Tasmik, Ustazah Shahidah Binti Shuib serta Guru Tasmik Halaqah Syahadah, Ustazah Nuur Syafiqah Binti Abirerah yang sentiasa membimbing dan memantau hafazannya sehingga berjaya mencapai 10 kali khatam.
Selain itu, beliau baru sahaja menamatkan Perujian Syahadah peringkat Darul Quran dengan jayanya dan dianugerahkan Sijil Syahadah pada majlis sama.
Sebagai nasihat kepada rakan-rakan, beliau menyeru agar terus berusaha tanpa membandingkan diri dengan orang lain, sebaliknya menilai kemajuan diri sendiri dari semasa ke semasa.
Kejayaan Ainin Saheela diharap menjadi inspirasi kepada pelajar lain bahawa istiqamah, disiplin dan kesungguhan mampu melahirkan huffazah yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan, malah berdaya saing serta berjiwa kepimpinan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.