“Hantu Bukan Dari Roh Orang Mati, Itu Jin & Syaitan!”-Mufti

Share

Baru-baru ini kecoh dengan kisah kehadiran entiti di sebuah bangunan di Putrajaya. Ramai yang mengaitkannya makhluk halus yakni hantu.

Namun begitu dalam Islam adakah makhluk ini benar-benar wujud? Perkara ini mendapat penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP).

PMWP menjelaskan antara perkara ghaib yang wajib untuk diimani adalah kewujudan jin dan syaitan. Kewujudan jin dan syaitan disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran.

Di antaranya adalah yang terdapat di dalam kisah Nabi Sulaiman AS. Firman Allah SWT :

وَحُشِرَ لِسُلَيْمَـٰنَ جُنُودُهُۥ مِنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ وَٱلطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ

Maksudnya : “Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.”

Walaupun kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar kita ia bukan bermakna syaitan dan jin tidak wujud. Kewujudan mereka tidak dapat dilihat oleh kita. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran.

Firman Allah SWT :

إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

Maksudnya : “…Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka…” (Surah Al-‘Araf : 27)

Hantu tak wujud

Hantu yang dipercayai dan sering digambarkan khususnya oleh masyarakat kita melalui filem mahupun drama seperti pontianak, pocong dan lain-lain adalah sesuatu yang tidak wujud. Ianya tidak lain tidak bukan merupakan satu perkara yang berkaitan dengan jin dan syaitan.

Mereka diberikan kelebihan oleh Allah untuk berubah-ubah bentuk dan menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk tertentu untuk menakutkan manusia.

Sheikh Muhammad Al-Syibli menyebut bahawa tidak syak lagi bahawa jin dan syaitan mampu untuk berubah-ubah bentuk sama ada bentuk manusia atau haiwan.

Sepertimana syaitan menyerupai Suraqah Bin Malik Bin Ja’syam dan mendatangi orang musyrikin Quraisy ketika mana mereka mahu keluar ke medan Badar. (Rujuk Aakam Al-Marjan Fi Gharaib Al-Akhbar wa Ahkam Al-Jann, hlm 21)

Tidak boleh beri mudarat

Walaupun syaitan dan jin boleh merubah-ubah bentuk atau merupakan diri mereka dengan sesuatu bentuk yang asing akan tetapi satu perkara yang perlu diingat bahawa penyerupaan tersebut tidak mampu langsung untuk memberikan mudarat kepada kita.

Mudarat atau manfaat kesemuanya datang daripada Allah SWT. Jin atau syaitan yang menjadi ‘hantu” tidak akan sesekali mampu memberi mudarat apatah lagi mencederakan atau membunuh manusia.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan sabdaan Nabi SAW ketika mana Nabi SAW menyebut:

لا غُولَ

Maksudnya : “ Tiada Ghul..”  Riwayat Abu Daud (1536)

Bukan dari roh orang mati

Kesimpulannya, hantu-hantu yang digambarkan oleh masyarakat kita seperti pontianak, langsuir,pocong dan lain-lain pada hakikatnya adalah penyerupaan yang dilakukan oleh jin dan syaitan untuk menakut-nakutkan manusia.

Ia bukannya berasal dari roh orang mati sepertimana yang dipercayai oleh sebahagian masyarakat kita. Di samping itu, kita tidak dibenarkan untuk menokok tambah atau berlebihan dalam perkara yang melibatkan alam ghaib. Berhentilah mempercayai khurafat atau tahyul yang sering berlegar di dalam masyarakat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Related Post
Published by
Team Kashoorga