
Pernah tak anda rasa sesak dengan kehidupan yang terlalu sibuk? Ditambah pula dengan pembangunan yang semakin pesat, kesesakan kota raya dan hiruk-pikuk rutin harian, ramai antara kita terutama yang tinggal di bandar sering berdepan tekanan emosi tanpa sedar.
Bukan itu sahaja, perkembangan dunia digital hari ini juga membuatkan kita semakin terdedah kepada cahaya skrin sama ada melalui telefon bimbit, komputer riba mahupun gajet lain.
Keadaan ini akhirnya membuatkan tubuh dan minda terasa penat, serabut dan teringin untuk berhenti seketika daripada segala kesibukan.
Sebab itulah muncul istilah healing yang sering digunakan masyarakat hari ini. Secara mudahnya, healing ialah usaha untuk berehat seketika, menenangkan fikiran dan memulihkan emosi daripada keletihan hidup.
Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara, sama ada bercuti, berehat di rumah atau melakukan aktiviti luar.
BACA JUGA: Self-Reward Bagus Untuk Emosi, Namun Ada Batasnya Menurut Islam
Namun antara yang semakin menjadi pilihan sekarang ialah healing dengan cara mendaki bukit atau gunung.
Jika dilihat secara luaran, mungkin ada yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang membuatkan ramai orang memilih aktiviti ini?
Dan mengapa mendaki sering dikaitkan dengan rasa lebih dekat kepada Sang Pencipta?
Hakikatnya, aktiviti ini boleh dikaitkan dengan tadabbur alam iaitu merenung dan menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT di muka bumi ini.
Melalui pengalaman melihat gunung-ganang, awan, langit dan luasnya alam semesta, hati menjadi lebih mudah tersentuh untuk mengingati kebesaran Allah.
Dari situlah lahir rasa syukur, ketakwaan dan keimanan yang lebih mendalam.
Melihat keindahan alam semula jadi bukan sekadar untuk dijadikan gambar kenangan semata-mata. Lebih daripada itu, ia mampu menimbulkan rasa rendah diri dalam hati kerana kita sedar bahawa manusia hanyalah hamba Allah yang sangat kecil di sisi kebesaran ciptaan-Nya.
Apabila jiwa memperoleh ketenangan melalui healing seperti ini, hati juga menjadi lebih lapang.
Masalah hidup yang berserabut terasa seolah-olah diringankan walaupun hanya untuk sementara.
Kesan ini sangat berharga, terutama bagi mereka yang sedang penat menghadapi tekanan kehidupan.
Selain membantu merawat hati dan mendekatkan diri kepada Allah, mendaki juga memberi banyak manfaat dari sudut kesihatan.
Aktiviti ini membantu mencergaskan tubuh badan, membakar lemak yang tersimpan, sekali gus mengurangkan risiko obesiti dan diabetes. Malah, ia juga baik untuk kesihatan jantung jika pendaki mendaki ke puncak yang lebih tinggi.
Ketika mendaki, anda bukan sahaja menikmati udara segar dan keindahan alam tetapi juga dapat mengurangkan tekanan, rasa marah dan kekusutan dalam diri.
Warna hijau daripada tumbuh-tumbuhan di sekeliling juga memberi kesan menenangkan kepada saraf mata dan otak sekali gus membantu tubuh lebih menjadi lebih tenang.
Selain itu, amalan grounding atau jejak tanah ketika berada di kawasan semula jadi juga dipercayai dapat membantu meningkatkan kualiti tidur dan memberi rasa segar pada tubuh serta minda.
Justeru, mendaki sememangnya antara kaedah healing yang terbaik untuk merehatkan diri daripada kesibukan hidup, sambil mendekatkan hati kepada Allah SWT. Seterusnya dapat dikaitkan melalui firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 191:
Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
Ia bukan sahaja memberi ketenangan sementara, tetapi juga mampu membawa kesan jangka panjang kepada kesihatan fizikal, mental dan rohani. Tidak salah jika aktiviti ini dijadikan rutin dua atau tiga kali sebulan sebagai usaha menjaga keseimbangan hidup.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok