
Hukum bermain game yang mempunyai unsur sihir ini memang perlu diberi perhatian memandangkan permainan seperti ini sudah jadi bentuk hiburan harian ramai.
Tak dinafikan terdapat game yang memaparkan elemen “magic”, kuasa luar biasa atau dark theme yang mana menimbulkan persoalan, adakah ia juga dikira sebagai syirik yang dilarang dalam Islam?
Isu ini diketengahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang yang turut memberi penjelasan tentang hukumnya.
Memetik portal jabatan mufti tersebut, bermain video game atau game dalam talian adalah salah satu bentuk hiburan masa kini. Oleh itu, hukum asal permainan ini adalah harus. Namun begitu hukumnya boleh berubah kepada makruh atau haram mengikut garis panduan hukum berhibur yang telah dijelaskan.
Secara bahasa, sihir bermaksud satu amalan yang bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya atau perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus.
Secara istilahnya memberi pengertian ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung.
Para ulama menyatakan bahawa sihir merupakan perbuatan yang berdosa besar dan boleh membawa kepada kesyirikan. Oleh itu, Islam melarang umatnya daripada terjerumus dengan sihir serta menyuruh mereka menjauhinya.
Namun, berdasarkan pemerhatian, sihir atau ‘magic’ dalam game adalah kesan khas yang berasaskan sumber tenaga alami seperti api atau air atau kilat sebagai kemahiran yang digunakan melalui butang permainan untuk mengalahkan musuh. Tujuan permainan tersebut juga adalah untuk menghiburkan para pemain.
Berbalik kepada persoalan, kami berpandangan sebegini:
ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Maksudnya: “Sesuatu yang membawa kepada haram maka hukumnya juga haram.”
Hal ini kerana, permainan ini dimainkan semata-mata atas tujuan hiburan. Oleh itu, hukum bermain permainan tersebut tidak boleh diletakkan dalam golongan yang membenarkan atau mempercayai sihir yang telah diharamkan berdasarkan hadis Nabi SAW melalui sabdanya:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَة
Maksudnya: “Siapa yang mendatangi tukang tilik lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu maka tidak diterima darinya solat selama empat puluh malam.” [Sahih Muslim 2230]
Berdasarkan pernyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa bermain video games yang mempunyai unsur ‘magic’ atau ‘bad omen’ yang tidak mempunyai sebarang ritual atau jampi atau isyarat yang berkaitan dengan keagamaan tertentu atau kefahaman yang menyeleweng daripada agama Islam adalah dibenarkan.
Sumber: Jabatan Mufti Pulau Pinang