Hukum Bersumpah Dalam Islam, Wajib Bayar Kaffarah Jika ‘Langgar’

Share

Demi membuktikan kebenaran kata-kata ada yang sanggup bersumpah dengan nama Allah. Dan sebagai manusia biasa yang lemah ada juga yang mengingkari sumpah yang dilakukan sendiri.

Demikian situasi seorang suami yang mana telah melakukan sumpah laknat dan kemudia mahu membatalkannya.

Dalam Islam bagaimanakah hukum mengingkari sumpah ini dan adakah boleh ini dibatalkan.

Soalan

Seorang suami telah curang dan terlanjur dengan teman wanitanya dan perkara itu diketahui oleh isteri. Suami kemudian dipaksa membuat sumpah laknat (memegang al-Quran) dengan mengatakan dia tidak akan bersama (bersetubuh) dengan teman wanita tersebut. Sekiranya dia melakukannya dia akan mati disambar petir.

Akan tetapi suami tetap mahu bernikah dan bertanggungjawab atas ketelanjurannya. Bolehkah dia membatalkan sumpah laknat tersebut?

Jawapan

Menurut penjelasan Mufti Selangor, suatu sumpah dianggap sah sekiranya menggunakan nama Allah SWT atau salah satu daripada sifat-sifatnya.

Begitu juga sah suatu sumpah itu dengan menggunakan al-Quran, seperti berkata: “Aku bersumpah dengan al-Quran tidak akan melakukan perbuatan itu”.

Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni menyatakan bahawa sesungguhnya bersumpah dengan Al-Quran adalah sumpah yang sah, dan wajib membayar kaffarah jika dilanggar.

Adapun bersumpah dengan memegang al-Quran adalah untuk mengukuhkan atau menguatkan lagi kesungguhan untuk bersumpah dan ia bukan merupakan syarat sah sumpah.

Sumpah tidak boleh ditarik balik

Sumpah tidak boleh ditarik balik dan sekiranya sumpah itu dilanggar maka wajib baginya membayar kaffarah, iaitu dengan memilih salah satu dari 3 perkara di bawah:

  1. Memberi makan 10 orang miskin, setiap orang miskin 1 cupak makanan asasi. Iaitu memberi makan bermaksud memberi milik kepadanya dan tidak memadai dengan mengundang mereka menikamati jamuan makan dan seumpamanya. Sebagai alternatif, bayaran boleh dibuat secara online kepada pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
  2. Memberikan pakaian yang biasa dipakai kepada 10 orang miskin. Pakaian iaitu sesuatu yang selayaknya dipanggil pakaian. Sepakat fuqaha menyatakan tidak sah jika hanya kasut, songkok, stokin kerana dengan yang demikian tidak dikatakan sebagai berpakaian melainkan perlu berbaju.
  3. Memerdekakan seorang hamba beriman, lelaki atau perempuan

Jika tidak mampu mana-mana di atas, wajib berpuasa salama 3 hari tanpa disyaratkan berturut-turut.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, sekiranya syarat sah sumpah dipenuhi dan suami tersebut berkahwin dengan perempuan itu, maka dia wajib membayar kaffarah. Namun, dia tetap perlu bertaubat atas dosa zina yang dilakukan kerana ia merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar.

Sumber: Mufti Selangor

Related Post
Published by
Team Kashoorga