
Trend bertindik atau memakai piercing dalam kalangan anak muda hari ini semakin biasa dilihat.
Jika dahulu kebanyakan wanita hanya bertindik pada bahagian telinga, kini ada yang memilih untuk bertindik di hidung, bibir, lidah malah pusat sebagai aksesori tambahan dalam penampilan diri.
Namun dalam Islam, soal berhias bukan sekadar mengikut trend atau cita rasa semasa. Setiap bentuk perhiasan tetap perlu dinilai berdasarkan hukum syarak agar tidak melampaui batas yang dibenarkan.
Menurut portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, hukum bertindik bagi wanita adalah harus sekiranya ia dilakukan untuk tujuan perhiasan.
BACA JUGA: Trend GRWM Di TikTok, Sekadar Suka-Suka Atau Bentuk Tabarruj Moden?
Malah, terdapat dalil umum yang menunjukkan bahawa wanita pada zaman Rasulullah SAW sememangnya memakai anting-anting, dan Baginda SAW tidak melarang amalan tersebut.
Pandangan ini selari dengan pendapat jumhur fuqaha sebagaimana dinukilkan dalam Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah:
Maksudnya: “Jumhur ulama berpendapat harus hukum menindik bayi perempuan dengan tujuan perhiasan. Ini kerana kebanyakan para wanita di zaman Nabi SAW menindik telinga mereka dan Baginda SAW tidak melarangnya.”
(Rujuk: Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 11/272)
Bagi anggota lain seperti hidung, mulut atau lidah, Pejabat Mufti menjelaskan hukumnya juga boleh menjadi harus sekiranya ia menepati adat budaya setempat dan tidak bercanggah dengan syarak.
Contohnya, dalam sesetengah masyarakat seperti budaya wanita India, bertindik di hidung merupakan adat perhiasan yang diterima.
Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat penting yang wajib diberi perhatian sebelum seseorang wanita memilih untuk bertindik.
Antaranya, perbuatan itu tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan. Islam sama sekali tidak menggalakkan sesuatu yang boleh memudaratkan tubuh badan, apatah lagi jika melibatkan risiko jangkitan, luka atau komplikasi kesihatan.
Selain itu, tujuan bertindik juga tidak boleh untuk meniru budaya yang bertentangan dengan Islam, termasuk gaya hidup melampau atau subbudaya ekstrem. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”
(Riwayat Abu Daud: 4031)
Dalam masa yang sama, perbuatan tersebut juga tidak boleh sampai dianggap sebagai muthlah, iaitu perbuatan yang mencacatkan atau merosakkan anggota badan.
Ketika berhias, seorang Muslimah juga perlu sentiasa menjaga beberapa perkara utama.
Antaranya ialah soal tasyabbuh, iaitu tidak meniru gaya lelaki atau simbol yang dikaitkan dengan agama lain.
Seterusnya, aspek aurat dan perhiasan juga perlu dijaga. Perhiasan yang dipakai tidak sepatutnya dipamerkan sehingga menarik perhatian lelaki ajnabi, sebaliknya biarlah dalam batas yang dibenarkan syarak.
Aspek kesihatan juga sangat penting. Sebaiknya elakkan bertindik pada bahagian yang berisiko tinggi mendapat jangkitan seperti lidah atau bahagian kemaluan.
Kesimpulannya, Islam tidak menghalang wanita untuk berhias, termasuk bertindik, selagi ia dilakukan dengan cara yang baik, sopan dan mematuhi hukum syarak.
Janganlah berhias secara berlebihan hanya kerana mengikut trend semasa. Sebaliknya, utamakan batas agama, keselamatan dan niat yang betul agar setiap bentuk perhiasan itu tidak membawa kepada perkara yang dimurkai Allah.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.