Hukum Gali Semula Kubur Untuk Post-Mortem

Share

Selepas lebih 20 hari pemergian Zara Qairina, kelmarin kubur anak ini digali semua bagi mengeluarkan semula jasadnya untuk melakukan post mortem bagi memastikan ada keadilan untuk anak yang telah pergi ini.

Dalam masa yang sama timbul juga persoalan tidakkah tindakan ini menyiksa mayat? Perkara ini turut mendapat perhatian Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam yang memberi pencerahan tentang isu tersebut melalui Nota Fiqh : Gali Semula Kubur Untuk Post-Mortem.

NOTA FIQH : GALI SEMULA KUBUR UNTUK POST-MORTEM?

Orang kata, mayat jangan disiksa jasadnya. Jadi, timbul persoalan, kalau gali semula kubur, keluarkan semula jasad jenazah untuk buat post-mortem, tidakkah itu menyiksa jenazah?

Asalnya Haram?

Secara asas, gali semula kubur adalah haram sebab ia dianggap mencemarkan kehormatan si mati.

Rasulullah SAW bersabda:

“Mematahkan tulang orang yang telah mati adalah seperti mematahkan tulangnya ketika masih hidup.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam hadis lain, baginda melaknat lelaki dan wanita yang membongkar kubur tanpa sebab:

“Rasulullah melaknat lelaki dan perempuan yang membongkar kubur.”

Bila Jadi Harus?

Menurut ulama seperti Ibn Abd al-Bar, larangan keras ini adalah untuk orang yang bongkar kubur sebab nak curi kain kafan. Tapi kalau untuk tujuan syarie atau darurat, ia dibenarkan.

Contohnya:

  1. Sahabat Nabi, Jabir RA pernah keluarkan jenazah ayahnya selepas 6 bulan dikebumikan, dan jasadnya masih elok kecuali telinga.
  2. Talhah bin Ubaidillah RA (sahabat yang dijamin syurga) juga pernah dikeluarkan jenazahnya selepas 30 tahun sebab kuburnya ditakungi air.

Pandangan Mazhab Syafi‘i

Imam al-Ramli sebut dalam Nihayah al-Muhtaj:

Bongkar kubur hukumnya haram walaupun hendak dipindah ke Makkah, nak solatkan, atau nak kafankan semula. Kecuali kalau darurat.

Ini ikut kaedah fiqh :

“Keadaan darurat membolehkan perkara yang haram.”

Contoh Darurat yang Dibenarkan:

– Mayat belum dimandikan.

– Mayat tak dihadapkan ke kiblat.

– Ada harta jatuh dalam liang lahad.

– Selamatkan bayi dalam kandungan yang masih hidup.

– Dikebumikan di tanah curi.

– Kubur dikhawatiri akan dibongkar pihak lain.

(Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah : 390)

Fatwa di Malaysia

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (2004) putuskan:

Harus gali semula kubur kalau ada keperluan mendesak/darurat yang diharuskan syarak.

Harus guna semula tanah kubur untuk mayat baru kalau mayat lama sudah reput dan disahkan pihak berkuasa.

Kesimpulan

Kalau pihak berkuasa nak buat post-mortem (bedah siasat) untuk tujuan pengesahan sesuatu kes, hukum gali semula kubur diharuskan.

Ini kerana ia termasuk dalam keadaan darurat, perkara yang tak boleh dibuat melainkan dengan cara itu. Tapi, ia mesti dapat kebenaran pihak berautoriti dulu.

Semuanya berpegang pada kaedah:

“Darurat mengharuskan perkara yang haram.”

Sumber: Bahagian Dakwah, JAKIM

Related Post
Published by
Team Kashoorga