
Sebagai sebagai manusia pastinya tidak dapat lari dari berbuat dosa. Mungkin juga dosa tersebut sangatlah besar yang hanya kita saja yang tahu.
Tapi boleh jadi juga datang ujian buat kita bila mana demi menutup aib kerana melakukan dosa tersebut kita terpaksa menipu.
Dalam hal ini menurut Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad Hukum Ke-869
hukum menipu pada asalnya adalah haram dan merupakan salah satu dosa besar.Bagaimanapun menurut Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Saffarini, mengingkari maksiat peribadi yang pernah dilakukan oleh diri sendiri atau orang lain merupakan salah satu keadaan yang diharuskan menipu.
Ia untuk mengelakkan diri daripada tergolong dalam kalangan orang yang mendedahkan dosa sendiri yang Allah telah tutup dengan syarat dosa itu tidak lagi didedahkan oleh orang lain.
Hukum yang sama jika terpaksa menipu tentang dosa yang dilakukan demi menutup aib sendiri maka hukumnya harus. Termasuklah jika diminta bersumpah, maka diharuskan untuk melakukan tauriyah.
Melakukan tauriyah iaitu dengan menggunakan ayat yang mempunyai makna yang difahami oleh pendengar dengan jelas, tetapi sebenarnya yang dimaksudkan ialah perkara lain yang samar dan tersembunyi. Contohnya “aku tidak melakukan perkara tersebut” tetapi apa yang dimaksudkan ialah tidak melakukan perkara tersebut pada hari ini.
Walau bagaimanapun, keharusan ini adalah dengan syarat dosa yang dilakukan tersebut tidak melibatkan pengambilan atau penafian hak orang lain. Jika ia melibatkan hak orang lain, maka hukum menipu dan tauriah untuk mengingkari dosa tersebut menjadi haram.
Ia juga mesti disertai dengan taubat dan usaha untuk meninggalkan terus dosa tersebut agar tidak dijadikan jalan untuk meneruskan dosa-dosa tersebut secara tersembunyi.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Baca Lagi: 10 Golongan Yang Dilaknat & Dimurkai Oleh Allah SWT