Kerohanian

Hukum Pindah Tempat Selepas Solat, Sunat Tapi Ramai Tak Tahu Sebabnya

Share

Hukum Pindah Tempat Selepas Solat, Sunat Tapi Ramai Tak Tahu Sebabnya

Ramai antara kita selesai solat fardu lalu terus menunaikan solat sunat di tempat yang sama. Walhal, ada satu amalan kecil tetapi sangat besar maknanya dalam Islam iaitu berpindah tempat sebelum melakukan solat yang lain.

Amalan ini disunatkan oleh para ulama kerana ia bukan sekadar perubahan fizikal, bahkan simbolik kepada usaha menambah saksi kebaikan di akhirat kelak. Setiap tempat yang kita gunakan untuk bersujud akan menjadi saksi amal kita pada Hari Pembalasan nanti.

Dalam Islam, disunatkan bagi seseorang yang selesai mengerjakan solat  sama ada solat fardu atau solat sunat  untuk berpindah ke tempat lain sekiranya ingin menunaikan solat seterusnya. Hikmah di sebalik anjuran ini ialah supaya lebih banyak tempat menjadi saksi sujudnya kepada Allah SWT.

Hal ini disebut dalam kitab Fathul Muin:

“Dan disunatkan bahawa seorang itu berpindah tempat solatnya untuk solat fardu atau sunat supaya menjadi saksi tempat itu sekira-kira tidak menghilangkan keutamaannya umpama pada saf awal.”

Rasulullah SAW juga pernah menjelaskan tafsiran ayat dalam Surah al-Zalzalah ayat 4:

“Pada hari itu bumi akan menceritakan khabar beritanya.” (Surah al-Zalzalah: 4)

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Bumi akan menjadi saksi atas setiap lelaki dan perempuan dengan apa yang mereka lakukan di atasnya. Ia akan berkata: kamu telah lakukan itu dan ini pada hari sekian dan sekian. Maka inilah maksud bumi bercerita.” (HR al-Tirmizi – Hadis Hasan Sahih)

Hukum pindah tempat selepas solat

Berdasarkan hadis ini, para ulama seperti Imam Nawawi dan Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin menyatakan bahawa tempat sujud kita pada dunia ini akan menjadi saksi pada hari akhirat. Justeru, berpindah tempat solat adalah satu bentuk usaha memperbanyak saksi amal soleh.

Walau bagaimanapun, tidak disyaratkan untuk berpindah jauh. Cukup sekadar mengubah kedudukan sedikit, seperti ke kanan atau ke belakang, asalkan ia boleh dikira sebagai berpindah tempat.

Perubahan yang kecil seperti ini mungkin nampak remeh di mata manusia, tetapi besar nilainya di sisi Allah. Setiap inci lantai yang kita gunakan untuk bersujud akan berbicara nanti biarlah ia bersaksi yang baik.

Jadikan amalan berpindah tempat solat ini sebagai satu sunnah yang kita hidupkan kembali dalam kehidupan seharian. Semoga setiap langkah kita menuju tempat sujud yang baru akan jadi saksi yang menyelamatkan kita di akhirat kelak.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus

Related Post
Published by
Team Kashoorga