Inspirasi

Hukum ‘Spill The Tea’ Dalam Islam, Bila Berkongsi Cerita Bertukar Jadi Dosa

Share

Bercerita atau mendapatkan “teh panas” kini seolah-olah menjadi hiburan sensasi dalam kalangan masyarakat. 

Istilah spill the tea sering digunakan untuk merujuk perbuatan menceritakan rahsia, keburukan atau kisah peribadi seseorang kepada orang lain.

Secara fitrahnya, manusia memang suka mengambil tahu hal semasa dan cerita sensasi. 

Namun, keadaan menjadi membimbangkan apabila sesuatu rahsia yang sepatutnya disimpan rapi mula dijaja dan dijadikan bahan sembang. 

BACA JUGA: Bahaya Mengumpat Di Media Sosial, Puasa Boleh Jadi Sia-Sia

Lebih merisaukan apabila perbuatan ini dianggap perkara biasa, sedangkan ia boleh memberi kesan besar kepada maruah dan kehidupan orang lain.

Pernahkah kita terfikir, mengapa ramai suka mendengar orang lain

spill the tea tentang seseorang?

Dari sudut psikologi, apabila seseorang mengetahui rahsia atau keburukan orang lain, dia mungkin merasakan dirinya lebih berkuasa, lebih tahu, malah lebih baik daripada individu tersebut. 

Hakikatnya, sikap terlalu ingin tahu hal orang lain hanyalah hiburan kosong yang tidak mendatangkan manfaat, bahkan boleh merosakkan hati.

Kebiasaannya, sebelum seseorang mendapatkan cerita lanjut tentang orang lain, dia akan terlebih dahulu mencari maklumat, menyiasat atau mengorek latar belakang individu tersebut. Perbuatan ini sebenarnya telah dilarang dengan jelas dalam Islam.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 12:

Maksudnya: “…Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.”

Daripada ayat ini, jelas bahawa Islam sangat menjaga privasi dan maruah setiap insan. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mencari kesalahan seseorang, apatah lagi menyebarkannya kepada orang lain. 

Jika kita mengetahui sesuatu rahsia, sepatutnya kita amanah menjaganya, bukan menjadi penyambung cerita.

Perlu difahami, perbuatan menyibuk hal orang lain bukan sahaja dilarang agama, malah boleh menjauhkan hati daripada Allah SWT. Hidup juga boleh hilang keberkatan apabila lidah dan hati terlalu sibuk dengan aib orang lain.

Ada juga yang memberi alasan mereka mahu tahu sesuatu cerita kononnya untuk “menegakkan kebenaran”. 

Namun dalam Islam, kita diajar supaya bijak membezakan antara mendedahkan kebenaran dan membuka aib.

Mendedahkan kebenaran bermaksud menyalurkan maklumat kepada saluran yang betul demi keadilan dan maslahat. Contohnya melaporkan jenayah kepada pihak polis atau pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil. 

Sebaliknya, membuka aib ialah apabila sesuatu rahsia atau keburukan disebarkan kepada umum, dijadikan bahan tontonan, hiburan atau perbualan sehingga menjatuhkan maruah seseorang.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

Maksudnya: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah menutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.”


(Hadis riwayat Muslim, no. 2590)

Jelas, orang yang suka menyibuk dan mencari keburukan orang lain bukan sahaja kehilangan keberkatan hidup, malah hatinya boleh menjadi keras. 

Apabila terlalu taksub mencari salah orang, kita akhirnya lupa untuk melihat dan memperbaiki kelemahan diri sendiri.

Sebagai Muslim, kita seharusnya berusaha mencontohi sifat Al-Sattar, iaitu menutup aib sesama manusia. 

Sifat ini menzahirkan kasih sayang Allah SWT yang memberi ruang kepada hamba-Nya untuk bertaubat tanpa dipermalukan. Dalam masa sama, ia mendidik kita supaya lebih beradab, berbelas ihsan dan menjaga maruah saudara seagama.

Justeru, sebelum kita sibuk mahu mendengar atau menyebarkan “teh panas” tentang orang lain, tanyalah diri sendiri, adakah perkara itu membawa manfaat, atau sekadar menambah dosa? Menutup cerita orang lain adalah jalan terbaik untuk menjaga hati, maruah dan keberkatan hidup kita sendiri.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah