Iblis adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah daripada api. Iblis juga merupakan musuh manusia yang nyata.
Allah turut berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Tipu daya iblis merupakan helah yang sangat dasyat lagi menyesatkan. Iblis telah bersumpah kepada Allah untuk menyesatkan umat manusia sehingga ke hari kiamat untuk bersama-samanya berada dalam neraka.
Tingkatkan iman untuk elak godaan iblis.
Ada enam peringkat godaan iblis dan syaitan yang telah disebut oleh Imam Ibnu Qayyim secara umum dan ringkas iaitu:
Pertama: Berusaha mengkafirkan manusia dan menyuruh manusia melakukan perbuatan yang syirik kepada Allah.
Kedua: Peringkat bid’ah (ciptaan baru ibadah) yang mana mereka berusaha untuk menjadikan manusia lebih suka mencipta perkara bid’ah dan beramal dengannya lebih daripada melakukan amalan sunnah. Jika bisikan ini gagal maka Iblis akan beralih kepada peringkat yang ketiga.
Ketiga: Iblis mendorong manusia melakukan maksiat dan membuat dosa besar serta mengingkari perintah Allah. Jikalau gagal, dia akan pergi ke peringkat yang keempat.
Keempat: Peringkat melakukan dosa-dosa kecil. Iblis akan berusaha untuk mendorong manusia melakukannya serta menjadikan manusia itu memandang kecil akan dosa-dosa ini. Jikalau manusia berjaya mengelaknya, dia akan pergi ke tahap kelima.
Kelima: Iblis akan berusaha menyibukkan manusia dengan hal ehwal yang harus sehinggakan mereka lalai dan menghabiskan waktu dengan perkara tersebut.
Keenam: Iblis berusaha menyibukkan manusia dengan amal ibadah yang kurang utama lalu tertinggalah dan terlupalah yang paling utama seperti melakukan puasa sunat dan lupa untuk qada puasa Ramadan.
Ads
Iblis tidak akan putus dan berhenti untuk menggoda manusia dari segenap penjuru. Andai jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat iaitu kanan, kiri, depan ataupun belakang nescaya mana-mana jalan yang dilalui maka Iblis akan sentiasa menunggunya.
Hanya orang yang beriman dan beramal soleh dengan melakukan setiap pekerjaan ikhlas kerana Allah akan terselamat daripada godaan Iblis.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hijr ayat 39 dan 40: (39) Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (40)” Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dengan keikhlasan”.
Di dalam Athar Salafussaleh, mereka menamakan tentera-tentera Iblis dalam kalangan syaitan kepada beberapa nama. Jadi marilah kita kenali mereka supaya kita sentiasa berwaspada akan setiap tipu daya makhluk durjana itu.
1. Tsabr
Ditugaskan untuk menghasut manusia yang ditimpa musibah. Dia akan menghasut mereka yang ditimpakan musibah oleh Allah supaya berlebih-lebihan dalam bersedih sehingga mereka tidak reda akan ujian Allah. Contohnya berlebih-lebihan meratapi kematian seseorang.
Ads
2. Al-A’war
Ditugaskan untuk menyuruh manusia melakukan zina dan menganggap perbuatan zina itu seperti dosa-dosa kecil. Al-A’war juga yang menghiasi perempuan-perempuan ajnabi supaya kelihatan lebih cantik dan menarik di mata lelaki-lelaki ajnabi. Contohnya seorang suami akan melihat isterinya hodoh berbanding perempuan-perempuan lain yang haram baginya. Begitu juga sebaliknya.
3. Miswath
Ditugaskan untuk menyuruh manusia membawa cerita dusta dan juga berita-berita palsu. Ini banyak terjadi di zaman yang serba canggih yang mana mereka dengan mudahnya memviralkan sesuatu berita tanpa mencari kebenaran terlebih dahulu sehingga mengaibkan seseorang.
4. Daasim
Ditugaskan untuk menyelinap masuk ke dalam seseorang yang menemui keluarganya lalu dia akan menampakkan cela mereka di matanya sehingga membuatnya marah.
Ads
Daasim juga memecah-belahkan hubungan kekeluargaan dengan menyusupkan keaiban suami ke mata isteri dan juga sebaliknya sehingga berlakunya perpecahan dan pergaduhan antara suami isteri dalam hubungan rumah tangga.
5. Zaknabur
Ditugaskan untuk menggoda manusia di pasar-pasar bagi menghasut pembeli dan penjual. Bagi pembeli, Zaknabur akan menghasut supaya berbelanja boros melebihi kemampuan sehingga berlakunya pembaziran. Bagi peniaga pula, Zaknabur akan menghasut supaya menipu dalam urusan perniagaan.
6. Khanzab
Ditugaskan untuk menggoda manusia ketika mereka mengerjakan ibadah solat. Khanzab akan menyelinap masuk ke dalam hati-hati orang yang sedang mengerjakan solat supaya mereka tidak khusyuk dan lalai akan rukun dan syarat sah solat.
Insya-Allah penulisan yang akan datang Dr Hadi akan menerangkan pula mengenai tipu daya Iblis dan syaitan di dalam beribadah.
Semoga penulisan ini memberi manfaat dan panduan kepada pembaca untuk mengenali musuh-musuh manusia yang nyata.
***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.
Sebaik lafaz ijab dan kabul, tanggungjawab sebagai seorang isteri terpikul di bahu. Ketika itu masa yang ada difokuskan pada keluarga semata-mata untuk mencari tiket ke syurga.
Walaupun lelah tetapi tangungjawab yang satu ini perlu dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan isteri solehah.
Tetapi isteri juga manusia biasa dan bukannya robot untuk melakukan pelbagai tugas tanpa ada rehat. Jika pasangan anda seorang suami yang memahami, berilah me time kepada isteri.
Perkongsian lelaki ini Muhammad Yusof di laman sosial Facebook cukup menarik kerana me time yang diberikan kepada isterinya lain daripada yang lain. Bukan memberi keizinan bercuti, sebaliknya ‘me time’ dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Hari tu aku solat Subuh dekat sebuah masjid. Aku ada kursus luar sebenarnya, hari tu.
Habis-habis solat aku duduk kejap kat kerusi depan pintu keluar masjid sambil main henset. Habis semua jemaah keluar, ada sorang pak cik keluar lepas tu dia duduk sebelah aku. Dia tegur aku, bagi salam dan mungkin pak cik ni jenis mesra alam then cepat je kami bersembang walaupun baru jumpa pagi tu. Tak jadi aku nak masuk kereta sebab layan dia sembang.
Ada jemaah yang keluar tegur pak cik ni ‘Assalamualaikum cikgu..’. Aku tanya-tanya, rupanya dia cikgu tapi dia dah beberapa tahun pencen.
Tengah-tengah sembang, dia tengok jam. Tiba-tiba dia bangun dan pergi kat pintu keluar masjid. Aku tengok dia pusingkan sepasang selipar. Pelik juga aku. Lepas tu dia datang balik kat aku.
Aku yang naif ni terus la tanya dia ‘Kenapa dengan selipar tu pak cik?’.
Dia jawab ‘Oh tu selipar isteri pak cik. Pak cik pusingkan supaya dia mudah nak pakai selipar tu tak payah dia nak pusing-pusing, terus je sarung..‘
Aku rasa dah agak lama juga aku dengan pak cik ni duduk berbual tapi isteri dia tak keluar-keluar lagi.
So aku pun saje la tanya dia ‘Lama jugak ye isteri pak cik solat?’
‘Biasa la dik. Pak cik memang suruh dia lama sikit duduk masjid ni. Habiskan wirid dulu, habiskan baca surah al-Waqiah dulu, lepas tu nak sambung baca Al-Quran ke, zikir ke, takpe, bacalah pak cik bagitau kat dia. Setiap hari lepas pak cik siap-siap semua, pak cik biasa tunggu dia kat sini..’
Allahu. Aku rasa pak cik dan mak cik ni adalah pasangan ahli Syurga yang Tuhan nak aku belajar daripada dorang pagi-pagi ni.
Aku selalu terfikir bahawa ‘me time’ isteri ni ialah kita just bagi duit then biar isteri keluar jalan-jalan, shopping ataupun bawak dia pergi urut. Jadi dengan buat benda-benda ni kita rasa isteri kita dah cukup dah release segala tension dorang, tapi sebenarnya aku tersilap.
‘Me time’ yang terbaik ialah biar isteri ada ‘quality time’ dengan Tuhan dia. Bila yang paling utama ni dah settle, InsyaAllah Allah akan permudahkan untuk membuka segala pintu kebahagiaan, pintu rezeki, pintu kesihatan nak jaga keluarga, yang selama ini kita nak kecapi sebagai pasangan suami dan isteri.
Kadang-kadang suamikan, bila isteri keluar lambat solat kat rnr atau stesyen minyak mulalah suami nak buat muka, siap marah ‘kenapa lama sangat!’ padahal time solatlah si isteri nak rilek-rilek kejap, tunggu giliran dapat telekung dan masa itulah si isteri nak dapat ‘quality time’ dengan Tuhan dia.
Ingat suami, bagilah ruang dan peluang untuk dorang dapat ‘masa berharga’ ni. Bukan sekadar ‘masa berharga’ tak jaga suami atau anak je.
Lepas tu, aku tengok isteri pak cik tu berjalan ke arah kami berdua. Nampak nur melimpah muka bersih jernih mak cik tu, sejernih muka suaminya.
Pak cik tadi bila nampak isterinya terus bagitau aku nak mintak diri dulu pergi sarapan kat kedai dekat-dekat situ.
Allah, Allah.
Pagi itu Allah ajar aku dan aku rasa aku kena kongsi cerita ini dengan korang semua.
Semoga kita jadi pasangan yang membahagiakan pasangan masing-masing, dunia dan akhirat.
‘Ya Allah ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati(kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa..’
Amin.
Sekadar berkongsi pengalaman: Muhammad Yusof
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Adakala dalam suatu perhubungan terjadi konflik di dalamnya. Baik ketika batas pertunangan mahu pun selepas berumahtangga. Kala ini kita memerlukan sokongan untuk jiwa kembali bersemangat. Biasanya yang kita cari adalah ahli keluarga dan kawan rapat yang sudah punya banyak pengalaman.
Nasihat yang baik tentunya dari ibu bapa tapi ada batas yang perlu ibu ayah tahu agar kata-kata itu tidak menjurus konflik yang panjang.
Dipetik dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada diperincikan mengenai isu hak ibu ayah masuk campur dalam urusan rumahtangga anak. Semoga bagi yang sudah berumahtangga atau bakal mendirikan rumah tangga akan memahami tentang batasan ini.
Saya ingin bertanya, sejauh manakah ibu bapa tidak boleh masuk campur urusan rumahtangga anak-anak? Bagaimana sekiranya anak sering dipukul oleh suaminya dan suami sering menganiaya isterinya, adakah ibu bapa tiada hak untuk mencampuri urusan pernikahan anak-anaknya? Adakah salah dan berdosa sekiranya ibu bapa meminta untuk anaknya berpisah sekiranya dalam situasi tersebut? Terima kasih.
Jawapan: Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
Pada asasnya, hubungan dan tanggungjawab seseorang anak kepada ibu bapa, sama ada lelaki atau perempuan, tidak terputus apabila mereka berkahwin. Seorang anak itu, sama ada lelaki atau perempuan, wajib berbuat baik kepada ibu bapa, mentaati dan mengelakkan diri daripada melukakan hati mereka. Firman Allah ﷻ:
Maksudnya: “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.”
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’: 23)
Hak dan tanggungjawab anak kepada ibu bapa itu begitu penting, sehingga diletakkan selepas tanggungjawab kepada Allah ﷻ di dalam al-Quran. Tanggungjawab itu begitu penting sehingga terdapat hadis-hadis Rasulullah ﷺ yang menerangkan keutamaan apabila bertembung antara kasih sayang kepada pasangan dengan ketaatan kepada ibu bapa, hendaklah diutamakan yang kedua.
Kesetiaan kepada ibu bapa melebihi isteri
Daripada Hamzah bin Abdullah bin Umar, daripada ayahnya, yang berkata: “Pernah aku berkahwin dengan seorang perempuan, tetapi Umar tidak menyukainya. Lantas beliau berkata kepadaku: “Engkau ceraikanlah dia.” Aku enggan, lalu Umar berjumpa Rasulullah ﷺ berkata: “Waha Rasulullah! Sesungguh Abdullah bin berkahwin dengan wanita yang aku tidak suka. Lalu aku suruhnya bercerai darinya tetapi dia enggan.” Maka bersabda Rasulullah ﷺ:
Maksudnya: “Wahai Abdullah bin Umar! Ceraikanlah isterimu dan taatilah ayahmu.” Riwayat al-Hakim (2798) dalam al-Mustadrak; RIwayat al-Nasaie (5631); Abu Daud (5138); al-Tirmidzi (1189) dan lain-lain. Berkata al-Tirmidzi hadis ini hasan sahih. Al-Dzahabi: “atas syarat-syarat al-Bukhari dan Muslim.”
Menurut Imam Ali al-Qari, arahan Nabi di atas bermaksud sunat, atau wajib sekiranya ada faktor lain yang berbangkit. Rujuk Mirqah al-Masobih (7/3097),
Menurut Syeikh Ahmad Hutaibah (ulama daripada Iskandariah, Mesir) dalam Syarh Riyadhussolihin (14/13), yang ditanya adakah hadis ini memberikan kuasa mutlak kepada ibu untuk meminta anaknya menceraikan pasangannya, maka beliau menjawab:
“Tidak, ibu dan bapanya tidak seperti Umar al-Khattab. Beliau mencintai Allah Azza wa Jalla, dan beliau mencintai sesiapa kerana Allah SWT. Jika beliau membenci nescaya bencinya kerana Allah SWT. Oleh itu, siapa yang (ibu bapanya) berkeperibadian seperti Umar, maka hendaklah ditaati dalam urusan ini.
Manakala kalau kita lihat dalam hadis Abi al-Darda’ bahawa seorang lelaki datang menemuinya[1] dan bertanya: “Aku ada isteri tetapi ibuku menyuruh aku mentalakkannya.”
Dalam hadis ini, lelaki itu meminta fatwa daripada Abu al-Darda’ RA tetang dia berkahwin dengan seorang perempuan yang tidak disukai oleh ibunya lalu mengarahkannya untuk menceraikannya. Namun Abu al-Darda’ bersikap meletakkan dirinya di pertengahan dalam isu ini, kerana ibu lelaki itu bukan seperti Umar. Abu al-Darda’ sebaliknya mengkhabarkan kepada orang yang bertanya itu hadis daripada Nabi ﷺ dan memintanya berfikir tentang keputusannya sendiri. Beliau berkata: Aku mendengan Rasulullah ﷺ bersabda: “Walid (ibu atau bapa) itu adalah pintu Syurga yang di pertengahan,” bererti cinta dan ketaatanmu kepada bapamu, memasukkanmu ke dalam Syurga melalui pintu Syurga yang paling tengah, maka ibu bapa itu adalah pintu yang paling luas untuk kau masuk ke dalam Syurga. Maka kata Abu al-Darda’: “Jika engkau inginkan, engkau abaikanlah pintu itu, atau jagalah ia.”
Cuba engkau perhatikan di sini, Abu al-Darda’ bersikap pertengahan dalam fatwanya. Dia tidak menyuruh untuk ceraikan. Tidak juga berkata jangan ceraikan. Ini kerana ada kemungkinan bahawa ibunya betul pada sebab dia benci perempuan muda itu, maka menceraikannya adalah afdhal, mungkin ibu itu tersilap. Lalu beliau meletakkan kaedah, iaitu cintamu kepada ibu bapamu, serta sikap naik kepada ibu bapamu itu adalah pintu Syurga paling tengah. Jika engkau mampu, harmonikanlah antara isteri dan ibumu dan itu yang paling baik. Jika tidak mampu, maka menjadi tanggungjawabmu untuk mencari redha ibu bapamu, terhadap apa yang mereka redha daripada diri, dengan kadar kemampuanmu.
Jika engkau tinggal dengan isterimu di rumah yang terdapat dalamnya ibu bapamu, sedangkan ibu bapamu tidak menyukai isteri, maka pindahlah ke tempatlain. Tetapi jika engkau merancang untuk kekal di sana bersama isterimu, maka jangan berbuat suatu yang menyakiti hati ibu akibat perbuatan isterimu, dan tidak perlu berpisah dan bercerai darinya. Itu boleh sahaja.
Cerai itu dibenci, tetapi seseorang insan apabila dia melihat isterinya menyakiti ibunya dan berdegil untuk tetap menghinanya, maka yang afdhal ialah menceraikannya; kerana isteri itu tidak layak bersamanya. Namun jika isteri itu tidak menyakiti sesiapa dan perbahalan itu berpunca daripada ibunya semata, maka asingkanlah mereka berdua. Cubalah menjadi bijak untuk menyelesaikan perbalahan mereka berdua. Kita tidak menyuruhnya untuk talak dan tidak pula kita berkata, “Kau marahlah ibumu dan kau tinggalkan dia” sehinga dia berasa tidak senang denganmu.
Tetapi kita kata: “Jadilah orang yang sering berwaspada. Ketahuilah bahawa ihsan terhadap ibumu itu dan juga ayahmu adalah pintu Syurga paling tengah (atau luas) maka janganlah engkau abaikan pintu itu.” Binasanya seorang lelaki itu apabila dia bersama ibu bapanya pada waktu tua, tetapi mereka tidak memasukkannya ke dalam Syurga, seperti yang disebutkan dalam hadis Nabi ﷺ.” Berkata Imam Syihabuddin Ibn Ruslan dalam Syarah Sunan Abi Daud (19/417):
“Dikatakan bahawa manusia yang pertama menyuruh anaknya menceraikan isterinya ialah (Nabi) Ibrahim al-Khalil AS.[2] Salah satu contoh berbuat baik akan anak kepada bapanya ialah apabila dia membenci apa yang dibenci oleh bapanya, sekalipun jika dia mencintai sesuatu itu. Begitu juga sebahagian dalam perbuatan baik kepadanya, apabila seorang anak itu menyukai apa yang disukai oleh bapanya, sekalipun dia membencinya. Ini hanya berlaku kalau bapa itu adalah orang agama; yang menyintai dan membenci sesuatu kerana Allah; dan tidak merujuk kepada pengikut hawa nafsu…Antara (faedah) daripada hadis ini ialah bahawa sesungguhnya seorang anak itu apabila tidak mentaati bapanya, pada perkara yang disuruhnya, maka hendaklah meminta tolog untuk menyelesaikannya daripada hakim, atau salah seorang daripada pembesar negeri.
Pada zahir hadis ini, hukum bahawa bapa apabila menyuruh anaknya untuk menceraikan isterinya maka wajib ke atas suami itu menceraikannya. Imam al-Ghazali telah menghikayatkan dari sebahagian besar ulama bahawa ketaatan kepada ibu bapa itu adalah wajib sekalipun pada urusan yang samar-samar, dan tidak wajib pada perkara yang haram secara asal, sehingga jika mereka berasa hati disebabkan engkau menjauhkan diri daripada mereka kerana tidak mahu makan (bahan syubhah) maka wajib untuk engkau makan bersama mereka, kerana meninggalkan syubhat ialah warak (sunat) dan redha ibu bapa itu adalah mesti (atau wajib).”
Para ulama berkata:
“Jika perkara itu diarahkan berpunca daripada kebodohan dan kelemahan akalnya, lalu dia menyuruh atau menegah anaknya, dengan suatu perintah yang tidak dianggap menyelisihinya pada uruf sebagai suatu bentuk penderhakaan, maka anak itu tidak dihukum fasiq kerana perbuatan menyelisihi ketika itu, kerana keuzurannya.
Begitu juga jika seseorang itu berkahwin dengan perempuan yang dia sayang kemudian ibu bapanya menyuruhnya mentalakkan isterinya, sekalipun perempuan hilang iffahnya (berperangai tidak baik) maka apabila dia tidak mengikut kata-kata ibu ayahnya, itu tidaklah berdosa ke atasnya, berdasarkan hadis Abu Dzar RA yang akan diterangkan (berkenaan kelemahan sebagai pemimipin). Namun begitu, terdapat isyarat bahawa yang afdhal ialah menceraikannya untuk menepati arahan ibu ayahnya.
Tentang kerara ini, disokong dengan hadis selepasnya bahawa Umar mengarahkan anaknya untuk menceraikan isterinya, lalu anaknya enggan, kemudian Umar menyebut perkara itu kepada Rasulullah ﷺ dan baginda menyuruh anak itu menceraikannya. Begitu jugalah hukumnya terhadap sekalian arahan ibu bapa yang tidak dapat difikirkan melainkan berpunca daripada lemahnya akal atau rendahnya ideanya, yang kalau kita bentang kepada orang-orang pandai nescaya akan menentangnya dengan bantahan-bantahan yang senang diterima, dan mereka akan berpendapat kalau anak itu berselisih dengan ibu itu bukanlah suatu bentuk tindakan menyakiti ibu bapanya.” Rujuk al-Zawajir (2/115) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.
Kesimpulannya ialah, tidak menjadi kesalahan bagi ibu bapa untuk cakna kebajikan anak mereka, sekalipun selepas berkahwin, sama ada anak lelaki atau perempuan. Menantu yang baik ialah orang yang menjaga hubungan dengan mertua dan menghormati pandangan mereka serta melayan mereka dengan baik.
Implikasi Memukul dan Menganiayai Pasangan
Isu yang kedua, berkenaan menantu yang suka memukul dan menganiayai anak perempuan. Maka kami katakan di sini, suami tidak mempunyai hak untuk memukul sehingga mencederakan isteri, apatalagi menganiayainya. Mendatangkan kecederaan dan menganiayai isteri memiliki implikasi dalam undang-undang persekutuan, dan undang-undang Syariah. Contohnya. Seksyen 52 Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh. Seksyen itu memperuntukkan, antara lain;
Ini menunjukkan bahawa perbuatan mencederakan dan menganiayai isteri adalah darar Syarie yang mengharuskan tuntutan fasakh. Dalam masa yang sama, Kanun Keseksaan (Akta 574) memperuntukkan dalam Seksyen 319 ke atas berkenaan kesalahan mendatangkan kecederaan dan kecederaan parah kepada mana-mana orang. Justeru, tidak menjadi kesalahan kepada ibu bapa untuk membuat laporan polis atau memberikan keselamatan dan perlindungan kepada anaknya, sama ada lelaki atau perempuan, yang dipukul, dicederakan dan dianiaya oleh pasangan.
Justeru, menjawab juga isu ketiga, adakah ibu bapa berdosa menyuruh anak mereka agar bercerai kerana wujud darar Syarie kepada anak tersebut jika masih mengekalkan hubungan perkahwinan dengan pasangannya, maka jawapannya juga adalah tidak berdosa. Kami kuatkan jawapan kami dengan menukilkan perkara tersebut daripada kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/138) karangan Syeikh Muhammad al-Zuhaili. Hukum talak itu berbeza mengikut keadaan dan situasi, kepada lima, iaitu:
Maksudnya: “maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik;” (Surah al-Talak: 2). Ini kerana jika dia tidak menceraikan isterinya ketika itu maka tidak ada jaminan bahawa tidak berlaku syiqaq, atau kerosakan rumahtangga dan pergaulan yang buruk, dan hilanglah tujuan-tujuan perkahwinan.
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللهِ الطَّلَاقُ Maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah cerai.” Riwayat al-Nasaie (14894) dan Abu Daud (2178)
Dan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ، فَإِنَّ المَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ Maksudnya: “Layanlah wanita dengan baik. Sesungguhnya wanita itu dicipta daripada tulang rusuk. Dan jika sesuatu dari tulang rusuk tersebut bengkok, dan engkau meluruskannya dengan paksaan maka engkau akan mematahkannya (atau menceraikannya, dalam riwayat yang lain). Kalau engkau membiarkan pula, maka akan terus bengkok. Maka layanlah wanita dengan baik.” Riwayat al-Bukhari (3331) dan Muslim (1468)
Berkata Imam Abu Jaafar al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar (3/417) berkenaan hadis Ibn Umar sebelum ini: “Hadis ini memiliki faedah yang menunjukkan bahawa menjadi hak seorang bapa ke atas anaknya untuk menjawab permintaannya. Begitu juga kepada ibunya maka lebih wajib dan mesti dibuat, kerana hak ibu ke atas anak melebihi hak ayah ke atas anak….Berkata Abu Ja’far: Tidak diharuskan ke atas ibu bapa untuk menyuruh anak dengan alasan yang dilarang oleh Allah untuk menceraikan isterinya. Ibu bapa hanya boleh menyuruh anaknya bercerai dengan alasan yang diharuskan Allah, bukan dengan alasan yang berlawanan dengannya.”
Kesimpulan
Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa ibu bapa mempunyai hak untuk menasihati anak-anak berkenaan urusan rumah tangga mereka, tertakluk kepada hukum-hukum yang diperuntukkan dalam Syariah Islam. Mereka juga bertangungjawab, sama seperti orang Islam yang lain, untuk melakukan amar makruf nahi mungkar apabila mereka melihat suatu jenayah dilakukan terhadap seseorang khususnya terhadap anak mereka sendiri. Tidak dianggap sebagai berdosa apabila ibu bapa memberi nasihat kepada anak-anak tentang hal rumah tangga. Malah apabila berlaku syiqaq antara suami isteri, ibu bapa kepada pasangan masing-masing berhak dilantik menjadi hakam yang bertindak sebagai orang tengah bagi mendamaikan pihak yang bertelagah; sama ada dengan cara menyelesaikan isu rumah tangga sehingga pasangan dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing semula, atau membubarkan perkahwina. Semoga jawapan ini memberikan panduan kepada pihak bertanya dan sedikit sebanyak menyelesaikan kemelut yang dihadapi.
WEBINAR JODOH 💖: SUAMI KIRIMAN ILAHI
✨Jom Sis semua yang masih single terutamanya sejenis yang pemalu! Kita belajar ilmu menjemput jodoh💘
Dengan ilmu menjemput jodoh, Sis akan..
✅ Tak tertanya-tanya lagi “Dimana atau ada ke bakal imamku❓❓” 🤷🏽♀
✅ Jelas ✨ dan yakin 💪🏻 dengan langkah-langkah mudah ikhtiar mencari jodoh 💘 (Tip: Islam itu Mudah dan Indah)
✅ Akan dijauhi heartbreak 💔 dan lelaki yang tak serius 👻
Yang sudah berstatus ‘Dimiliki’, ambillah manfaat ilmu ini untuk memudahkan dan percepatkan lagi jodoh Sis 💞
Hari ini manusia mungkin sanggup menipu apa saja asalkan mendatangkan keuntungan padanya. Ini termasuklah peniaga yang mahu mengaut untung berlebihan termasuk menipu orang ramai tanpa mengira apa kesannya pada pengguna.
ALLAH SWT dan Rasulullah SAW amat murka kepada peniaga yang menipu dalam urusan jual beli. Hal ini dinyatakan dalam surah Al Mutaffifin ayat 1-3 yang bermaksud:
“Celakalah (seksalah) bagi orang yang menipu (dalam timbangan dan sukatan). Apabila mereka menerima sukatan daripada orang lain, mereka sempurnakan (penuhkan). Dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangkan.”– Surah al-Mutaffifin: 1-3.
Peniaga mungkin untung seketika di dunia saja tapi di akhirat azabnya sangat menakutkan.
Bercakap dalam menipu dalam urusan jual beli, di aplikasi Tik Tok atas nama ArysaSofea @arysareana berkongsi satu pengalaman “tidak masuk akal” di mana tilam besar dibelinya pada harga RM800 di satu kedai penjualnya Pakistan, sebenarnya adalah tilam fake.
Ini kerana tidak sampai setahun digunakan, tilam itu mula mengelembung di bahagian tengahnya dan terdapat tompokan hitam di bahagian alas kainnya.
Malah dia mengakui badannya juga agak sakit-sakit bila bangun dari tidur saat menggunakan tilam tersebut. Rasa ingin tahu apa di sebalik tilamnya, ArsyaSofea bertindak memotong sedikit dan apa yang mengejutkan, jika tilam sepatutnya diperbuat dari campuran span, latex, spring dan lain lagi (bergantung pada harga dan kualiti tilam) tilamnya hanya dilapik menggunakan span dan banyak gabus dipecah-pecahkan (bahagian atas ada span nipis).
Malah dia sudah menghubungi kedai “Pakistan” berkenaan dan mereka mahukan bukti video untuk bertanya kepada pihak pengilang. Dan pastinya siapa yang berada di tempatnya akan berasa kecewa, geram dan marah andai ditipu begini kerana duit bukan boleh dipetik dari daun atau bersepah di tepi jalan sebaliknya perlu bekerja untuk mendapatkan rezeki tersebut. Dan nilainya juga bukanlah terlalu murah.
Rata-rata komen dari pengguna mengakui dengan harga berkenaan, dirinya sepatutnya boleh mendapat tilam berkualiti dengan jaminan 10 tahun lamanya dan bukan barangan fake.Malah rata-rata terperanjat hanya gabus di dalamnya termasuk ada menyuruhnya membuat laporan polis dan lapur ke KPDNKK.
Allah turunkan bala pada umat Nabi Syuaib akibat menipu dalam urusan jual beli
Sebenarnya kisah penipuan dalam urusan jual beli ini sudah pun terjadi di zaman Nabi Syuiab lagi di mana kaum Madyan amat gemar melakukan penipuan dalam urusan timbangan hingga Allah menurunkan bala dan membinasakan kaum ini dengan gempa bumi yang sangat dahsyat.
Dan adab sebagai peniaga pula, adab dalam urusan barangan yang rosak di mana Islam melarang kita menjual barang sedemikian dengan harga yang sama dengan barangan yang berkeadaan baik. Hikmah larangan ini adalah untuk mengelakkan tidak timbul kes penipuan, ketidakadilan dan penyesalan oleh pembeli.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barang siapa menjual barang yang cacat di mana ia tidak menerangkannya, maka sentiasa ia berada dalam kemurkaan ALLAH dan malaikat sentiasa melaknatinya.” – HR Ibnu Majah
Di samping itu, Islam juga melarang kita menjual barangan dengan harga yang terlalu tinggi kerana mengharapkan keuntungan yang besar. Perbuatan seperti itu menurut para ulama, kurang mendapat keberkatan Ilahi kerana penjual hanya mementingkan keuntungan material semata-mata.
Tonton videonya di mana dia memotong keseluruhan tilam fake berkenaan.